Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 180 orang langgar langkah COVID-19 di pusat penjaja

Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 188 individu sepanjang tiga hari lalu kerana melanggar langkah-langkah COVID-19 di pusat penjaja, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 180 orang langgar langkah COVID-19 di pusat penjaja

(Gambar: NEA)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 10:18PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 10:22PM

SINGAPURA: Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 188 individu sepanjang tiga hari lalu kerana melanggar langkah-langkah COVID-19 di pusat penjaja, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (4 Okt).

NEA menyatakan ia menjalankan operasi penguatkuasaan di beberapa pusat penjaja dari 1 Oktober hingga 3 Oktober, dengan sokongan Pasukan Polis Singapura.

Langkah itu dijalankan pada hujung minggu pertama sekatan terbaru berkuat kuasa, yang mana hanya kumpulan dua orang dibenarkan untuk makan di luar.

NEA menyatakan kesalahan yang dilakukan termasuk berhimpun dalam kumpulan lebih dua orang, tidak mengekalkan jarak selamat satu meter, tidak memakai pelitup atau meletaknya di bawah dagu serta meminum alkohol melepasi pukul 10.30 malam.

Para pegawai penguatkuasaan mengunjungi pusat-pusat penjaja seperti Pusat Makanan Newton, Pusat Makanan Whampoa, Pasar dan Pusat Makanan Haig Road, Pusat Makanan Golden Mile, Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim, Pasar dan Pusat Makanan Chinatown Complex dan Pasar Tekka.

"Pihak agensi menerima maklum balas mengenai pusat-pusat itu yang mana orang ramai akan berkumpul dan tidak mematuhi langkah pengurusan selamat," menurut NEA.

Mereka yang melanggar langkah jarak selamat boleh dikenakan denda S$300 bagi kesalahan kali pertama. Pesalah berulang boleh didenda S$1,000 atau dihadapkan ke mahkamah bagi kes lebih teruk.

Sejak Ogos lalu, hampir 500 denda dikenakan terhadap individu yang melanggar langkah pengurusan selamat, menurut NEA.

"Kami mohon sokongan orang ramai untuk bekerjasama dengan duta jarak selamat dan pegawai penguatkuasaan yang ditugaskan untuk memastikan langkah pengurusan selamat dipatuhi demi keselamatan semua orang," menurut agensi itu.

NEA juga mengulangi seruannya kepada warga emas agar mempertimbangkan supaya membawa pulang makanan dibeli di pusat-pusat penjaja dan tidak makan di luar, di tengah lonjakan kes COVID-19.

"Mereka harus elak daripada makan di luar atau duduk bersembang di pusat penjaja pada waktu ini,"tambahnya.

Pengunjung ke pasar dan pusat penjaja diingatkan supaya menggunakan SafeEntry bagi mendaftar masuk dan keluar, meskipun jika tempat-tempat masuk itu tidak dijaga. Mereka juga diingatkan agar memakai pelitup dengan betul dan menjaga kebersihan peribadi.

"NEA juga sedang bekerja rapat dengan persatuan penjaja dan majlis bandaran untuk memastikan keselamatan di premis dan melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman secara kerap," menurut agensi berkenaan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan