Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawrence Wong: Usaha dipertingkat pada minggu-minggu mendatang bantu penduduk memerlukan

Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata usaha akan dipertingkat pada minggu-minggu mendatang untuk membantu para penduduk memerlukan semasa tempoh COVID-19 ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lawrence Wong: Usaha dipertingkat pada minggu-minggu mendatang bantu penduduk memerlukan

Encik Lawrence Wong membantu mengagihkan daging korban kepada penduduk di Choa Chu Kang. (Gambar-gambar: Jamiyah Singapura)

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata usaha akan dipertingkat pada minggu-minggu mendatang untuk membantu para penduduk memerlukan semasa tempoh COVID-19 ini.

Beliau mengatakan demikian hari ini (3 Oct) sempena acara pengagihan daging korban anjuran Jamiyah Singapura kepada 500 keluarga memerlukan.

Lebih 1,200 keluarga kesemuanya sudah menerima pengagihan daging korban daripada Jamiyah sejak lebih sebulan lalu.

Mereka termasuklah 300 keluarga kurang bernasib baik di Chua Chu Kang dan 200 keluarga di Bukit Batok hari ini.

Pengagihan di Bukit Batok dipimpin oleh Anggota Parlimen kawasan undi berkenaan, iaitu Encik Murali Pillai.

(Gambar-gambar: Jamiyah Singapura)

Pengagihan daging korban Jamiyah itu dilakukan dengan kerjasama badan-badan akar umbi di kedua-dua kawasan undi tersebut.

Selain daging korban, para penduduk juga menerima habuan-habuan lain seperti biskut dan makanan dalam tin yang didermakan badan akar umbi.

Semasa pengagihan habuan di Blok 537 Choa Chu Kang Street 51 itu, Encik Lawrence Wong yang juga merupakan Menteri Kedua Kewangan, turun padang untuk sama-sama menjayakan inisiatif ini.

Ia merupakan pengagihan daging korban kedua, dengan pengagihan pertama kepada lebih 700 keluarga dijalankan pada Ogos.

Encik Wong akur bahawa semasa tempoh COVID-19 ini, ramai penduduk menghadapi kesukaran dan ramai yang memerlukan bantuan.

"Untuk membantu mereka mengharungi masa-masa mencabar ini, kami gembira bahawa terdapat pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Jamiyah yang bekerjasama dengan kami untuk mendampingi para penduduk kami. Dan kami mendekati penduduk di flat-flat sewa kali ini.

"Kami akan terus meningkatkan usaha pada minggu-minggu mendatang kerana kami maklum bahawa ada para penduduk yang menghadapi kesukaran dan kami akan melakukan segalanya untuk membantu mereka mengharungi tempoh sukar ini," kata Encik Wong kepada BERITAmediacorp.

(Gambar-gambar: Jamiyah Singapura)

Beliau juga melahirkan rasa "sangat gembira" melihat "perkongsian rapat" antara badan kebajikan seperti Jamiyah dengan pemerintah untuk membantu para penduduk memerlukan seperti ini.

Di pihaknya juga, pemerintah sedang meningkatkan usaha menerusi pelbagai skim bantuan berbeza-beza untuk mendekati rakyat mengharungi keadaan mencabar sekarang ini, tambah Encik Wong lagi.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Pendampingan dan Pembangunan Masyarakat Singapura (CODD) Jamiyah, Abdul Halim Aliman, berkata bahawa pihaknya akan mengadakan pengagihan bantuan kepada lagi "empat atau lima kawasan akar umbi daripada sekarang hingga akhir bulan ini".

Semua itu akan dilakukan dengan kerjasama badan-badan akar umbi, tekan beliau.

Selain pemberian habuan makanan, Jamiyah juga merancang mempergiat kerjasama dengan badan-badan akar umbi untuk membantu memperkasa para penerima bantuannya.

Encik Halim berkata para penerima bantuan Jamiyah itu akan dibimbing mempertingkat kemahiran mereka. Ini khususnya bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah dan juga warga emas, menurut Jamiyah.

(Gambar-gambar: Jamiyah Singapura)

Antara lain Jamiyah berharap melengkapi mereka dengan kemahiran berniaga kecil-kecilan dari rumah seperti memasak dan menjahit.

Selaras dengan itu juga, badan kebajikan itu akan meningkatkan lagi program-program memperkasa penerima bantuannya, kata Encik Halim lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan