Images
  • crime
    (Gambar Hiasan)

Lebih 150 disiasat di operasi merata S'pura memerangi penipuan

SINGAPURA: Seramai 154 orang disiasat bulan ini kerana disyaki terlibat dalam pelbagai skim penipuan, menurut satu kenyataan polis hari ini (11 Okt).

Suspek-suspek berusia antara 15 dengan 68 tahun ditangkap dalam operasi di merata Singapura.

Mereka dipercayai terlibat dalam 230 kes penipuan, kebanyakannya kes penipuan e-dagang di mana para mangsa kerugian lebih S$1.3 juta.

Suspek-suspek itu juga disiasat atas kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram.

Mereka yang didapati bersalah menjalankan kegiatan penipuan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala mereka yang didapati bersalah bagi pengubahan wang haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan e-dagang, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat bayaran awal dan sebaliknya hanya membuat pembayaran hanya setelah menerima barangan itu atau bertemu dengan penjual.

Pihak berkuasa juga memberi amaran kepada orang awam supaya tidak membenarkan orang lain menggunakan akaun-akaun bank atau nombor telefon untuk melakukan urus niaga kerana mereka akan dipertanggungjawabkan jika akaun mereka dikaitkan dengan sebarang urus niaga haram.

- CNA/HA/ha

Top