Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 1,000 petugas barisan hadapan Home Team akan disuntik vaksin COVID-19 dalam beberapa minggu mendatang

Sekitar 1,050 pegawai jagaan kesihatan barisan hadapan Home Team akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 dalam masa beberapa minggu akan datang, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2021 01:32PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 12:31AM

SINGAPURA: Sekitar 1,050 pegawai jagaan kesihatan barisan hadapan Home Team akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 dalam masa beberapa minggu akan datang, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (11 Jan).

Antara mereka yang mendapat suntikan vaksin adalah: Para pegawai Khidmat Perubatan Kecemasan (EMS) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kakitangan daripada Divisyen Khidmat Perubatan Home Team dan para pegawai dari divisyen khidmat perubatan Jabatan Penjara Singapura (SPS).

Para pegawai barisan hadapan dari Agensi Sains dan Teknologi Home Team yang menjalankan ujian makmal pada sampel swab dari para pelawat juga akan diberikan suntikan vaksin.

Seramai 1,123 pegawai Home Team sudah dikenal pasti bagi operasi vaksinasi ini, dengan 94 peratus bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin, dedah MHA.

Seramai 80 pegawai disuntik dengan vaksin pada Isnin.

Vaksinasi, termasuk suntikan dos kedua, bagi 1,050 pegawai Home Team dijangka selesai dalam tempoh enam minggu, tambah MHA.

Ini setelah Pemerintah menerima strategi vaksinasi yang melibatkan pemvaksinan kakitangan kesihatan mulai 30 Disember tahun lalu dan akan memperluaskannya ke lebih banyak institusi jagaan kesihatan dalam masa beberapa minggu mendatang.

Matlamatnya adalah untuk memberikan vaksin, bermula dengan warga emas yang berusia 70 tahun ke atas, mulai Februari sebelum memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Singapura yang lain dan penduduk jangka panjang yang secara perubatan layak mendapatkan suntikan vaksin.

Vaksin COVID-19, yang dihasilkan oleh gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer dan firma Jerman BioNTech, memerlukan dua suntikan yang diberikan dengan jarak 21 hari.

WO1 SHAFIEE YANG PERTAMA DISUNTIK

Pegawai jagaan kesihatan barisan hadapan Home Team yang pertama disuntik dengan vaksin adalah Pegawai Waran 1 (WO1) SCDF Mohamed Shafiee Jamin. Lelaki berusia 38 tahun itu adalah seorang paramedik SCDF di Balai Bomba Kallang yang bertindak menangani kes-kes kecemasan perubatan setiap hari.

WO1 Shafiee pernah memberikan respons dan menguruskan kes-kes yang disyaki dijangkiti COVID-19 sebagai sebahagian daripada tugasnya.

"Vaksin ini memberi saya keyakinan dan ketenangan apabila menjalankan tugas saya sebagai kakitangan barisan hadapan SCDF," katanya.

"Mengambil vaksin bukan hanya untuk keselamatan diri saya, tetapi juga untuk keselamatan pesakit, rakan sekerja dan orang tersayang."

Isteri WO1 Shafiee juga adalah seorang paramedik SCDF dan akan menerima suntikan vaksin dalam masa beberapa hari akan datang. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan