Images
  • josephine teo
    Gambar fail Cik Josephine Teo.

Laman web salah guna nama Josephine Teo untuk perdaya pembaca

SINGAPURA: Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo memberi amaran tentang laman web palsu yang menunjukkan nukilan-nukilan yang kononnya dikatakan oleh beliau untuk memperdaya para pembaca supaya mendaftarkan diri menerusi sebuah wadah online.

"Ada laman web palsu yang mengaitkan komen-komen tertentu dengan saya untuk mengajak para pengguna supaya mendaftarkan diri menerusi sebuah wadah online, menyediakan maklumat kad kredit atau bank dan membuat pembayaran pendahuluan," kata Cik Teo dalam catatan Facebook pada Rabu (15 Mei).

Cik Teo menyifatkan laman web itu sebagai "sangat mengelirukan". Beliau berkata laman itu memutarbelitkan beberapa fakta mengenai Akta Pekerjaan yang diluaskan baru-baru ini dengan tujuan supaya para pengguna terpedaya sehingga mereka percaya bahawa keseluruhan catatan berkenaan adalah benar.

Kenyataan-kenyataan yang dikaitkan dengan Cik Teo mengenai pelancaran wadah online itu adalah palsu sama sekali, katanya.

"Saya menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan mengelak daripada mendedahkan maklumat kewangan dan peribadi menerusi wadah online itu yang mungkin dikendalikan dari luar Singapura, kata Cik Teo.

"Masalah kepalsuan yang disengajakan sangat serius. Dalam kes ini, seseorang mungkin akan mengalami kerugian kewangan jika beliau percaya dengan maklumat salah."

- CNA/ZM/zm

Top