Images
  • dorm (1)
    (Gambar fail: TODAY)

Lebih 1,100 pegawai Home Team akan diundurkan dari operasi jaga pekerja asing pada 1 Okt

SINGAPURA: Lebih 1,100 pegawai Home Team yang menyokong operasi menjaga lebih 160,000 pekerja asing di 23 dormitori, akan berundur secara rasmi pada 1 Oktober ini.

Tugas tersebut akan diambil alih oleh sebuah kumpulan di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Ini pengalaman dua orang pegawai Home Team yang menyumbang tenaga dalam operasi tersebut.

Pasukan Bertindak Berbilang Agensi (ITF) ditubuhkan pada April lalu ketika krisis penularan COVID-19 menjadi-jadi di dormitori pekerja asing.

Di bawah ITF, lebih 1,100 pegawai Home Team kemudian dikerahkan berkhidmat dalam Pasukan Sokongan dan Jaminan Hadapan (FAST) yang dikerah memantau keselamatan dan kebajikan lebih 160,000 pekerja asing, di 23 tapak penginapan pekerja asing.

Para pegawai tersebut antara lain perlu melaksanakan langkah-langkah tempat tinggal, kerja dan rehat yang selamat serta menyelaraskan aturan untuk ujian swab untuk para pekerja asing.

Antara kakitangan ITF termasuklah anggota polis kerahan Muhammad Sufian Supardi.

"Saya ingin (menjadi) sukarelawan sebab saya ingin menyumbang kepada negara saya sendiri dan juga untuk pelajari benda yang baru yang saya ingin tahu dan juga melawani COVID-19," menurut Encik Sufian.

Keinginannya untuk membantu begitu besar sehinggakan terpaksa tinggal berasingan dari keluarganya selama hampir dua bulan tidak menjadi masalah.

Ini meskipun isterinya sedang mengandung tiga bulan pada waktu itu.

"Apabila saya di dormitori, saya dapat berita bahawa isteri saya sudah dapat tahu jantina anak kami, anak saya seorang perempuan. Ketika itu saya sedang menjalankan satu ujian swab dan berita gembira itu disampaikan saya dan saya rasa gembira. Dengan cabaran yang saya hadapi pada waktu itu, ia menenangkan fikiran dan hati saya," ujar Encik Sufian lagi.

Seorang lagi pegawai ITF yang secara sukarela menawarkan dirinya untuk ditugaskan di dormitori ialah pegawai Jabatan Ehwal Comersil (CAD), Sheik Ismail, 37 tahun.

Antara sumbangan beliau dalam operasi itu adalah memanfaatkan bahasa ibundanya iaitu Tamil, untuk menjelaskan kepada para pekerja asing mengapa dormitori perlu dikepung.

Satu dugaan yang beliau hadapi adalah - beliau sebenarnya juga sedang memburu ijazah universiti.

Namun tugas di ITF bermakna Encik Sheik Ismail hanya mendapat tidur lima jam sahaja setiap hari, sedangkan beliau punya tugasan-tugasan sekolah yang perlu diselesaikan.

Yang pasti, kesemua pegawai itu bertugas melampaui tugas biasa masing-masing demi menjaga keselamatan negara daripada COVID-19.

ITF akan menyerahkan sepenuhnya tugas menjaga dormitori pekerja asing kepada Kumpulan Jaminan, Penjagaan dan Pendampingan (ACE) di bawah MOM menjelang 1 Oktober nanti. 

- CNA/HK/na

Top