Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 2,400 pas dikeluarkan bagi pelawat dari 8 negara VTL masuk Singapura

Lebih 2,400 individu diberikan pas perjalanan untuk memasuki Singapura dari lapan negara yang baru-baru ini dimasukkan ke dalam senarai skim laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2021 03:08PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 10:30PM

SINGAPURA: Lebih 2,400 individu diberikan pas perjalanan untuk memasuki Singapura dari lapan negara yang baru-baru ini dimasukkan ke dalam senarai skim laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL).

Sekitar 40 peratus pas dikeluarkan kepada pelawat dari Britain, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Rabu (13 Okt).

Negara-negara lain adalah Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Permohonan bagi lapan negara itu dibuka pada Selasa dan 2,409 pas perjalanan penumpang sudah divaksin dikeluarkan setakat pukul 11.59 malam hari yang sama.

Permohonan itu adalah bagi perjalanan ke Singapura antara 19 Oktober dengan 17 November.

Bagi pelawat dari Brunei dan Jerman - iaitu dua laluan VTL pertama di Singapura - 5,228 pas sudah dikeluarkan antara 1 September dengan 12 Oktober, menurut CAAS bagi perjalanan ke Singapura dari 8 September hingga 17 November.

Di bawah laluan perjalanan VTL, rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura yang lengkap divaksin tidak perlu memohon bagi pas untuk memasuki Singapura.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah juga tidak perlu memohon bagi kelulusan, menurut CAAS.

Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan berkata: "Kami berbesar hati dengan sambutan baik yang diterima dan menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat menjelang hujung tahun ini.

"Kami menggesa semua pelawat supaya berhati-hati dan prihatin, termasuk bagi mereka yang melakukan perjalanan bersama anak kecil."

CAAS membenarkan purata sehingga 3,000 pelawat VTL setiap hari untuk memasuki Singapura, termasuk rakyat Singapura dan penduduk tetap, pelawat jangka pendek dan pemegang pas jangka panjang.

Meraka harus menaiki penerbangan khas VTL yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan asing dan berpangkalan di Singapura. "Syarikat-syarikat penerbangan merancang penerbangan berdasarkan pertimbangan komersil masing-masing dan akan mengumumkan rancangan itu apabila siap kelak," menurut CAAS.

Tambahnya, ia akan memantau permintaan dan mungkin menyesuaikan kuota pelawat VTL memasuki Singapura jika perlu.

Meskipun tidak ditetapkan sekatan terhadap tujuan perjalanan dan pelawat tidak perlu memberi jadual perjalanan terkawal atau penaja di bawah VTL, CAAS menekankan bahawa pelawat harus "mematuhi dengan ketat syarat-syarat perjalanan".

Ini termasuk:

- Lengkap divaksin dan menunjukkan sijil vaksinasi yang dikeluarkan di mana-mana negara VTL atau Singapura

- Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah mengikut tahun kalendar tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi untuk memasuki Singapura jika mereka ditemani seorang pelawat VTL yang memenuhi kesemua syarat kemasukan VTL ke Singapura.

-Kekal di salah satu daripada negara-negara VTL dan/atau Singapura sepanjang 14 hari berturut-turut sebelum berlepas ke Singapura

- Menjalani ujian polimerase tindak balas berantai (PCR) COVID-19 dalam tempoh 48 jam sebelum bertolak ke Singapura dan sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi. Kanak-kanak berusia dua tahun dan ke bawah mengikut tahun kalendar tidak perlu menjalani ujian tersebut.

- Menaiki penerbangan VTL khas ke Singapura dari mana-mana negara VTL. Mereka boleh membuat persinggahan menerusi negara VTL yang lain untuk menaiki penerbangan khas VTL ke Singapura.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan