Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laporan polis libatkan pergeseran kaum, agama naik seganda pada 2020: Shanmugam

Polis menerima 60 laporan mengenai kejadian yang melibatkan pergeseran antara kaum atau agama pada 2020, hampir seganda berbanding 31 kejadian pada tahun sebelumnya, dedah Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (5 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan polis libatkan pergeseran kaum, agama naik seganda pada 2020: Shanmugam

Gambar fail: Hanidah Amin

Diterbitkan : 05 Jul 2021 10:04PM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 10:06PM

SINGAPURA: Polis menerima 60 laporan mengenai kejadian yang melibatkan pergeseran antara kaum atau agama pada 2020, hampir seganda berbanding 31 kejadian pada tahun sebelumnya, dedah Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (5 Jul).

Laporan-laporan tersebut disenaraikan di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, yang merangkumi tindakan yang sengaja menyakiti perasaan mana-mana orang, berunsurkan perkauman dan agama, menggalak permusuhan antara kumpulan kaum dan agama yang berbeza atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni kaum dan agama.

Terdapat 18 laporan seperti itu pada 2018, 11 pada 2017 dan 23 pada 2016.

Encik Shanmugam berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan parlimen oleh Anggota Parlimen Seah Kian Peng (PAP-Marine Parade), yang ingin tahu jumlah kejadian berbaur perkauman yang dilaporkan kepada polis selama tempoh lima tahun lalu.

Encik Seah juga meminta penilaian Pemerintah tentang "tahap kesediaan warga Singapura untuk mengharungi masyarakat yang semakin berpecah belah".

Pertanyaan tersebut diajukan di tengah-tengah beberapa kejadian yang dianggap berbaur perkauman, dan juga perbincangan mengenai hubungan kaum di Singapura.

Encik Shanmugam akur bahawa perangkaan 2020 menunjukkan satu peningkatan, sambil menekankan bahawa laporan-laporan tersebut dibuat semasa tempoh COVID-19 dan Pilihan Raya.

Beliau berkata keadaan masyarakat yang kini berpecah-belah adalah satu kebimbangan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Namun beliau menarik perhatian bahawa satu tinjauan dalam negeri menunjukkan 97 peratus responden yakin tahap keharmonian kaum dan agama di Singapura adalah sederhana, tinggi atau sangat tinggi.

Namun tinjauan yang sama juga menunjukkan bahawa kira-kira sepertiga golongan minoriti merasakan berlaku diskriminasi di tempat kerja sekurang-kurangnya sekali-sekala.

"Bagaimanapun, sepertimana yang kerap kali ditekankan oleh Pemerintah, kita harus menerima bahawa masih wujud garis perbezaan berhubung kaum dan agama," kata Encik Shanmugam. "Dan sikap perkauman juga wujud."

Encik Shanmugam berkata Pemerintah harus terus menjadi "pengantara yang objektif dan berkecuali" dan mengambil tindakan terhadap siapa pun, tanpa mengira bangsa, yang melakukan tindakan yang menghasut permusuhan dan mengancam keharmonian kaum.

"Ini memberi keyakinan kepada semua masyarakat bahawa mereka boleh mempercayai Pemerintah untuk menjaga kepentingan mereka dan menjaga hubungan kaum kita," katanya.

Namun begitu, Encik Shanmugam berkata tidak semua tuduhan dan dakwaan yang muncul di ruang awam melanggar batasan dan mengundang pendakwaan atau tindakan undang-undang.

"Jika kita menghukum setiap tuduhan, tidak kira seberapa remeh, ini boleh mendorong orang untuk membuat laporan polis setiap kali terasa tersinggung berhubung isu kaum, sama ada nyata atau disalah faham, atau sengaja diperbesar-besarkan," katanya.

"Lambat laun, ini malah boleh meningkatkan ketegangan antara kaum dan menjejaskan keharmonian sosial kita."

Encik Shanmugam berkata undang-undang tidak seharusnya menjadi huraian dalam setiap keadaan, dan menekankan pentingnya penduduk bersatu sebagai sebuah masyarakat untuk melindungi daripada keretakan sosial dan mengembangkan ruang yang dikongsi.

"Walaupun kita harus bersuara menentang tindakan perkauman yang jelas, kita harus berhemat dalam cara membangkitkan masalah, dengan cara yang dapat merapatkan perbezaan dan tidak memperdalam garis perbezaan," tambahnya.

"Sekiranya kita melakukan ini, dan terus mengambil tindakan terhadap diskriminasi di mana-mana pun kita melihatnya, berdasarkan asas kita yang memang kukuh, saya yakin bahawa kita akan menjadi masyarakat yang lebih satu padu dan harmoni."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan