Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 13,000 tempat latihan disediakan bagi pekerja aeroangkasa dengan pakej sokongan dipertingkat

Setelah terpukul teruk oleh kesan pandemik COVID-19 ke atas penerbangan komersil, industri aeroangkasa Singapura akan mendapat bantuan dengan pelanjutan pakej sokongan latihan yang dipertingkatkan buat sektor berkenaan. Ia menyediakan pekerja dengan lebih 13,000 tempat latihan bersubsidi tinggi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Sep 2020 01:54PM Dikemas Kini : 01 Sep 2020 09:10PM

SINGAPURA: Setelah terpukul teruk oleh kesan pandemik COVID-19 ke atas penerbangan komersil, industri aeroangkasa Singapura akan mendapat bantuan dengan pelanjutan pakej sokongan latihan yang dipertingkatkan buat sektor berkenaan. Ia menyediakan pekerja dengan lebih 13,000 tempat latihan bersubsidi tinggi.

Sebahagian daripada Pakej Penstabilan dan Bantuan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat awal tahun ini, pakej itu bertujuan menggalak syarikat untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan kedudukannya sendiri bagi pemulihan masa hadapan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing bersama Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pendidikan Gan Siow Huang mengumumkan langkah-langkah itu pada Selasa (1 Sep) semasa lawatan mereka ke kemudahan Singapore Aero Engine Services Private Limited (SAESL) di Loyang.

Encik Chan berkata pakej itu mencerminkan keyakinan Singapura terhadap sektor tersebut yang akhirnya akan pulih jua.

Pelancaran pakej bagi sektor aeroangkasa itu bakal menyaksikan SkillsFuture Singapore (SSG) menyediakan syarikat dengan bantuan latihan dipertingkat dari 1 September hingga 31 Disember tahun ini.

Syarikat-syarikat yang menghantar pekerja mereka untuk menjalani program latihan bagi sektor tertentu akan menerima gaji tidak hadir dipertingkat pada 90 peratus bagi setiap jam pendapatan asas, tidak melebihi S$10 bagi setiap jam. Di samping itu, ia juga akan menerima bantuan yuran kursus dipertingkat sehingga 90 peratus, naik daripada 50 peratus.

SSG dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) akan bekerjasama dengan lima penyedia latihan yang dilantik untuk meningkatkan keupayaan latihannya semasa tempoh ini. Para penyedia latihan itu - Universiti Nasional Singapura (NUS), NTUC LearningHub, SIA Engineering Company, ST Engineering Aerospace dan Politeknik Temasek - secara bersama akan menawarkan sekitar 100 kursus.

Secara keseluruhannya, kelima-lima penyedia latihan itu akan menawarkan 100 kursus termasuk Sistem Pengurusan Mutu & Keselamatan dalam Aeroangkasa dan WSQ (Pentauliahan Kemahiran Tenaga Kerja) Penyenggaraan Am Pesawat.

Kursus-kursus sedemikian bertujuan membantu para pekerja mendalami pengetahuan mereka dalam bidang-bidang seperti penyenggaraan pesawat dan rangka kerja peraturan.

SSG dan EDB bekerja rapat dengan persatuan dan dewan perniagaan serta kesatuan sekerja untuk melakarkan langkah-langkah bantuan selain juga mendampingi syarikat aeroangkasa - seperti SAESL dan General Electric Aviation - bagi memahami keperluan masing-masing.

Sektor aeroangkasa Singapura - yang menggajikan lebih 22,000 pekerja dengan pengeluaran industri melebihi S$11 bilion pada tahun 2018 - terjejas teruk oleh pandemik COVID-19. Ia menyaksikan syarikat-syarikat seperti gergasi aeroangkasa Amerika, Pratt & Whitney, mengumumkan pemberhentian pekerja sejak beberapa bulan lalu.

"Kesatuan sekerja melobi keras untuk mendapatkan pakej latihan dan bantuan yang dipertingkat bagi industri aeroangkasa untuk menyokong latihan pekerja dalam tempoh ini sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menyelamatkan pekerjaan," kata Naib Pengerusi NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan) Kelompok Aeroangkasa dan Penerbangan, Sazali Zainal.

"Kami menggesa syarikat-syarikat supaya memanfaatkan sepenuhnya kesempatan ini bagi mempertingkatkan kemahiran pekerja dan yang paling penting, bekerjasama dengan kesatuan sekerja untuk mengatasi segala cabaran yang mungkin mereka hadapi sepanjang masa sukar ini," tambah Encik Sazali, yang juga presiden Kesatuan Pekerja Perindustrian dan Perkhidmatan.

Sejak Februari, pakej bantuan latihan dipertingkat sudahpun diperluaskan kepada enam sektor lain - pelancongan, pengangkutan udara, runcit, khidmat makanan, pengangkutan darat serta kesenian dan kebudayaan.

Lebih 35,000 pekerja daripada 920 syarikat menyertai 84,000 latihan yang disediakan di bawah pakej tersebut sedari itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan