Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagu klasik NDP bernafas baru paparkan evolusi S'pura

Lirik dan gubahan lagu Hari Kebangsaan boleh mencetuskan pelbagai emosi dan menyuntik semangat cintakan negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lirik dan gubahan lagu Hari Kebangsaan boleh mencetuskan pelbagai emosi dan menyuntik semangat cintakan negara.

Itulah yang diluahkan penyanyi Aisyah Aziz dan penyusun muzik Mayuni Omar tentang lagu tema NDP tahun ini. Ia merupakan lagu klasik 'We Are Singapore' yang diberi sentuhan lebih segar untuk menyemarakkan lagi tema sambutan, 'Kitalah Singapura'.

Apabila Aisyah Aziz diberi tawaran untuk menyumbang suara bagi lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini, tanpa berfikir panjang beliau terus setuju.

Manakan tidak, ia ibarat mimpi yang menjadi kenyataan kerana peserta finalis Akademi Fantasia musim ke-10 ini pernah menanam hasrat untuk bergiat di pentas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sewaktu usianya 14 tahun lagi.

Bahkan, bakat berusia 24 tahun ini terus jatuh cinta, saat pertama kali ke studio untuk mendengar lagu ikonik 'We Are Singapore' yang diberikan sentuhan moden itu.

"Sangat jujur, sangat tepat dengan emosi menjadi seorang warga Singapura terutama dalam zaman milenial. Saya tidak mempersoalkan pun kenapa mereka hendak gabungkan dengan lagu lama. Kita banyak lagu-lagu baru tetapi saya juga sedar macam orang ramai rindukan nostalgia," ujar Aisyah.

Malah, Aisyah menjadi lebih teruja dan sangat berbesar hati kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah negara di samping rakan-rakan seindustrinya - Vanessa Fernandez, Shak'thiya Subramaniamm, Joanna Dong dan TheLionCityBoy.

Sebagai anak watan yang membesar dengan lagu klasik tersebut, Aisyah menganggap suntikan segar kepada lagu itu adalah satu paparan evolusi Singapura dari perspektif generasi baru.

Aisyah berasa sudah tiba masanya untuk memberi penghargaan kepada para penggiat muzik NDP veteran yang meninggalkan kesan mendalam bagi rakyat serta negara.

Digubah oleh Encik Hugh Harrison dari Kanada pada tahun 1987, ia disusun semula oleh pengarah muzik Dr Sydney Tan dengan alunan moden serta lirik oleh penyanyi dan penggubah muda setempat, Encik Charlie Lim.

Namun, mesej asalnya tetap utuh.

Diilhamkan daripada ucapan Perdana Menteri Singapura yang pertama, Encik Lee Kuan Yew, dan mengandungi ikrar negara, ia mengajak rakyat bangkit bersama, meraikan usaha dan pencapaian republik ini sebagai masyarakat yang bersatu padu.

"Dalam lagu ini kita ada R&B, kita ada rap. Bukan senang untuk kita sebagai penggubah atau penyusun lagu untuk membuat elemen atau genre berbeza itu menjadikan satu. Tapi saya rasa mereka mencantumkan lagu ini menjadi lebih cantik lagi," puji Encik Mayuni Omar, penyusun lagu tempatan.

Malah, menurut Encik Mayuni, versi baru ini juga tidak kurang membangkitkan semangat patriotisme terutama apabila dihayati secara keseluruhan bersama muzik videonya.

Sama ada versi baru atau lama, lagu-lagu kebangsaan yang diterbitkan sempena meraikan ulang tahun negara sentiasa melambangkan perpaduan dalam kehidupan masyarakat majmuk di Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan