Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagu, video muzik sempena AGAB ke-15 iktiraf sumbangan, bakti guru Bahasa Melayu

Sebuah lagu istimewa bagi menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan, dedikasi dan sumbangan besar para guru Bahasa Melayu akan dipersembahkan buat pertama kali hari ini (6 Nov) sempena ulang tahun ke-15 Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB).

Anggaran Waktu Membaca:
Lagu, video muzik sempena AGAB ke-15 iktiraf sumbangan, bakti guru Bahasa Melayu

(Ihsan: Majlis Bahasa Melayu Singapura)

SINGAPURA: Sebuah lagu istimewa bagi menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan, dedikasi dan sumbangan besar para guru Bahasa Melayu akan dipersembahkan buat pertama kali hari ini (6 Nov) sempena ulang tahun ke-15 Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB).

Berjudul 'Dikau Guru Arif Budiman', video muzik lagu itu juga akan ditayangkan semasa majlis tersebut hari ini.

Ciri terbaru bagi AGAB 2021 itu adalah buah tangan daripada beberapa guru AGAB sendiri, dari menulis lirik dan menyusun lagu hingga menghasilkan sebuah video muzik. Ia bertujuan untuk menyemarakkan lagi majlis AGAB tahun ini.

"Kami mengambil kesempatan tahun ini untuk menghasilkan lagu istimewa, lagu dan muzik video AGAB 2021 untuk menyemarakkan lagi majlis tahun ini," kata pengerusi bersama jawatankuasa penganjur, Abdul Harris Sumardi.

Encik Abdul Harris, yang mengusulkan idea mencipta lagu tersebut, juga merupakan salah seorang penulis seni katanya yang kemudian diperhalusi oleh mantan pengerusi bersama jawatankuasa penganjur AGAB Encik Tajudin Jaffar dan Encik Zafilin Abdul Hamid.

Menurut Encik Abdul Harris ilham untuk menghasilkan lagu itu bermula dari awal tahun ini. Ia melalui beberapa pusingan dan versi pertama lagu itu terpaksa ditolak kerana dianggap "kurang sesuai" dan "tidak menonjolkan dan mengabadikan erti seorang guru Arif Budiman". Versi kedua kemudian dihasilkan dan akan dilancarkan hari ini.

"Versi ini (kedua) cuba disesuaikan dengan pendengar masa kini dan pada masa yang sama cuba mengutarakan usaha, pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul oleh guru yang dinobatkan sebagai guru AGAB," ujar Encik Abdul Harris.

Susunan lagu itu pula mendapat sentuhan oleh penerima AGAB 2017, iaitu Cikgu Djohan Abdul Rahman dan Encik M Ilyia daripada Meraqi Studios.

Finalis separuh akhir Asia's Got Talent 2017, Syah Riszuan turut menyumbang suaranya.

Menurut Cikgu Djohan, seluruh proses mencipta lagu AGAB memakan masa sekitar enam bulan kerana perlu diubah susunan untuk menjadikannya lebih menarik.

Sebagai salah seorang penulis lagu itu, Encik Abdul Harris menyimpan satu harapan besar. Beliau berkata: "Diharapkan bahawa mesej yang terkandung dalam lagu ini sentiasa diabadikan bukan sahaja dalam kalangan guru dan murid-murid, malah dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya," kongsi Encik Harris.

Menurut beliau, mesej dalam lagu itu turut mengandungi "harapan semua guru-guru bahasa Melayu agar mereka dapat menjalankan amanah tersebut sebaiknya".

Lagu 'Dikau Guru Arif Budiman' dihasilkan dalam versi asal dan versi akustik dan akan dimuat naik ke laman Facebook, Instagram dan YouTube Majlis Bahasa serta penganjur bersama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan