Images

Lebih 140,000 majikan akan terima bayaran Skim Bantuan Pekerjaan mulai 29 Okt

SINGAPURA: Lebih S$5.5 bilion di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) akan diagihkan kepada para majikan mulai 29 Okt.

Bayaran itu akan diagihkan kepada lebih daripada 140,000 majikan untuk membantu mereka membiayai gaji sekitar 1.9 pekerja tempatan, kata Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Isnin (19 Okt).

Jumlah itu adalah S$1.5 bilion lebih banyak berbanding agihan pertama pada Julai.

Dengan bayaran yang diagihkan pada Oktober, bantuan JSS berjumlah lebih S$2.5 bilion akan diagihkan, menurut pihak-pihak berkuasa berkenaan dalam satu kenyataan media bersama.

Pertama kali diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam Belanjawan pada Februari, JSS adalah program subsidi gaji bertujuan membantu syarikat-syarikat untuk mengekalkan dan membayar gaji para pekerja mereka sedang perniagaan terjejas oleh pandemik COVID-19.

Untuk membantu mengekalkan pekerjaan, Pemerintah membiayai bersama antara 25 hingga 75 peratus daripada S$4,600 pertama gaji bulanan kasar yang dibayar kepada setiap pekerja rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Skim itu dijangka berakhir selepas bayaran pada Oktober, tetapi Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pada Ogos bahawa pemerintah akan melanjutkan skim itu selama tujuh lagi bulan, namun mengikut pendekatan berperingkat, bergantung kepada sejauh mana teruk sektor itu terjejas - untuk membiayai gaji sehingga Mac 2021.

Untuk agihan pada Oktober, syarikat-syarikat akan menerima sokongan bagi gaji para pekerja tempatan untuk bulan Jun, Julai dan Ogos tahun ini, berdasarkan industri mereka.

Dalam catatan Facebook pada Isnin (19 Okt), Encik Heng menggesa semua majikan untuk "melakukan sedaya upaya bagi mengekalkan pekerja semasa tempoh sukar ini".

"Pekerjaan kekal sebagai keutamaan sedang kami terus menghulurkan bantuan kepada para pekerja dan perniagaan semasa krisis ini," tulisnya.

Syarikat-syarikat dalam industri yang tidak dibenarkan untuk menyambung semula operasi di tapak pekerjaan selepas "tempoh pemutus rantaian jangkitan" akan menerima sokongan 75 peratus untuk tempoh waktu itu, kata pihak berkuasa.

Para majikan yang layak akan dimaklumkan menerusi kiriman surat tentang jumlah agihan tersebut. Mereka juga boleh menggunakan portal myTax untuk melihat versi elektronik surat berkenaan.

Para majikan yang mempunyai aturan bayaran PayNow Corporate atau GIRO bersama IRAS boleh menjangkakan agihan lebih awal mulai 29 Okt.

Sementara itu, para majikan yang lain pula akan menerima cek mulai 4 Nov, namun mereka boleh mendaftar bagi akaun PayNow Corporate sebelum 23 Okt untuk menerima bayaran lebih awal, menurut MOF dan IRAS.

PEMERIKSAAN UNTUK ELAKKAN PENIPUAN

MOF juga memberi amaran bahawa hukuman bagi sebarang percubaan untuk menyalah guna JSS adalah berat, termasuk hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, di samping dinafikan agihan JSS.

Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan bagi kelayakan JSS, segelintir majikan akan menerima surat dari IRAS yang meminta mereka untuk mengkaji semula sendiri sumbangan CPF mereka dan membuat perisytiharan atau menghantar dokumen untuk menyokong kelayakan mereka bagi bayaran JSS.

- CNA/HA/ha

Top