Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Lawatan tanpa kebenaran' Menteri Besar Johor ke kapal Pedoman satu "tindakan provokatif', tegas MFA

'Lawatan tanpa kebenaran' Menteri Besar Johor Osman Sapian ke kapal Pedoman milik Malaysia di perairan Singapura pada minggu lalu adalah satu 'tindakan provokatif' yang melanggar perjanjian kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
'Lawatan tanpa kebenaran' Menteri Besar Johor ke kapal Pedoman satu "tindakan provokatif', tegas MFA

Menteri Besar Johor Dato' Osman Sapian di kapal Pedoman. (Gambar-gambar: SPF)

Diterbitkan : 13 Jan 2019 07:58PM Dikemas Kini : 13 Jan 2019 08:05PM

SINGAPURA: 'Lawatan tanpa kebenaran' Menteri Besar Johor Osman Sapian ke kapal Pedoman milik Malaysia di perairan Singapura pada minggu lalu adalah satu 'tindakan provokatif' yang melanggar perjanjian kedua-dua negara untuk menghuraikan isu-isu dua hala secara tenang dan membina, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Ahad (13 Jan).

Menurut MFA, pihaknya sudah menghantar nota diplomatik kepada Malaysia pada Jumaat lalu untuk membantah 'lawatan tanpa kebenaran' yang dilakukan oleh Menteri Besar Johor Osman Sapian ke kapal Pedoman pada 9 Januari.

"Tindakan provokatif sedemikian melanggar persetujuan yang dicapai sehari sebelum itu oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah, untuk menghuraikan isu-isu dua hala secara tenang dan membina," menurut MFA.

Pencerobohan oleh Menteri Besar Johor turut mewujudkan suasana yang tidak sesuai untuk mengadakan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), yang mendorong Singapura untuk menangguhkan mesyuarat tersebut.

Mesyuarat tersebut pada awalnya dijadual berlangsung pada 14 Januari.

MFA bagaimanapun menegaskan bahawa inisiatif Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali untuk melakukan lawatan dan mengadakan rundingan dengan menteri-menteri Singapura pada Ahad dan Isnin tetap dialu-alukan.

Kapal-kapal kerajaan Malaysia didapati sudah berkali-kali mencerobohi perairan Singapura sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas Malaysia melanjutkan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober lalu.

Singapura turut membantah peluasan had pelabuhan Johor Bahru dan pergerakan kapal di kawasan berkenaan.

Sebagai membalas tindakan itu, Kementerian Pengangkutan Singapura juga memperluaskan had pelabuhan Singapura di Tuas.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan