Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan basikal, jalan raya bakal disediakan bagi sokong bangunan-bangunan baru di Changi termasuk T5

Tahap ketersambungan di Changi dijangka meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan laluan berbasikal dan jalan raya bakal dibangunkan bagi menyokong dan menghubungkan bangunan-bangunan baru di kawasan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Sep 2019 03:26PM Dikemas Kini : 18 Sep 2019 09:44PM

SINGAPURA: Tahap ketersambungan di Changi dijangka meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan laluan berbasikal dan jalan raya bakal dibangunkan bagi menyokong dan menghubungkan bangunan-bangunan baru di kawasan berkenaan seperti Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi, menurut kenyataan bersama dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Rabu (18 Sep).

Dijadual mula dibina pada tahun depan dan dijangka siap menjelang 2029, projek besar-besaran itu akan menyaksikan beberapa bidang tanah di Laguna National Golf and Country Club dan beberapa bidang tanah milik JTC diperolehi Pemerintah.

Kerja-kerja binaan itu akan dibahagikan kepada dua bahagian: Koridor Utara Changi dan Koridor Selatan Changi.

KORIDOR SELATAN CHANGI

Projek Koridor Selatan Changi merangkumi pembinaan laluan berbasikal sejauh 3.5km yang akan menghubungkannya dengan T5.

"Laluan-laluan berbasikal ini akan menyokong dan melengkapi Rangkaian Penghubung Taman (PCN) dan laluan berbasikal di jalan raya yang menghubungkan Tampines dan East Coast dengan T5," menurut LTA. "Ini akan menjadikannya lebih selamat dan selesa bagi para pejalan kaki, pengayuh basikal dan pengguna aktif bagi alat-alat mobiliti peribadi."

Jalan raya baru yang menghubungkan T5 dengan Tanah Merah Coast Road dan East Coast Parkway (ECP) juga akan dibina. Tanah Merah Coast Road dan jalan raya sedia ada seperti Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), ECP dan Xilin Avenue akan diperluas dan dijajarkan semula, sementara konfigurasi Jejambat Changi (Changi Flyover) dan Jejambat Tanah Merah (Tanah Merah Flyover) juga akan diubah suai.

Pemerolehan tanah daripada Laguna National Golf and Country Club dan beberapa bidang tanah milik JTC perlu dilakukan bagi memudahkan kerja-kerja binaan jalan raya untuk Koridor Selatan Changi, menurut LTA dan SLA.

Pemerolehan ini melibatkan ciri-ciri sampingan seperti kawasan-kawasan dengan landskap penghijauan, zon-zon penyimpanan dan pemasangan pagar. Sungguhpun demikian tiada struktur bangunan dijangka terjejas.

"SLA sudah mewartakan pemerolehan tanah yang terjejas. SLA dan LTA akan bekerja rapat dengan para pemilik tanah yang terjejas untuk membantu mereka sepanjang proses pemerolehan tersebut dan bagi mengurangkan kesannya terhadap mereka," menurut kedua-dua agensi pemerintah itu.

KORIDOR UTARA CHANGI

Di bawah Projek Koridor Utara Changi, sebuah jejambat baru akan dibina antara Loyang Avenue dengan Ekspreswe Tampines (TPE) dan Loyang Way. Sebuah lorong bas juga akan ditambah di Loyang Avenue.

Laluan-laluan berbasikal baru sepanjang 3km juga akan ditambah di Loyang Avenue, Telok Paku Road, Nicoll Drive, Changi Coast Road dan Aviation Park Road. Laluan-laluan berbasikal ini akan menghubungkan Rangkaian Penghubung Taman (PCN) sedia ada di bahagian utara Changi.

Sebahagian besar kerja-kerja binaan bagi Koridor Utara Changi dijadual siap menjelang 2026, dengan bakinya dijangka siap seiring dengan stesen-stesen Laluan Rentas Pulau (CRL) menjelang 2029.

Fasa pertama CRL, iaitu laluan MRT Singapura yang kelapan, akan dibuka menjelang 2029 dengan 12 stesen termasuk Loyang and Changi.

Pada Rabu, LTA dan SLA menyatakan bahawa kerja-kerja binaan itu "perlu bagi menampung bangunan-bangunan sedia ada dan pembangunan baru" yang meliputi T5 serta pertumbuhan dalam sektor penerbangan, industri penerbangan dan logistik dan pembinaan kediaman di kawasan tersebut.

LTA akan melancarkan tender mulai suku keempat tahun ini bagi projek-projek jalan raya dan laluan berbasikal.

Sumber : CNA/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan