Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 20 aduan polis, CASE dibuat terhadap syarikat Wedding by LQ

Siasatan BERITAmediacorp mendapati, terdapat sekurang-kurangnya empat aduan polis dibuat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 20 aduan polis, CASE dibuat terhadap syarikat Wedding by LQ

Salam satu pelamin Wedding by LQ (kiri), komen warga siber yang lain di Facebook berkongsi pengalaman masing-masing (kiri).

BERITAmediacorp: Lebih 20 aduan polis dan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dibuat para pelanggan terhadap syarikat penyedia khidmat majlis perkahwinan Wedding by LQ (WLQ), berhubung pertikaian kewangan. WLQ menyediakan khidmat dekorasi dewan majlis dan juga katering.

Siasatan BERITAmediacorp mendapati, terdapat sekurang-kurangnya empat aduan polis dibuat. Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp polis mengesahkan pihaknya "sudah menerima aduan-aduan tersebut dan sedang meneliti perkara itu".

CASE pula memberitahu kami pihaknya menerima sebanyak 17 aduan antara 1 Januari 2021 dengan 5 Oktober 2021 terhadap Wedding by LQ. Menurut CASE, secara amnya aduan yang dibuat oleh pasangan yang terjejas adalah "mereka tidak berupaya mendapatkan kembali wang cengkeram selepas mengadakan majlis".

Manakala sebahagian yang lain pula "tidak dapat memperoleh bayaran balik bagi deposit/prabayaran yang dibuat meskipun sudah membatalkan majlis perkahwinan disebabkan sekatan-sekatan COVID-19".

Jumlah bayaran balik yang masih ditagih pasangan-pasangan terjejas adalah antara S$500 dengan hampir S$30,000.

KONGSI PENGALAMAN DI FACEBOOK

Salah satu pasangan yang terjejas adalah Encik Fariq Farhan dan isterinya. Menurut Encik Fariq, beliau menuntut bayaran balik berjumlah S$500 yang dipersetujui secara lisan dengan seorang kakitangan WLQ, dikenalikan sebagai Andi, sebelum majlis perkahwinannya pada 8 Ogos 2021.

Jumlah itu adalah lebihan bayaran yang sudah dibuat terlebih dahulu sebelum mereka menukar pakej kepada yang bernilai lebih rendah berbanding pakej asal. Namun, menurut Encik Fariq, sehingga hari ini, beliau masih belum menerima sebarang bayaran balik dan berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan pemilik syarikat tersebut.

"Sebaik sahaja COVID-19 menular, banyak perubahan berlaku dan saya sangat faham pakej-pakej berbeza yang ditawarkan oleh pihak mereka untuk disesuaikan mengikut sekatan-sekatan pemerintah.

"Selepas majlis perkahwinan pada 8 Ogos, kami tidak segera menuntut bayaran balik kerana kami percaya beliau (pemilik WLQ) akan memenuhi janjinya dan beri kemas kini kepada kami. (Namun) tiada bayaran balik yang kami terima," cerita Encik Fariq kepada BERITAmediacorp.

Menurutnya, percubaan untuk berkali-kali menghubungi syarikat tersebut juga menemui jalan buntu apabila pihak syarikat sama ada tidak membalas kiriman emel, mesej dan tidak menjawab panggilan telefon atau kerap menunda tarikh untuk memberi bayaran balik.

Lantaran itu, Encik Fariq memuat naik satu catatan di Facebook baru-baru ini mengenai pengalamannya dengan syarikat tersebut. Ia menarik perhatian ramai, dengan sebahagiannya turut mendedahkan pengalaman mereka sendiri dengan syarikat yang sama.

SUDAH BAYAR HAMPIR S$30,000

Seorang lagi pelanggan yang terjejas adalah Encik Muhammad* (bukan nama sebenar) yang berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa beliau dan isterinya mengalami kerugian S$27,600.

Pakej majlis perkahwinan yang ditempah pada 2019 bagi majlis pada 22 Ogos 2020, terjejas oleh perubahan demi perubahan berhubung sekatan dan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Akhirnya, Encik Muhammad sekeluarga hanya mengambil pakej pernikahan di rumah bernilai S$2,000, yang dipotong daripada keseluruhan deposit yang sudah dibayar.

Selepas majlis pernikahan itu, mereka memutuskan untuk tidak meneruskan dengan majlis resepsi dan mahu berunding untuk mendapatkan semula wang deposit.

Pasangan itu kemudian menerima kiriman emel daripada WLQ untuk melakukan pemindahan pakej. Ini bermakna, kedua-dua pihak menggunakan wadah Telegram untuk menjual pakej tersebut kepada pasangan lain.

Wadah Telegram bagi pemindahan pakej, yang kini sepi. (Gambar: Encik Muhammad)

Wadah Telegram bagi pemindahan pakej, yang kini sepi. (Gambar: Encik Muhammad)

Menurut Encik Muhammad, perjanjian dengan syarikat itu adalah, sekiranya pakej tersebut tidak dapat dipindahkan kepada pasangan lain, WLQ akan memberi bayaran balik "secara ansuran dalam tempoh setahun".

"Akaun Telegram itu dibuka untuk menjual pakej kami. Tetapi ia tidak aktif dan tidak menunjukkan kemajuan. Sejak itu, sukar untuk menghubungi mereka. Malah WhatsApp pun hanya dibalas mesej automatik dan kiriman emel tidak berbalas," luah Encik Muhammad.

PEJABAT DITUTUP

Encik Muhammad dan pasangan-pasangan lain yang terjejas juga mendakwa sudah cuba untuk ke pejabat syarikat itu yang terletak di Gambas Cres, menurut alamat di laman Facebook Wedding by LQ.

Namun, mereka mendapati pejabat itu tidak lagi beroperasi.

"Saya pergi ke pejabat mereka di Nordcom Gambas tetapi pejabat sudah ditutup dan mereka sudah berpindah ke Sunview tanpa memaklumkan kepada kami. Baru-baru ini saya pergi ke Sunview untuk berbincang secara aman tetapi ia juga sudah ditutup," ujar Encik Muhammad.

KELENGAHAN JEJAS URUSAN DENGAN PENYEDIA KHIDMAT LAIN

Bagi pasangan Razif dan Aishah* (bukan nama sebenar) usaha berulang kali untuk berkomunikasi dengan syarikat itu menimbulkan tekanan.

Sejak menempah khidmat WLQ sebelum pandemik hingga April 2020, Cik Aishah sudah membayar S$22,000 bagi majlis perkahwinan beliau, pada Januari 2021.

Oleh kerana majlis itu perlu dijalankan pada skala lebih kecil dan disesuaikan mengikut perubahan fasa pengurusan selamat COVID-19, Cik Aishah mahu syarikat itu mengecualikan baki bayaran dan meminta lokasi alternatif yang sesuai.

Namun kelengahan syarikat untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan Cik Aishah berlarutan. Malah sehingga dua bulan sebelum majlis, Cik Aishah masih belum mendapat kepastian tentang majlis beliau.

Ini sekali gus menjejas urusan beliau dengan penyedia khidmat lain bagi majlis tersebut. Cik Aishah kemudian memutuskan untuk tidak meneruskan dengan khidmat WLQ kerana beliau seolah-olah terpaksa 'mengejar' syarikat itu untuk mendapatkan jawapan.

"Saya sudah beri tempoh secukupnya untuk (syarikat) memberi respons. Saya cuba beri kepercayaan walaupun sangsi...bagaimana saya harus beri sepenuh kepercayaan kepada WLQ untuk menganjurkan majlis kecil saya," luah Cik Aishah.

Petikan gambar mesej terakhir Cik Aishah untuk tidak meneruskan dengan khidmat WLQ. (Gambar: Cik Aishah/Encik Razif)

Petikan gambar mesej Cik Aishah untuk tidak meneruskan dengan khidmat WLQ dan menyatakan kesediaan untuk berunding tentang bayaran balik. (Gambar: Cik Aishah/Encik Razif)

Encik Razif memberitahu BERITAmediacorp, syarikat itu sendiri yang menyatakan pihaknya akan memaklumkan kepada Cik Aishah tentang bayaran balik namun sehingga kini "hilang begitu sahaja".

MAHU HANTAR 130 BENTO MAKANAN SEBAGAI GANTI DEPOSIT

Seorang lagi klien WLQ, Cik Nurul* (bukan nama sebenar), bersetuju untuk menggunakan khidmat syarikat itu sekitar awal tahun ini setelah tertarik dengan dewan Fourty Four yang ditawarkan.

Beliau sudahpun membayar S$4,900 untuk majlis yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Bagaimanapun, pada awal September, syarikat itu memaklumkan ia tidak dapat menyediakan dewan yang dipersetujui kerana diarahkan oleh pihak berkuasa supaya menggantung operasi menyusuli kes pelanggaran langkah pengurusan selamat semasa majlis-majlis sebelum ini.

"Mereka menawarkan lokasi alternatif. Namun ia tidak setimpal bayaran yang sudah saya keluarkan...Saya tidak mahu meneruskan dengan khidmat mereka kerana bukan salah saya (mereka terpaksa menggantung operasi)," kata Cik Nurul, sambil menambah beliau hanya mahukan bayaran balik bagi deposit yang sudah dibuat.

Namun, syarikat itu enggan memberi bayaran balik dan menyatakan ia akan menggantikannya dengan sekitar 130 bungkusan makanan bento yang akan dihantar ke rumah Cik Nurul.

"Tidak masuk akal. Saya bayar untuk lokasinya. Pulangkan sahaja duit saya kerana lokasinya pun sudah tidak ada.

"Sekarang mereka hendak berikan bento kepada saya, bento yang saya tidak perlukan," luah Cik Nurul.

Petikan kiriman emel WLQ kepada Cik Nurul. (Gambar: Cik Nurul)

Petikan kiriman emel WLQ kepada Cik Nurul. (Gambar: Cik Nurul)

WEDDING BY LQ MENJAWAB

Semasa dihubungi BERITAmediacorp menerusi Facebook Wedding by LQ, syarikat itu menyatakan, jumlah pelanggan yang terjejas oleh peraturan COVID-19 yang berubah-ubah "sangat tinggi". Namun WLQ menambah ia "sudah mencuba sehabis baik" untuk berkomunikasi dengan setiap pelanggan.

Menjawab isu bayaran balik yang dituntut oleh para pelanggan, WLQ menyatakan pandemik ini menyebabkan begitu ramai pelanggan membatalkan majlis dan ini "sangat menjejas aliran tunai WLQ dan oleh itu perniagaannya tidak lagi berdaya maju".

"Keutamaan syarikat adalah untuk memastikan majlis pelanggan terus dijalankan. Dengan keadaan COVID-19 sekarang, bayaran balik agak sukar buat masa ini.

"WLQ memohon maaf kepada semua atas kesulitan yang timbul namun berharap para pelanggan kami dapat memahami," menurut syarikat itu.

Namun demikian WLQ juga menyatakan bahawa catatan Facebook oleh Encik Fariq dimakluminya tetapi “kami mendapatinya tidak munasabah”.

“Sebelum pandemik syarikat ini tidak mengalami isu-isu seperti itu. Kedudukan Encik Andi sebagai kakitangan WLQ dan jelas dalam catatan Facebook berkenaan, Encik Fariq Farhan mengaku berkelakuan mengancam dan menghina, mengakibatkan penganiayaan…dan kebimbangan.

“Encik Andi sudah merujuk kepada peguamnya mengenai perkara ini dan mereka akan memberi jawapan kepada Encik Fariq Farhan tidak lama lagi,” menurut WLQ.

AKTA COVID-19 (LANGKAH-LANGKAH SEMENTARA)

Bagi majlis perkahwinan tahun 2020 yang terjejas dek COVID-19, pemerintah mengeluarkan panduan bagi kontrak-kontrak acara dan kegiatan berkaitan pelancongan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara).

Di bawah akta yang diluluskan pada 7 April 2020 itu, para penyedia khidmat dan klien boleh memohon bantuan untuk mencari huraian bagi pertikaian berkaitan bayaran balik deposit.

Ini adalah bagi kontrak urus niaga yang dipersetujui sebelum 25 Mac 2020 dan untuk majlis yang dijadual pada atau selepas 1 Februari 2020.

Pihak yang mahu mendapatkan bantuan itu bagaimanapun perlu membuat permohonan terlebih dahulu. Tarikh akhir bagi membuat permohonan di bawah Akta sementara itu adalah pada 31 Januari tahun ini.

Sekalipun demikian, kedua-dua penyedia khidmat dan klien sangat digalakkan untuk mencari jalan keluar dengan membuat aturan yang wajar bagi mereka.

Menurut tinjauan BERITAmediacorp, sekurang-kurangnya satu pasangan yang terjejas oleh Wedding by LQ sudah mengambil pendekatan ini namun masih belum menemui jalan keluar.

NASIHAT CASE

CASE menyatakan adalah tidak beretika bagi satu-satu perniagaan menahan deposit/prabayaran pelanggan tanpa sebab munasabah.

"Apabila majlis perkahwinan sudah dijalankan dan tiada lagi isu-isu tertunggak, perniagaan harus segera memulangkan wang cengkeram kepada pelanggan.

"Bagi majlis perkahwinan yang terjejas oleh sekatan-sekatan COVID-19 yang berubah-ubah, CASE menggesa perniagaan-perniagaan supaya mengambil pendekatan fleksibel untuk menyediakan alternatif yang sesuai untuk pelanggan dan menimbangkan untuk memberi bayaran balik sekiranya pilihan-pilihan yang ditawarkan tidak diinginkan pelanggan mereka," menurut CASE sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

CASE juga menasihatkan para pelanggan supaya mengambil tahu tips-tips berikut apabila berurus niasa dengan penyedia khidmat perkahwinan:

  • Lakukan kajian menyeluruh ke atas penyedia khidmat berbeza sebelum menandatangani kontrak pakej. Teliti rekod prestasi atau reputasi sesebuah syarikat dan maklum balas daripada para pelanggan sebelum ini
  • Berunding untuk membayar wang pendahuluan dan bukan jumlah penuh sebelum majlis untuk mengurangkan kerugian sekiranya berlaku pertikaian.
  • Baca dengan teliti terma dan syarat kontrak dan pastikan terdapat dasar berkaitan bayaran balik sekiranya pelanggan perlu membatalkan majlis perkahwinan
  • Pastikan pelanggan juga bersetuju dengan dasar bayaran balik yang tertera sebelum melakukan urus niaga dengan penyedia khidmat. Pastikan juga semua persetujuan secara lisan ditulis dalam kontrak
  • Pertimbangkan untuk membeli insurans majlis perkahwinan sebagai perlindungan tambahan. Insurans tersebut boleh menawarkan bayaran jika majlis terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tidak dijangka atau tidak dapat dielakkan, atau sebagai pampasan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini semasa hari perkahwinan. 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan