Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah keselamatan semasa pengedaran pelitup guna semula bermula 5 Apr

Beberapa langkah membendung  penularan virus korona COVID-19 akan dilaksanakan semasa proses pembahagian   pelitup yang boleh diguna semula bermula Ahad (5 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Apr 2020 07:50PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 12:16AM

SINGAPURA: Beberapa langkah membendung penularan virus korona COVID-19 akan dilaksanakan semasa proses pembahagian pelitup yang boleh diguna semula bermula Ahad (5 Apr).

Pada Jumaat (3 Apr), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Pemerintah tidak lagi tidak menggalakkan orang ramai daripada memakai pelitup muka dan akan mengedarkan pelitup yang boleh diguna semula kepada semua keluarga. Memandangkan keadaan COVID-19 yang terus berubah-ubah, kini terdapat bukti bahawa individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom boleh menjangkiti virus itu kepada orang lain.

Bagi mengurangkan orang ramai tergesa-gesa dan beratur panjang di pusat pengambilan bagi pelitup tersebut, terdapat beberapa langkah yang akan diambil, kata Menteri Perusahaan dan Perdagangan Chan Chun Sing dalam satu catatan Facebook hari ini.

Waktu pengambilan akan diatur secara berperingkat-peringkat mengikut blok dan kawasan bagi mengurangkan barisan orang beratur yang panjang, kata beliau. Terdapat juga laluan keutamaan bagi warga tua dan mereka yang memerlukan bantuan.

Di samping itu, akan terdapat sebanyak mungkin kaunter pengambilan yang disediakan, bergantung kepada bilangan relawan yang ada.

"Kami amat mengalu-alukan penduduk untuk menghulurkan khidmat secara sukarela di RC/CC mereka untuk mengurangkan beban," tulis Encik Chan.

BAGAIMANA ANDA BOLEH BANTU PERCEPATKAN PROSES?

Bagi memudahkan proses pengambilan dan mengurangkan masa yang diperlukan bagi setiap agihan, Encik Chan berkata penduduk boleh membantu dengan mengumpulkan kad pengenalan anggota keluarga mereka dan mengambil pelitup muka tersebut sebagai sebuah keluarga dan bukan hadir secara sendirian.

Pembantu rumah juga akan menerima pelitup itu, kata Encik Chan. "Kita harus menjaga mereka seperti mana mereka menjaga keluarga kita."

Dalam catatannya, Encik Chan juga akur bahawa mengirimkan pelitup muka itu melalui pos kepada keluarga pernah dipertimbangkan sebelum ini tetapi ia tidak dilaksanakan atas beberapa sebab.

Pertama, beliau berkata dengan mengirimkan melalui pos kepada setiap keluarga akan membawa kepada "pembaziran besar" kerana tidak semua orang mungkin mahu atau memerlukan pelitup itu.

"Semasa pengambilan pelitup pembedahan baru-baru ini, lebih 30 peratus keluarga tidak mengambilnya atau berpendapat mereka tidak memerlukan pelitup itu.

"Ini bermakna membazir lebih sejuta pelitup yang berharga," jelasnya.

Beliau menambah: "Untuk membungkus pelitup itu berdasarkan jumlah orang yang tinggal di dalam setiap rumah akan memerlukan banyak masa dan usaha tenaga manusia.

"Sekalipun jika kita menghantar pelitup muka yang dibungkuskan secara berasingan kepada setiap individu, ia juga akan memerlukan lebih banyak tenaga dan masa."

Pelitup yang boleh digunakan semula itu akan diedarkan mulai esok (5 Apr) hingga 12 April.

Penduduk boleh mengambil pelitup itu di Kelab Masyarakat dan Pusat Jawatankuasa Penduduk masing-masing antara 3.00 petang hingga 9.00 malam pada hari-hari biasa manakala pada hujung minggu dan cuti umum pula, dari 10.00 pagi hingga 9.00 malam.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan