Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawrence Wong: Elak buat spekulasi, taruh harapan dapat 'pampasan besar'

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata, menaikkan harapan pemilik rumah selepas pengumuman Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (VERS) baru-baru ini adalah "tidak produktif".

Anggaran Waktu Membaca:
Lawrence Wong: Elak buat spekulasi, taruh harapan dapat 'pampasan besar'

Encik Wong bercakap kepada media di forum REACH.

Diterbitkan : 22 Aug 2018 11:23AM Dikemas Kini : 22 Aug 2018 11:25AM

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata, menaikkan harapan pemilik rumah selepas pengumuman Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (VERS) baru-baru ini adalah "tidak produktif".

VERS adalah satu skim yang membolehkan pemerintah mengambil balik flat HDB sebelum tamat tempoh pajakan.

"Kita semua, termasuk media, (perlu) memastikan bahawa kita tidak membuat spekulasi tentang pasaran (hartanah)... atau orang ramai akan terlalu ghairah atau mengharap... memikirkan ia akan membantu merancakkan pasaran jualan semula," katanya kepada para wartawan di luar forum REACH semalam (21 Ogos).

Mereka perlu mengelak daripada membuat spekulasi tentang pasaran, dengan harapan "akan diberikan pampasan yang besar", katanya sambil menambah bahawa Pemerintah akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengecewakan rakyat.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (19 Ogos) bahawa Pemerintah akan mengambil balik beberapa flat HDB apabila usianya mencecah 70 tahun untuk membangunkan semula estet-estet kejiranan secara berperingkat.

Para pemilik rumah boleh mengundi sama ada mereka ingin berpindah dan akan menerima pampasan sekiranya flat mereka diambil semula, kata PM Lee. Namun, skim itu masih dalam tahap perancangan dan ia hanya akan dilaksanakan dalam kira-kira 20 tahun akan datang.

PM Lee turut mengumumkan bahawa setiap flat HDB akan dinaik taraf dua kali di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP) II.

Pada Selasa (21 Ogos), Encik Wong menambah bahawa Skim Pembangunan Semula Berkelompok Terpilih (SERS) akan terus dilaksanakan ke atas semua baki tapak yang mempunyai potensi pembangunan tinggi.

Menurut anggaran HDB, hanya lima peratus flat HDB yang sesuai bagi SERS.

"Masih ada lagi tapi kami akhirnya akan mencapai hadnya... apabila itu terjadi, kami akan beralih kepada program VERS," kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa Pemerintah berharap dapat mengumpul lebih banyak maklum balas tentang perubahan dasar-dasar perumahan yang diusulkan sebelum ia dimuktamadkan.

Encik Wong berkata demikian semasa bercakap kepada para wartawan selepas sesi maklum balas yang diadakan oleh REACH berkaitan Rapat Umum Hari Kebangsaan. Sesi dihadiri lebih 130 peserta itu membincangkan tentang kos sara hidup, isu-isu perumahan dan hubungan luar negeri.

Menyentuh keprihatinan seorang peserta tentang perpecahan masyarakat yang mungkin timbul dari keputusan undian VERS, Encik Wong berkata: "Saya akui ini mungkin berlaku... tetapi kami ada pengalaman dan kami akan meluangkan masa untuk meneliti mekanisme-mekanisme yang tepat dan cara untuk menanganinya tanpa menyebabkan terlalu banyak perpecahan atau rasa tidak puas hati di kalangan penduduk di blok itu sendiri."

Pembaharuan kepimpinan dalam Pemerintah antara perkara lain yang dikemukakan dalam forum yang dipengerusikan Encik Sam Tan, pengerusi REACH yang juga Menteri Negara bagi Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Seorang peserta forum bertanya jika rancangan-rancangan jangka panjang yang dibentangkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan dapat dipenuhi perdana menteri selanjutnya.

Menjawab pertanyaan itu, Encik Wong berkata kemampuan Singapura untuk membuat rancangan bagi masa depan "agak unik".

"Saya tidak pasti jika ada negara lain yang merancang dan memikirkan tentang penyegaran bandar pada skala yang kami bincangkan. Sememangnya ia rancangan jangka masa panjang. Ia belum dilakukan di mana-mana tempat lain di dunia. Ia akan lebih mencabar daripada fasa pertama kami membina HDB," kata Encik Wong.

"Tetapi kami perlu merancang sekarang dan perkara utama adalah kerjasama antara Pemerintah dengan masyarakat untuk melaksanakan rancangan-rancangan ini," tambahnya.

Menyentuh tentang Skim Beli Balik Pajakan yang baru-baru ini diperluaskan untuk merangkumi semua flat HDB, Encik Wong berkata permintaannya "tidak begitu tinggi" namun ia akan memberi warga emas ketenteraman fikiran jika mereka mahu meraih pendapatan dari hartanah mereka untuk persaraan.

"Ia bukan sangat tentang wang, tidak semua yang akan membuat pilihan ini... Tetapi dengan menyediakan pilihan ini kepada setiap pemilik rumah... ia akan memberi jaminan bahawa apa pun yang berlaku... akan ada jalan lain," tambah Encik Wong.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan