Images
  • fail
    Gambar fail seorang pekerja yang sedang menyediakan makanan. 

Lebih 2,400 pemeriksaan dilakukan ke atas syarikat katering pada 2008: Amy Kor

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjalankan lebih daripada 2,400 pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat katering pada tahun lalu, menurut Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor di Parlimen hari ini (14 Jan).

Dr Khor berkata demikian sebagai menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen mengenai langkah-langkah yang diambil pihak berkuasa untuk mengurangkan insiden keracunan makanan secara besar-besaran.

"Di samping pemeriksaan rutin, lebih 900 pemeriksaan tambahan juga dilakukan sejak bulan lalu terhadap para pengendali makanan yang menyediakan khidmat katering atau yang mempunyai operasi katering agak besar," kata Dr Khor.

Di samping itu, NEA juga mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil utama dari Persatuan Katering Profesional Singapura (ACAPS) dan Persatuan Restoran Singapura (RAS) untuk menekankan lagi pentingnya aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Menurut Dr Khor, NEA dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) juga meningkatkan lagi proses pemeriksaan dan mendekati semua pengendali makanan.

KES KERACUNAN MAKANAN MENINGKAT

Syarikat-syarikat katering menjadi tumpuan baru-baru ini selepas berlakunya beberapa kejadian keracunan makanan pada bulan November dan Disember tahun lalu, dengan seorang maut dalam insiden yang paling serius.

Pihak berkuasa berkata kesemua insiden itu tidak berkaitan.

Pegawai polis tambahan Allahyarham Fadli Salleh, 38 tahun, meninggal dunia pada 14 November lalu selepas memakan hidangan bento yang dibekalkan oleh Spize dari cawangannya di River Valley.

Lebih 80 orang jatuh sakit dengan lebih 20 daripadanya dimasukkan ke hospital selepas memakan hidangan bento berkenaan.

NEA sudah menarik balik lesen operasi Restoran Spize di River Valley Road dengan serta-merta dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendalinya termasuk mendakwanya di mahkamah.

Pada 24 Nov lalu pula, 190 orang jatuh sakit selepas mengalami gastroenteritis selepas memakan makanan yang disediakan syarikat katering TungLok.

Lesen operasi Tung Lok, serta dewan "ballroom" dan dapur Hotel Mandarin Orchard yang terjejas akan terus digantung sehingga para pengendalinya memenuhi peraturan kebersihan NEA.

Dua hari selepas itu pada 26 Nov, lebih 130 murid dan guru jatuh sakit selepas mengambil makanan yang disediakan syarikat katering dan pengeluar makanan FoodTalks di sebuah kem sekolah.

Tidak lama selepas itu, pada 5 Dis, operasi jamuan di Mandarin Orchard Singapura digantung selepas 175 orang yang menghadiri empat acara berasingan jatuh sakit akibat keracunan makanan, sembilan daripadanya dimasukkan ke hospital.

Bercakap di Parlimen, Dr Khor juga mendedahkan bahawa NEA menjalankan 77,000 pemeriksaan ke atas tempat-tempat makanan pada tahun lalu.

Ini termasuk pemeriksaan untuk tujuan pembaharuan lesen dan pemeriksaan secara mengejut.

"Kami mengamalkan pendekatan pemeriksaan berasaskan risiko," tambah Dr Khor, sambil menekankan bahawa syarikat-syarikat yang menyediakan makanan untuk bilangan orang yang ramai atau mengendalikan jumlah makanan yang lebih besar - seperti syarikat katering - akan diperiksa secara lebih kerap.

Dr Khor juga mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan khidmat syarikat katering berlesen dan mengambil makanan yang disediakan di dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Para pelanggan digalakkan memberi maklum balas kepada pihak berkuasa tentang sebarang amalan kebersihan buruk syarikat-syarikat penyedia makanan untuk siasatan lanjut, " katanya.

Dr Khor berkata NEA akan meningkatkan laman webnya dan aplikasi myENV untuk memudahkan pengguna menyemak rekod kebersihan pengendali makanan.

"Kami juga sedang mengkaji bagaimana untuk memberitahu orang ramai tentang penggantungan lesen pengendali makanan dengan lebih baik," kata beliau.

NEA sebelum ini mendedahkan, bahawa sehingga November 2018, 2,600 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap para pengendali makanan yang melanggar peraturan kebersihan, dengan 84 lesen digantung.

"Walaupun kami mempunyai rejim kawal selia yang ketat, para pengendali makanan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan makanan yang selamat dan bersih untuk pelanggan mereka," kata Dr Khor.

"Mereka mesti memastikan bahawa premis mereka sentiasa bersih, para pekerja yang yang mengendalikan makanan mengamalkan tabiat kebersihan yang baik dan makanan yang disediakan selamat untuk dimakan." 

- CNA/RR/na

Top