Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LawSoc 'pantau rapi' hal berkaitan peguam M Ravi, akan ambil 'tindakan sewajarnya'

Persatuan Guaman (LawSoc) Singapura menyatakan pada Khamis (25 Nov) ia sedang memantau rapi hal-hal melibatkan peguam M Ravi, yang mendapat sorotan sejak beberapa minggu kebelakangan ini atas tingkah lakunya.

Anggaran Waktu Membaca:
LawSoc 'pantau rapi' hal berkaitan peguam M Ravi, akan ambil 'tindakan sewajarnya'

Peguam M Ravi. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 08:37PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 08:40PM

SINGAPURA: Persatuan Guaman (LawSoc) Singapura menyatakan pada Khamis (25 Nov) ia sedang memantau rapi hal-hal melibatkan peguam M Ravi, yang mendapat sorotan sejak beberapa minggu kebelakangan ini atas tingkah lakunya.

Pada hari pertama perbicaraan tindakan guaman oleh pemandu bas terhadap SBS Transit, Isnin lalu, Encik Ravi menggelar peguam bagi pengendali pengangkutan itu, Encik Davinder Singh sebagai "badut" dan meminta hakim menarik diri daripada kes itu selepas mendakwa beliau "berat sebelah".

Pada hari-hari berikutnya, anak guam beliau menggugurkannya sebagai peguam mereka dan melantik Lim Tean sebagai ganti, dengan berkata Encik Ravi telah memalukan dan "amat" mengecewakan mereka.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, LawSoc, yang mengawal selia peguam di Singapura, menyatakan: "Persatuan Guaman memantau rapi hal-hal melibatkan Encik M Ravi. Pihak Persatuan sedang mempertimbangkan hal ini dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya."

Encik Ravi, membuat dakwaan mengenai rakan-rakan peguam di laman Facebook awamnya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dan diarahkan Mahkamah Rayuan pada Mei untuk membayar kos peribadi pihak pendakwaan berhubung permohonan yang dibuatnya dalam kes pengedar dadah yang dikenakan hukuman mati.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan itu menyifatkan kelakuan Encik Ravi sebagai "mengerikan", "tidak wajar" dan juga "menunjuk-nunjuk". Beliau memilih untuk mengemukakan permohonan yang tidak wajar dan perlu menanggung "kos", menimbulkan pelbagai hujah "untuk melihat apa yang mengena", kata mahkamah.

Pada Oktober 2020, Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan aduan disiplin kepada LawSoc terhadap Encik Ravi berhubung "kemungkinan salah laku profesional".

Ini selepas beliau dikatakan gagal memohon maaf dan menarik balik dakwaan berhubung kes pengedar dadah lain, yang hukuman matinya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada Disember 2020, Encik Ravi didakwa di mahkamah dengan fitnah jenayah terhadap Menteri Undang-Undang K Shanmugam, dengan memetik dakwaan bahawa Encik Shanmugam "membuat (keputusan)" dan "pengaruh" ke atas Ketua Hakim.

Pada Mac tahun ini, AGC menghentikan prosiding jenayah dengan syarat Encik Ravi menerima amaran bersyarat 24 bulan untuk kesalahan itu, memadamkan kenyataan Facebook yang berkaitan dan menerbitkan permohonan maaf serta berjanji untuk tidak mengulangi dakwaan itu.

Ini adalah selepas "pertimbangan teliti" pembentangan hujah yang dibuat oleh peguam bela Encik Ravi, kata AGC ketika itu.

Pada 2016, Encik Ravi dilarang daripada memohon sijil praktik guamannya semula selama dua tahun, dengan mahkamah menyatakan keadaan mentalnya menyebabkan beliau berkelakuan "memalukan berhubung dengan badan kehakiman, anak guamnya dan kerjaya peguam secara keseluruhan".

Encik Ravi, yang mengalami gangguan bipolar, kembali berkhidmat sebagai peguam pada 2019.

Di bawah Akta Kerjaya Guaman, peguam yang didapati bersalah melakukan salah laku boleh dicela, dilarang memohon sijil praktik guaman sehingga lima tahun, diarah membayar denda sehingga S$20,000 atau nama mereka digugurkan dari daftar peguam.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan