Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan mencabar 2 murid ini untuk lulus PSLE

Menghidap 'delayed language disorder' atau gangguan berbahasa yang lambat sejak berusia tiga tahun lagi, Iva Halysha Mohammad Zufikha mengalami kesukaran dalam penggunaan dan pembelajaran bahasa, termasuk masalah pertuturan dan membaca.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menghidap 'delayed language disorder' atau gangguan berbahasa yang lambat sejak berusia tiga tahun lagi, Iva Halysha Mohammad Zufikha mengalami kesukaran dalam penggunaan dan pembelajaran bahasa, termasuk masalah pertuturan dan membaca.

Meski sudah menjalani sesi terapi sebelum memasuki sekolah rendah bagi membaiki masalah ini, tekanan tetap dirasanya selepas memasuki sekolah rendah. Oleh kerana takut melihat perkataan-perkataan, guru-gurunya mendapati Iva sering bersembunyi di tandas.

"Semasa saya di prasekolah sehingga Darjah 2, saya ingin lari setiap kali saya melihat perkataan-perkataan kerana ia membawa tekanan bagi saya sehingga boleh menangis," kata Iva, dari Sekolah Rendah Canossa Catholic.

(Gambar: Canossa Catholic Primary School)

Paling kiri: Iva Halysha (Gambar: Canossa Catholic Primary School) 

Bagi Iva, dalam perjalanannya menduduki PSLE, selain bertarung dengan gangguan komunikasi itu, dia juga menduduki peperiksaan di bawah pelbagai peraturan COVID-19 serta menjadi kohort pertama murid-murid Darjah 6 di bawah sistem pemarkahan baru.

Namun, tekanan yang dihadapinya itu berjaya diatasi. Atas sokongan orang sekeliling termasuk guru-guru dan kaunselornya, serta usaha Iva sendiri, dia dapat membina kembali keyakinannya.

"Saya tidak berputus asa dan selalu berfikiran positif kerana jika ada fikiran negatif, saya akan berasa lebih tertekan," kongsi Iva.

KINI SUBJEK BAHASA SUBJEKNYA YANG TERBAIK

Kini, Bahasa Melayu merupakan subjek terbaik bagi Iva, yang menjadi antara murid Darjah 6 yang menerima keputusan PSLE hari ini (24 Nov). Dia mendapat AL 1 bagi Bahasa Melayu dan AL 5 bagi Bahasa Inggeris dengan markah keseluruhan AL 19 - sekali gus berjaya memasuki aliran ekspres di sekolah menengah nanti.

Tahun ini bilangan murid yang layak ke aliran Ekspres meningkat kepada 68.4% berbanding 66.3% pada tahun lalu.

Perangkaan murid yang lulus dan layak ke sekolah menengah pula adalah sama dengan tahun lalu, iaitu 98.4%.

Ditanya bagaimana dia membuat persediaan untuk PSLE, Iva menjawab dia rajin mengulang kaji pelajaran selama satu jam setiap hari.

Satu lagi dorongannya untuk belajar bersungguh-sungguh ialah ibunya.

"Oleh kerana ibu saya seorang ibu tunggal dan bekas pesakit barah, saya memahami bahawa ibu saya akan sentiasa berasa sedih dan tertekan lebih-lebih lagi kerana perlu menampung kami adik beradik dari kecil lagi," kongsi Iva yang merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik.

"Jadi saya akan mencuba yang terbaik di sekolah dan tidak ponteng sekolah agar tidak ketinggalan dalam pelajaran," tambahnya lagi.


LEBIH BERMINAT KEPADA MUZIK

Seorang lagi pelajar yang lulus PSLE hari ini ialah Ariq Andre dari Sekolah Rendah Dazhong yang mempunyai minat cukup mendalam dengan muzik.

Ariq mendapat markah keseluruhan AL 24.

Sebagai seorang murid yang aktif dalam CCA Orkestra sejak dari Darjah 2 lagi, Ariq sanggup meminta lebih banyak masa daripada gurunya untuk menghabiskan kerja sekolah. Ini terutama sekali jika dia kesuntukan masa untuk menyelesaikan kerja sekolah itu selepas tamatnya latihan itu.

(Gambar: Dazhong Primary School)

(Gambar: Dazhong Primary School)

Menariknya, Ariq yang mahir bermain biola kecil serta alat-alat genderang, menggunakan kaedah yang unik untuk mengulang kaji pelajaran.

"Kadang-kadang, saya akan menyambungkan muzik dan pelajaran saya. Misalnya bagi subjek Matematik, jika ada soalan seperti dua kali dua, saya akan membuat lagu jadi dengan adanya muzik, saya boleh mengingatinya," kongsi Ariq yang boleh berbangga kerana lulus di bawah sistem penskoran baru.

Hakikatnya, sistem penskoran baru PSLE ini mahu para pelajar dan ibu bapa melihat lebih daripada sudut akademik dan tidak memburu setiap markah dalam peperiksaan, menurut MOE.

Dengan sistem baru itu juga, murid-murid kini punya lebih banyak sekolah yang boleh dipilih kerana jurang perbezaan markah kini tidak terlalu besar berbanding dahulu.

Kini dalam memilih sekolah menengah selepas PSLE, MOE menasihatkan ibu bapa supaya memikirkan aspek seperti program tertentu, kegiatan kokurikular serta juga etos dan budaya sesebuah sekolah. Pendeknya ibu bapa digalak memilih sekolah berdasarkan kesesuaiannya kepada anak secara keseluruhan.


FAKTOR PEMILIHAN SEKOLAH MENENGAH

Bagi Ariq, disebabkan minatnya yang mendalam kepada muzik, dia membuat permohonan di bawah skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA). Kini dia sudahpun mendapat tawaran dari dua buah sekolah menengah yang punya tukikan dalam Pancaragam Konsert.

Sekolah pilihan Ariq ialah Sekolah Menengah Bukit View disebabkan kepelbagaian dalam alat-alat muzik yang tersedia dalam pancaragam sekolah itu.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang ahli muzik. Saya mahu mengajar budak-budak kecil supaya apabila mereka sudah dewasa, mereka akan dapat mengajar budak-budak lain," kata Ariq, yang mempunyai dua orang adik-beradik.

Ariq merancang untuk mendalami minatnya dalam bidang muzik dengan mempelajari bagaimana untuk bermain lebih banyak alat muzik, dan berharap dapat menyumbang kepada Sekolah Menangah Bukit View dengan bakat dan pengalamannya.

MOE menyatakan, murid-murid yang layak ke sekolah menengah boleh memohon sekolah pilihan masing-masing menerusi laman yang disediakannya dari 11.30 pagi esok (25 Nov) hingga 30 Nov.

Keputusan pemilihan sekolah akan diumumkan antara 22 hingga 24 Disember ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan