Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 30,000 individu dengan anafilaksis dipelawa daftar bagi vaksin COVID-19

Lebih 30,000 penduduk yang pernah mengalami anafilaksis disebabkan oleh makanan atau ubat-ubatan akan dipelawa untuk mendaftar bagi vaksin COVID-19, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 30,000 individu dengan anafilaksis dipelawa daftar bagi vaksin COVID-19

Vaksin COVID-19. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 11:04PM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 11:07PM

SINGAPURA: Lebih 30,000 penduduk yang pernah mengalami anafilaksis disebabkan oleh makanan atau ubat-ubatan akan dipelawa untuk mendaftar bagi vaksin COVID-19, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (8 Jun).

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada minggu lalu bahawa ia sudah menarik balik sekatan ke atas penggunaan vaksin COVID-19 dengan mRNA terhadap sesetengah individu yang pernah mengalami anafilaksis, sekali gus membolehkan mereka untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna.

"Lebih ramai orang kini boleh dilindungi dengan menarik balik sekatan terhadap para individu dengan sejarah anafilaksis disebabkan oleh makanan dan ubat-ubatan lain," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam catatan Facebooknya pada Selasa malam (8 Jun).

Beliau juga berkata bahawa Pemerintah akan mula menghantar pesanan teks ringkas (SMS) kepada lebih 30,000 individu dalam kumpulan itu pada Selasa bagi mempelawa mereka untuk membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin.

Keputusan untuk menarik balik sekatan itu dibuat menyusuli saranan oleh Jawatankuasa Pakar Vaksinasi COVID-19.

"Data tempatan dan antarabangsa menunjukkan bahawa vaksin mRNA sesuai bagi individu dengan sejarah anafilaksis yang tidak berkaitan dengan vaksinasi mRNA atau komponen-komponennya," menurut jawatankuasa itu.

Jawatankuasa tersebut menyarankan para individu yang pernah mengalami anafilaksis atau reaksi alahan kepada ubat-ubatan lain, makanan, gigitan serangga atau sumber-sumber yang tidak diketahui supaya dipantau selama 30 minit selepas divaksin.

Mereka yang mempunyai sejarah anafilaksis yang disebabkan oleh mana-mana komponen mRNA vaksin COVID-19 masih tidak digalakkan untuk mengambil vaksin itu.

Sebelum ini, jawatankuasa tersebut menyarankan kepada mereka yang pernah mengalami anafilaksis supaya tidak menerima vaksin COVID-19 yang berasaskan mRNA "kerana sangat perlu berhati-hati".

Encik Ong juga memberikan kemas kini tentang kadar vaksinasi Singapura, di mana 75 peratus daripada golongan dewasa Singapura yang layak bagi vaksinasi sudah mendaftar atau menerima dos vaksin masing-masing.

"Kami berjaya mengawal gelombang jangkitan ini dengan baik, atas usaha kita bersama. Terima kasih semua!" kata Encik Ong yang turut mendedahkan bahawa "para penduduk Singapura terus menyokong vaksinasi" meskipun dengan adanya isu-isu seperti penyebaran maklumat salah mengenai vaksin dan diskriminasi kaum yang hangat dibahaskan di media sosial.

"Dalam proses itu, pelbagai isu muncul di media sosial - iaitu seolah-olah vaksin COVID-19 adalah berbahaya, vaksin mRNA tidak berfungsi. Dan terdapat juga kejadian buruk melibatkan diskriminasi kaum dan xenofobia."

Para penduduk Singapura terus menyokong vaksinasi "meskipun dengan gangguan-gangguan itu", kata Encik Ong.

"Saya kagum dengan keberanian mereka yang bersuara demi meningkatkan pemahaman, perpaduan, kebaikan di tengah-tengah masa mencabar ini dan mempertahankan sains berasaskan bukti," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan