Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 17,000 karton rokok haram dikesan di gedung Yishun dalam rampasan terbesar tahun ini

Lebih 17,000 karton rokok haram dirampas dari sebuah gudang di Yishun minggu lalu, yang merupakan rampasan terbesar tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 17,000 karton rokok haram dikesan di gedung Yishun dalam rampasan terbesar tahun ini

Lebih 17,000 karton rokok dirampas di sebuah gedung di Yishun (Gambar: ICA)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 02:27PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 02:31PM

SINGAPURA: Lebih 17,000 karton rokok haram dirampas dari sebuah gudang di Yishun minggu lalu, yang merupakan rampasan terbesar tahun ini.

Empat lelaki didakwa pada Jumaat (29 Mei) berkaitan kes itu, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Kastam Singapura dalam kenyataan media bersama pada Isnin.

Pegawai ICA melakukan pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori besar yang membawa kontena di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang pada sekitar tengah hari Rabu lalu. Para pegawai menjadi curiga apabila melihat "kejanggalan" dalam gambar-gambar imbasan muatan tersebut.

“Semasa pemeriksaan, para pegawai ICA menemui rokok tidak berbayar cukai yang disembunyikan di dalam kabinet-kabinet besi. Kes itu diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan media itu.

Para pegawai Kastam Singapura kemudian melancarkan operasi di sebuah bangunan perindustrian di Yishun Street 23 dan memerhatikan seorang lelaki menggunakan forklift untuk mengeluarkan kabinet besi dari kontena itu.

Pada masa yang sama, dua lelaki lain dilihat mengeluarkan karton mengandungi rokok tidak berbayar cukai dari 16 kabinet besi dan memasukkan semula kotak-kotak itu ke dalam kontena tersebut.

Ketiga-tiga lelaki itu kemudian ditangkap oleh pegawai Kastam Singapura, yang merampas 17,250 karton rokok seludup.

Jumlah cukai duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) masing-masing bernilai kira-kira S$1.47 juta dan S$119.270.

Seorang lagi lelaki berusia 35 tahun kemudian ditangkap pada hari yang sama kerana terlibat dalam kes tersebut. Keempat-empat lelaki itu didakwa dan prosiding mahkamah masih dijalankan.

Membeli, menjual, menyampaikan, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barang yang belum dibayar cukai adalah kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST, kata pihak berkuasa.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda hingga 40 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielak, dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan atau pengelakan cukai Kastam atau GST boleh menghubungi talian hotline Kastam Singapura di 1800-2330000, atau menghubungi mereka melalui emel atau aplikasi mudah alih Customs@SG.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan