Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lama menunggu, sukar beli tiket antara isu khidmat bas VTL S'pura-M'sia apabila dibuka hari ini

Para pelawat yang ingin membeli tiket bas bagi Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara Singapura dengan Malaysia menghadapi masalah menunggu lama dan pembelian tiket setelah tempahan dibuka pada pagi Khamis (25 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Nov 2021 10:29AM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 12:39AM

SINGAPURA: Para pelawat yang ingin membeli tiket bas bagi Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara Singapura dengan Malaysia menghadapi masalah menunggu lama dan pembelian tiket setelah tempahan dibuka pada pagi Khamis (25 Nov).

Mesej yang tertera pada laman Transtar Travel - salah satu daripada dua syarikat yang dikhususkan untuk menawarkan khidmat perjalanan VTL darat - menyatakan bahawa tiket bas untuk 30 hari akan datang sudah habis dijual pada kira-kira pukul 8.20 pagi, kurang setengah jam selepas ia dijual pada pukul 8.00 pagi.

Pemeriksaan di laman Transtar pada sekitar pukul 8.00 pagi mendapati para pelanggan terpaksa diletakkan dalam barisan beratur disebabkan oleh "jumlah pengguna yang tinggi" pada lamannya.

Apabila dibawa ke laman untuk membuat tempahan tiket tidak lama selepas itu, pihak Mediacorp tidak berhasil untuk memilih slot bagi khidmat-khidmat bas yang disediakan.

Laman web itu kemudian membalas mesej yang mengatakan bahawa tiket-tiket sudah habis dijual.

Walaupun laman Transtar boleh diakses tidak lama kemudian, pihak Mediacorp masih tidak dapat menempah tiket sama ada bagi perjalanan dari Singapura mahupun Johor Bahru.

Mesej ralat berbunyi: "Kepada pelanggan budiman, kami menerima jumlah pelanggan yang sangat tinggi dan tidak dapat memenuhi permintaan anda buat masa ini. Sila cuba sekali lagi. Kami mohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami."

Apabila Mediacorp melungsuri laman itu sekali lagi, mesej kali ini menyatakan bahawa laman berkenaan sedang menjalani "penyenggaraan kecemasan".

Bagi Handal Indah atau lebih dikenali sebagai Causeway Link, satu lagi khidmat bas yang menawarkan perjalanan VTL antara Johor Bahru dengan Singapura - pemeriksaan di laman syarikat itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi menunjukkan bahawa barisan beratur secara maya bagi pembelian tiket bas bermula pada pukul 8.00 pagi.

Namun apabila Mediacorp memeriksa laman itu sekali lagi pada pukul 7.50 pagi, barisan beratur secara maya sudahpun bermula, dengan pelanggan yang beratur dalam barisan maya itu diberikan nombor giliran melebihi 3,500.

Kunjungan Mediacorp ke laman itu sekali lagi pada pukul 8.15 pagi tadi mendapat nombor giliran 13,008, dengan lebih 12,000 pelanggan masih menunggu giliran merek.

Mediacorp sudah menghubungi kedua-dua Transtar Travel dan Handal Indah bagi mendapatkan komen.

Ini berlaku sehari selepas Malaysia dan Singapura mengumumkan pelancaran laluan VTL darat melalui Koswe mulai 29 November.

Sebagai sebahagian daripada fasa pertama laluan VTL darat, para pelawat perlu menaiki khidmat bas VTL yang dikhususkan. Para pelawat juga harus lengkap divaksin dan adalah rakyat, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang negara yang ingin dikunjungi.

Sebanyak 32 khidmat bas VTL sehala ditawarkan setiap hari, dengan kapasiti maksimum seramai 45 penumpang bagi setiap perjalanan.

Kuota harian bagi skim VTL darat adalah sekitar 2,880 pelawat secara keseluruhannya, dengan 1,440 penumpang bagi setiap perjalanan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan