Images
  • polis malaysia
    Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Lebih 1,800 kanak-kanak, remaja hilang di M'sia tahun lalu

KUALA LUMPUR: Lebih 1,800 kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun dilaporkan hilang tahun lalu, dengan sekitar 980 daripadanya sudahpun ditemui semula.

824 orang masih lagi hilang, menurut Dewan Rakyat hari ini (16 Nov).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat berkata bahawa jumlah itu meningkat berbanding 2015 iaitu sekitar 1,780 orang hilang dengan 1,560 daripadanya ditemui semula, manakala 219 masih hilang. 

Beliau berkata pada 2014, sejumlah 2,015 orang dilaporkan hilang. Sekitar 1,960 dijumpai semula dan 56 masih hilang.

Hasil siasatan polis mendapati punca utama yang mendorong remaja lari dari rumah adalah untuk mencari kebebasan iaitu hampir 4,190 kes.

Punca-punca lain termasuklah mengikut kawan (1,330 kes), mengikut kekasih (1,025 kes), salah faham keluarga (715 kes), tidak minat untuk belajar (150 kes), mencari kerja (101 kes), bersama ibu atau bapa yang melibatkan hak penjagaan (64 kes) dan tidak mendapat perhatian keluarga (81 kes)  bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Datuk Masir berkata bahawa kes yang melibatkan remaja termasuk kanak-kanak lari dari rumah boleh ditangani sekiranya ibu bapa sentiasa memberi perhatian dan pengawasan terhadap pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka tanpa membiarkan mereka bebas keluar dengan individu yang tidak dikenali.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu memantau penggunaan aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat, WhatsApp dan YouTube kerana boleh mempengaruhi perilaku anak-anak mereka serta menekankan aspek pendidikan agama dan moral sebagai benteng menghindari anak-anak terjerumus dengan aktiviti tidak sihat.

Beliau berkata dari segi jantina mereka yang dilaporkan hilang tahun lalu, perempuan sebanyak 1,222 orang berbanding 581 lelaki.

Bagi statistik mengikut usia pula, kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah adalah sebanyak 65 orang, usia tujuh hingga 12 tahun (297 orang), usia 13 hingga 15 tahun (3,959 orang) dan 16 hingga 18 tahun (3,333 orang) bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Dari segi kaum pula, Melayu sebanyak 5,123 orang, Cina (528 orang), India (758 orang) dan bangsa-bangsa lain (1,245 orang). 

- BERNAMA/SM/sm

Top