Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 38,500 jemaah masjid ikuti kegiatan Jaga Kesihatan Jaga Ummah pada 2019-2020

Lebih 38,500 jemaah menyertai pelbagai kegiatan berkaitan kesihatan anjuran masjid-masjid yang melaksanakan inisiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) sepanjang tahun 2019 dan 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 38,500 jemaah masjid ikuti kegiatan Jaga Kesihatan Jaga Ummah pada 2019-2020

Lebih 38,500 jemaah masjid ikuti kegiatan Jaga Kesihatan Jaga Ummah pada 2019-2020. (Gambar: HPB)

SINGAPURA: Lebih 38,500 jemaah menyertai pelbagai kegiatan berkaitan kesihatan anjuran masjid-masjid yang melaksanakan inisiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) sepanjang tahun 2019 dan 2020.

Perkembangan ini "suatu pencapaian besar", menurut Menteri Kedua Kesihatan, Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

JKJU diperkenalkan empat tahun lalu dengan penyertaan 15 masjid. Namun kini bilangannya lebih daripada seganda - ia disertai 32 buah masjid tempatan.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) memperkenalkan JKJU pada 2017 untuk memperkukuh penggalakan kesihatan dalam kalangan anggota masyarakat Melayu.

Berucap di majlis penyampaian Anugerah JKJU hari ini (16 Nov), Encik Masagos berkata:

"Contohnya Masjid Al-Istighfar menganjurkan kelas-kelas aerobik tenaga rendah dan senaman Piloxing yang menarik lebih 1,100 peserta, serta menganjurkan Fiesta Keluarga tahunan yang menggalak mesej mengeratkan tali kekeluargaan dan kehidupan sihat."

"Saya gembira usaha-usaha ini tidak berhenti walaupun berlaku pandemik. Masjid-masjid JKJU terus mendekati jemaah masing-masing secara maya. Misalnya Masjid Maarof menganjurkan sesi-sesi Zumba Gold secara online," tambah beliau lagi, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Gambar: HPB

(Gambar: HPB)

Hari ini (16 Nov) enam masjid diiktiraf sebagai masjid JKJU paling aktif pada 2019 dan 2020.

Pemenang ditentukan berdasarkan jumlah program gaya hidup sihat HPB yang dijalankan sesebuah masjid, jumlah jemaah yang menyertai program-program tersebut serta sokongan bagi inisiatif dan kempen HPB.

Hasilnya, masjid-masjid Darul Makmur, Ahmad Ibrahim dan Al-Istighfar diisytihar sebagai pemenang bagi tahun 2019.

Masjid An-Nur, Masjid Maarof and Masjid Alkaff Upper Serangoon pula diisytihar sebagai pemenang bagi tahun 2020.

(Gambar: HPB)

Selain itu, sembilan masjid baru JKJU turut diiktiraf kerana menyertai inisiatif-inisiatif JKJU.

Demi terus merancakkan lagi gagasan JKJU ini, HPB akan memperkenalkan lagi dua anugerah baru bagi tahun 2022.

Anugerah Penyokong Kesihatan akan diberikan kepada para individu yang terlibat dalam merancang dan mempromosikan kegiatan-kegiatan kehidupan sihat di masjid-masjid.

Anugerah Rakan Kongsi Kesihatan pula akan mengiktiraf rakan-rakan masyarakat dan komersil yang bekerjasama dengan HPB untuk menyokong gaya hidup sihat dalam masyarakat Melayu.

Kini Encik Masagos mahu lebih banyak lagi masjid menyertai inisiatif JKJU sedang beliau mengalu-alukan kemasukan masjid-masjid baru ke dalam JKJU.

"Saya menyambut baik penyertaan masjid-masjid baru ini sebagai rakan kongsi baru dalam usaha nasional ini. Lebih daripada memberi panduan agama, anda juga penting dalam usaha nasional kita untuk meningkatkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan mereka," kata Encik Masagos.

"Menerusi inisiatif JKJU ini, anda mempunyai pengaruh besar dalam menggalak para jemaah anda untuk menerapkan gaya hidup lebih sihat."  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan