Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih $3.1 juta diagihkan dari pulangan hartanah wakaf tahun lalu

Sejak 2002, jumlah wang daripada harta wakaf yang diagihkan di Singapura meningkat lebih tiga ganda iaitu dari sekitar $700,000 kepada lebih $3.1 juta tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak 2002, jumlah wang daripada harta wakaf yang diagihkan di Singapura meningkat lebih tiga ganda iaitu dari sekitar $700,000 kepada lebih $3.1 juta tahun lalu.

Peningkatan yang ketara itu sebahagian besarnya hasil daripada langkah berani MUIS untuk mempertingkatkan tadbir urus wakaf, selain menggembleng kepakaran dalam memajukan hartanah wakaf ke potensinya yang sebenar.

Sempena sambutan jubli emas MUIS, BERITA mengimbas kembali detik-detik penting dalam pembangunan aset wakaf negara yang kini mencecah nilai keseluruhan lebih $800 juta.

WAKAF AL-HUDA LAMBANG KEBANGGAAN

Wakaf Al-Huda di Jalan Haji Alias - projek kedua di bawah Skim Peningkatan Wakaf (WRS) dan menjadi satu lagi lambang kebanggaan aset wakaf di Singapura.

Terletak di kawasan mewah Bukit Timah, ia menempatkan Masjid Al-Huda yang sudah dinaik taraf dan juga sebuah villa yang merangkumi enam unit rumah kelompok mewah.

Dahulu pendapatan tahunan yang dijana wakaf ini tidak cukup untuk membayar cukai hartanah.

Namun hari ini, setiap unit Alias Villas mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya $72,000 setahun.

Masjid Al-Huda dan Warees Investments Pte Ltd, iaitu anak syarikat MUIS yang mengendalikan aset-set wakaf, patut dipuji kerana perananan inovatif kedua-dua badan itu dalam menjana pulangan wakaf luar biasa bagi projek perumahan mewah Alias Villas di bawah Wakaf Al-Huda.

"Selain daripada projek-projek peningkatan, Warees juga diberi tugas untuk membantu MUIS menjaga aspek-aspek operasi wakaf seperti penyenggaraan, mendapat penyewa yang berkualiti dan juga membuat kajian pasaran. Ini semua bagi memastikan hartanah wakaf itu mengikut harga pasaran," kata Penolong Pengarah, Unit Strategi Zakat dan Wakaf, MUIS, Encik Masogoes Isyak Amin.

BERMULA TAHUN 2002...

Salah satu tugas pertama Warees sejak ditubuhkan pada 2002 adalah untuk memikirkan semula bagaimana portfolio wakaf yang diuruskan MUIS dapat mencapai nilai potensinya yang sebenar.

Beberapa hartanah wakaf dikenal pasti untuk menjalani kerja pembangunan semula sementara yang lain pula dinaik taraf atau digantikan dengan hartanah lain (istibdal).

Wakaf Amanah Amal YAL Saif di Chancery Lane merupakan antara projek pembangunan wakaf pertama yang dikendalikan Warees.

Kerja pembangunannya selesai pada 2005 dan ia kini menempatkan kelompok rumah mewah sebanyak 34 unit yang dikenali sebagai Chancery Residences.

"Sebelum projek ini dilaksanakan, hasil atau harga sewa yang boleh diperolehi untuk wakaf itu hanya $12,000 sebulan tetapi setelah selesainya projek itu, harga sewanya meningkat sebanyak lima kali ganda," kata Encik Masagoes.

SATU LAGI KONSEP BARU: INISIATIF PELABURAN INSTITUSI

Untuk mempelbagaikan sumber dana bagi pembangunan aset wakaf, Warees memperkenalkan Inisiatif Pelaburan Institusi atau 3I pada 2014.

Instrumen kewangan itu membolehkan institusi-institusi Islam seperti masjid dan madrasah melaburkan dana lebihan ke dalam projek-projek pembangunan wakaf dan menerima pulangan tahunan dalam bentuk hibah.

Yang pertama untuk memanfaatkan pembiayaan dana sedemikian adalah projek The Red House yang merangkumi sebuah kondominum serta lima unit komersil.

Sebahagian daripada kos pembinaannya dibiayai oleh lima masjid tempatan yang secara keseluruhannya melaburkan $5 juta.

"Bangunan tersebut adalah sebuah bangunan pemuliharaan dan memerlukan cara-cara binaan tertentu. Setelah projek itu selesai dibangunkan, nilai hartanah itu meningkat berlipat ganda dari $12 juta dan sekarang ia bernilai $89 juta,"kata Encik Masagoes lagi.

Hari ini, Warees menguruskan 58 daripada 91 wakaf di Singapura.

Kini cabarannya adalah untuk memastikan institusi wakaf negara kekal mampan dan juga aliran dananya berterusan bagi melestarikan aset wakaf ke peringkat seterusnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan