Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah lebih khusus perlu untuk bantu pelbagai jenis perniagaan, kata Chan Chun Sing

Langkah-langkah sokongan mesti "lebih khusus" untuk membantu pelbagai jenis perniagaan terus bertahan daripada kesan pandemik COVID-19, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Khamis (13 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Aug 2020 01:08PM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 09:06PM

SINGAPURA: Langkah-langkah sokongan mesti "lebih khusus" untuk membantu pelbagai jenis perniagaan terus bertahan daripada kesan pandemik COVID-19, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Khamis (13 Ogos).

Semasa diwawancara dalam rancangan CNA, Asia First, menteri itu berkata ada tiga jenis syarikat yang berlainan.

Jenis pertama merujuk kepada firma-firma yang terus menyaksikan pasaran berkembang walaupun di tengah-tengah kemelesetan ekonomi disebabkan oleh pandemik itu. Ini seperti firma dalam industri-industri biofarmaseutikal dan kejuruteraan jitu.

Kategori kedua termasuk syarikat dalam sektor-sektori seperti runcit serta makanan dan minuman (F&B) di mana permintaannya menguncup buat sementara waktu tetapi akhirnya akan bangkit semula.

Jenis syarikat ketiga adalah yang paling teruk terjejas, menurut Encik Chan kerana "permintaan tidak mungkin akan kembali seperti waktu lalu dalam tempoh jangka pendek hingga pertengahan". Ini meliputi syarikat dalam industri hiburan sosial.

Ketika ditanya oleh Mediacorp jika Pemerintah akan memperluaskan langkah-langkah sokongan sedia ada kepada syarikat-syarikat perusahaan atau mengumumkan pakej rangsangan lain, Encik Chan berkata: "Kami memerlukan langkah-langkah yang berbeza untuk pelbagai jenis syarikat - sesetengahnya untuk menolong mereka berkembang lebih pantas, ada yang membantu mereka mengukuhkan kemampuan mereka sementara mengekalkan keupayaan teras mereka dan beberapa langkah lain untuk membantunya berpaling ke produk serta pasaran baru.

"Jadi langkah-langkah ini agak berbeza dan mesti disasarkan agar dapat memberi manfaat kepada kepada syarikat masing-masing."

Menteri itu menambah tumpuan tidak seharusnya pada usaha merangsang permintaan memandangkan cabaran lebih besar masih terletak pada permintaan luar yang lemah di mana sebuah pakej rangsangan "tidak dapat membantu secara keseluruhannya".

“Jadi apa yang kita perlu lakukan adalah sebuah pakej untuk membantu syarikat-syarikat kita beralih ke pasaran baru dan rangkaian produk baru agar kita boleh merebut peluang baru dalam sekitaran baru."

Peluang-peluang baru itu kini disaksikan di rantau ini sedang syarikat merombak semula pengeluaran dan rantaian bekalannya, tambah beliau.

“Pada masa yang sama, kita mesti memastikan kita terus mempertahankan ibu pejabat serantau yang dibangunkan di sini supaya kita boleh mengekalkan pekerjaan untuk rakyat kita sebanyak mungkin," kata menteri itu.

Dalam satu sidang media awal minggu ini, Encik Chan berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan menangani ehwal berkaitan langkah sokongan "apabila tiba masanya nanti".

Encik Heng, dalam satu catatan Facebook pada Rabu, berkata beliau meyakinkan para pemimpin perniagaan dan kesatuan bahawa Pemerintah kekal komited untuk membantu pekerja serta syarikat.

Beliau juga menulis bahawa beliau sudah melakukan "perbincangan intensif" dengan agensi-agensi pemerintah untuk meninjau dan menyesuaikan skim sokongan sedang keadaan semasa.

KEPUTUSAN 'SUKAR' AKAN DIBUAT

Data yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan ekonomi Singapura menguncup 6.7 peratus pada separuh pertama tahun ini, dengan kemerosotan suku tahunan mencecah paras rekod pada suku kedua di tengah-tengah 'circuit breaker' selama dua bulan serta permintaan luaran yang lemah.

Penggubal dasar menjangkakan ekonomi akan menguncup antara lima hingga tujuh peratus tahun ini, menandakan Singapura akan mengalami kemelesetan ekonomi paling buruk sejak mencapai kemerdekaan.

Ketika ditanya sama ada beliau prihatin keadaan ekonomi dan pengambilan pekerja di Singapura boleh memburuk, Encik Chan menggariskan tiga faktor yang boleh menentukan hala tuju pertumbuhan negara dalam masa beberapa bulan akan datang.

Permintaan luar, yang akan terpengaruh oleh gelombang jangkitan berulang di bahagian lain dunia dan kesannya terhadap ekonomi serta rantaian bekalan, adalah salah satu daripadanya tetapi itu tidak dalam kawalan negara, ujar beliau.

Faktor lain yang berada dalam kawalan termasuk sama ada Singapura dapat membuka semula ekonomi domestiknya secara mampan dan bertahap-tahap.

Ada "kemajuan yang baik" tetapi menteri itu memberi amaran terhadap sikap berpeluk tubuh memandangkan pengalaman bagaimana gelombang jangkitan yang berulang mendorong ekonomi lain untuk menguatkuasakan penutupan semula.

Lebih penting lagi, keputusan yang proaktif dan "sukar" harus dibuat untuk mengerahkan semula "modal, tanah, tenaga kerja dan faktor pengeluaran lain ke dalam bidang pekerjaan yang lebih produktif", kata Encik Chan.

Keputusan sukar ini berkisar tentang bagaimana untuk membantu perniagaan yang berlainan mengatasi pandemik itu, terutamanya dengan kumpulan yang tidak akan menyaksikan semula permintaan dalam jangka pendek hingga pertengahan.

"Sebagai contoh, pekerja dalam industri hiburan sosial, sehingga dan kecuali kita dapat menghasilkan model baru tentang bagaimana kita boleh menjalankan perniagaan dengan selamat dalam persekitaran COVID-19 ini, ia akan menjadi sangat sukar bagi kita. Jadi bayangkan mereka kembali beroperasi secara online seperti apa yang biasa mereka lakukan dalam model operasi sebelumnya."

Encik Chan menambah bahawa sukar bagi beberapa pengusaha untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang berubah setelah menghabiskan banyak waktu dan berusaha keras untuk membangunkan perniagaan mereka. Namun, beliau berkata Pemerintah komited untuk membantu mereka beralih ke pasaran serta produk baru. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan