Images
  • airport changi
    (Gambar fail: TODAY)

Lebih 30% rakyat S’pura ditipu, hampir terpedaya semasa tempah pakej percutian online

SINGAPURA: Hampir sepertiga rakyat Singapura berkata mereka pernah tertipu - atau hampir terpedaya - semasa menempah pakej percutian secara online, menurut hasil tinjauan oleh firma keselamatan siber McAfee yang dikeluarkan pada Rabu (12 Jun).

Firma itu juga mendedahkan destinasi-destinasi percutian pelancong rakyat Singapura yang menjadi sasaran para penggodam melalui lelaman web termasuk:

- Taipei, Taiwan

- London, Britain

- Bali, Indonesia

- Hong Kong

- Tokyo, Jepun

- Kyoto, Jepun

PERIKSA SEBELUM TEMPAH

Berikut adalah hasil dapatan utama tinjauan mengenai amalan tempahan pakej percutian 500 orang dewasa di Singapura:

- 29 peratus daripada rakyat Singapura pernah tertipu atau hampir tertipu ketika menempah pakej percutian online

- 23 peratus daripada para mangsa penipuan berkata mereka sedar bahawa lelaman atau cara tempahan yang digunakan adalah palsu hanya setelah dimaklumkan bahawa tempahan mereka tidak sah apabila tiba di tempat penginapan

- 23 peratus daripada para responden berkata mereka tidak memeriksa kesahihan sesebuah lelaman web sebelum menempah pakej percutian secara online

- 33 peratus pula berkata bahawa keperluan untuk memeriksa lelaman berkenaan terlebih dahulu tidak terlintas sama sekali dalam fikiran mereka

- 34 peratus daripada para mangsa tertipu setelah mereka ternampak tawaran hebat yang kemudian didapati palsu

- 30 peratus menempah pakej percutian menerusi promosi emel dan iklan-iklan 'pop-up'

KAEDAH MENGGODAM

Para penjenayah siber memperdaya para pengguna supaya melungsuri lelaman web berbahaya yang boleh digunakan untuk memuat turun perisian hasad (malware), mencuri maklumat peribadi dan juga merakam kata-kata kunci, menurut McAfee.

Selain memaparkan hasil pencarian yang dimuatkan dengan perisian hasad, para penggodam juga mengirim pautan (link) mengandungi perisian hasad menerusi pesanan teks, emel dan iklan-iklan 'pop-up' untuk memperdaya para pengguna yang mencari tawaran hebat.

CARA-CARA MENGELAK PENIPUAN

Menurut McAfee, para pengguna sepatutnya klik pautan lelaman yang disahkan selamat oleh sofwe keselamatan yang dimuatkan dalam peranti mereka.

Firma itu juga menasihati para pengguna supaya menggunakan wadah-wadah yang diyakini dan jangan mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang menawarkan potongan harga.

Para pengguna turut dinasihatkan supaya memastikan sambungan peranti mereka dengan rangkaian Internet adalah selamat. Contohnya, mereka boleh menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) apabila melakukan urus niaga menggunakan rangkaian Wifi awam. 

- TODAY/ZM/zm

Top