Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Latihan reformatif bagi remaja yang ulangi kesalahan rakam video bawah skirt

Meskipun sedang menjalani probesen bagi kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini termasuk merakam video bawah skirt guru sekolahnya, seorang belia lelaki telah membeli telefon baru dan sekali lagi merakam video serupa seorang wanita di dalam lif.

Anggaran Waktu Membaca:
Latihan reformatif bagi remaja yang ulangi kesalahan rakam video bawah skirt

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Jan 2019 11:51PM Dikemas Kini : 04 Jan 2019 02:49AM

SINGAPURA: Meskipun sedang menjalani probesen bagi kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini termasuk merakam video bawah skirt guru sekolahnya, seorang belia lelaki membeli telefon baru dan sekali lagi merakam video serupa seorang wanita di dalam lif.

Atas tindakannya itu, Daniel Chua Poh Boon, 20 tahun, dihadapkan semula ke mahkamah hari ini (3 Jan), di mana hakim memarahinya atas tindakannya itu.

Chua dikenakan probesen atas lima kesalahan yang dilakukan pada 2015, termasuk merakam video bawah skirt gurunya yang berusia 27 tahun di sekolah, membakar papan tulis di sebuah sekolah terbiar dan mencuri kereta mainan.

Ibunya membayar bon S$5,000 pada masa itu sebagai jaminan Chua akan berkelakuan baik dan salah satu syarat probesennya adalah, dia tidak boleh membeli telefon dengan fungsi kamera.

Namun, mahkamah diberitahu, selepas dia diletakkan di bawah probesen, dia melanggar syarat itu dan membeli telefon bijak Samsung J3 Pro berwarna hitam.

Ibunya mengetahui tentangnya, menurut Hakim Daerah Mathew Joseph.

Dengan telefon yang dibeli itu, Chua mengekori seorang wanita berusia 25 tahun ke dalam sebuah lif di Sengkang pada 5 Dis 2017.

Dia berdiri di belakang wanita berkenaan dan meletakkan telefon bimbitnya di bawah pakaiannya, menurut pihak pendakwa.

Wanita itu melihat cermin dalam lif dan ternampak tangan Chua di bawah pakaiannya. Menyedari lensa kamera telefon bimbit menghadap ke arah atas, mangsa segera bersemuka dengan Chua, sebelum menahannya dan menelefon polis.

Chua kemudian mengaku bahawa dia merakam video bawah skirt wanita berkenaan.

Tindakannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam lif, dan satu video 18 saat ditemui dalam telefon bimbitnya.

Chua mengaku bersalah atas satu tuduhan mengganggu privasi wanita berkenaan dengan niat mencabul kehormatannya.

PEMBELA MINTA PROBESEN, PENDAKWA BANGKANG

Peguam belanya, Encik Dennis Chua meminta hakim supaya menjatuhkan hukuman probesen ke atas anak guamnya, namun pihak pendakwa sebaliknya meminta dia diberi latihan reformatif.

Latihan reformatif merupakan hukuman lebih berat berbanding probesen, dan dijatuhkan ke atas para pesalah berusia bawah 21 tahun. Mereka ditahan dalam sekitaran berstruktur dengan tumpuan terhadap pemulihan.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Yanying berkata Chua "tidak menunjukkan penyesalan yang tulen", kerana dia tidak hadir untuk melakukan kerja kemasyarakatan yang diperlukan sebanyak tujuh kali.

Di samping itu, ibunya "membenarkan dia berkelakuan sedemikian". Meletakkannya di bawah probesen akan mendedahkan dirinya kepada risiko ini, kata Cik Tan.

Peguam bela Chua mengakui bahawa keluarganya gagal mencegah tertuduh daripada mengulangi kesilapannya, tetapi berkata ibu Chua menyesal dan sudah mempelajari daripada kesilapannya.

Hakim berkata ibu Chua "gagal teruk" dalam memastikan Chua berkelakuan baik.

Dia seharusnya membantu anaknya dalam pemulihannya, katanya, tetapi sebaliknya dia membantu Chua untuk mendapatkan telefon bimbit baru yang kemudian digunakan untuk mengulangi kesilapannya.

Pihak pembela berkata Chua didapati berkelakuan baik semasa menjalani Perkhidmatan Negara, dan terdapat "aspek positif kepada anak muda ini" yang mewajarkan probesen.

Hakim menjatuhkan hukuman latihan reformatif selama sekurang-kurangnya enam bulan ke atas Chua. Namun, hakim memulangkan bon S$5,000 yang dibayar ibu Chua, seperti yang dirayu peguam belanya sebagai tanda ihsan. Telefon bimbit Chua diserahkan kepada polis untuk dihapuskan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan