Images
  • medical worker ppe dorm
    Kakitangan perubatan dalam peralatan perlindungan peribad di dormitori pekerja asing di Singapura pada 27 Apr 2020. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Lagi 78 dormitori pekerja asing bebas COVID-19

SINGAPURA: Lagi 78 dormitori pekerja asing disahkan bebas COVID-19, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (30 Jun).

Ini menjadikan jumlah pekerja asing yang bebas daripada jangkitan COVID-19 kepada 87,000 setakat sehingga Ahad (28 Jun), menurut kementerian itu dalam kenyataan medianya. Perangkaan itu juga termasuk mereka yang tinggal di kemudahan penginapan yang disediakan oleh Pemerintah.

Dormitori yang baru diisytiharkan bebas virus korona itu terdiri daripada 72 kilang yang ditukar menjadi dormitori dan enam tempat tinggal sementara kawasan binaan, jelas MOM.

Tiga blok untuk pekerja yang pulih di tiga dormitori yang dibina khas juga disahkan bebas daripada COVID-19.

Secara keseluruhannya, 241 dormitori dan 21 blok untuk pekerja yang pulih di 14 dormitori yang dibina khas sudah diisytiharkan bebas daripada COVID-19, tambah MOM.

Setakat sehingga Ahad lalu, 176 daripada 241 dormitori sudah berjaya menamatkan tiga langkah yang diperlukan untuk pekerja kembali bekerja, menurut MOM.

Langkah-langkah itu termasuk menjarakkan waktu pengambilan dan menurunkan pekerja oleh majikan dan memerlukan majikan mengesahkan atau mengemas kini alamat kediaman pekerja mereka dalam pangkalan data MOM.

Pasukan Sokongan dan Jaminan Ke Hadapan (FAST) yang terdiri daripada para pegawai dari MOM, tentera dan polis, saling bekerjasama dengan pengendali dormitori, majikan dan pekerja asing untuk menyelesaikan semua langkah yang diperlukan dan membersihkan baki dormitori.

Majikan boleh merujuk ke laman MOM untuk senarai terkini dormitori yang disahkan bebas COVID-19 dan juga dormitori yang dijadual diisytiharkan bebas virus itu dalam masa beberapa minggu akan datang.

Sedang kerja-kerja binaan secara beransur-ansur disambung semula, MOM juga menggesa semua pengendali dormitori, majikan dan pekerja supaya terus berwaspada dan memastikan langkah-langkah jarak selamat dan tempat tinggal yang selamat "dipatuhi sepenuhnya".


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/TQ/tq

Top