Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 6,700 pelajar kurang bernasib baik raih manfaat kelas kod percuma menjelang 2022

Menjelang 2022, lagi 6,700 kanak-kanak kurang bernasib baik berpeluang meraih manfaat daripada kelas pengekodan percuma, 'Code in The Community' (CiTC).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjelang 2022, lagi 6,700 kanak-kanak kurang bernasib baik berpeluang meraih manfaat daripada kelas pengekodan percuma, 'Code in The Community' (CiTC).

Peluasan ini atas usaha kerjasama Google dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) yang masing-masing menyumbang geran $1 juta bagi membantu mereka bersiap sedia menghadapi masa depan digital.

Mulai tahun ini juga kelas robotik akan ditawarkan di bawah program tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan demikian di Hab Tampines Kita (OTH) hari ini (4 Jan).

SEPHIA RINDIANI CIPTA 'COLOURFUL MAZE'

Sejak tiga tahun lalu, seramai 2,300 kanak-kanak kurang bernasib baik berjaya menamatkan satu-satunya program percuma Singapura yang menawarkan kelas pengekodan pelbagai peringkat, CiTC.

Sephia Rindiani Andi, 10 tahun, salah seorang daripada mereka. Dia mengikuti kursus 'Scratch' bagi program CiTC yang diadakan dari Januari hingga Mac lalu.

Malah, Sephia berjaya mencipta permainan 'Colourful Maze', hasil ilmu pengekodan yang dipelajarinya dalam program tersebut yang didaftar menerusi MENDAKI.

"Saya belajar tentang macam mana nak buat benda seperti 'maze' dan banyak lagi. Saya nak sambung sebab saya boleh belajar buat benda-benda lain," kata Sephia.

Ibu Sephia, Cik Kamzarini Kamcin menambah: "Dia lebih kreatif. Dia seorang yang pemalu, jadi ia memberikan dia peluang untuk mempersembahkan apa yang dia belajar. Teknologi sekarang ibarat bahasa ketiga bagi kanak-kanak zaman sekarang, jadi pengekodan memperluaskan lagi peluang-peluang di luar."

ANGKA PELAJAR MELAYU/ISLAM LIMA KALI LEBIH TINGGI

Malah angka pelajar Melayu/Islam yang menjalani program tersebut adalah lima kali lebih tinggi tahun lalu, sebanyak 250 pelajar, berbanding 56 pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Cik Rahayu Buang berkata: "Ini adalah satu perkembangan yang baik, kerana ia menunjukkan bahawa keluarga-keluarga Melayu/Islam kita dan pelajar-pelajar kita menyedari betapa pentingnya belajar mengenai pengekodan ini, kerana ia adalah satu kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21 dan satu kemahiran yang mesti dipelajari dari sekarang untuk mempersiapkan mereka untuk masa depan."

IMDA, MOE TURUT BERI KERJASAMA

Encik Heng menarik perhatian IMDA dan Kementerian Pendidikan (MOE) juga mendampingi lebih ramai rakyat Singapura dengan kemahiran digital.

"Selain sokongan pendanaan, IMDA juga akan memanfaatkan rakan-rakan syarikat bagi gerakan Rakan-Rakan Digital Singapura. 'Code in the Community' juga akan bekerjasama dengan MOE bagi mendampingi lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik, yang kini mendapatkan bantuan di bawah UPLIFT.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Ini adalah lanjutan kepada komitmen kukuh anda bagi menjadikan 'coding' mudah diakses kepada para pelajar daripada pelbagai latar belakang," kata beliau, yang juga Menteri Kewangan.

Bermula tahun ini, CiTC dibuka kepada pelajar berusia lapan hingga 16 tahun dan kurikulumnya diperluaskan kepada peringkat lanjutan pengekodan 'Applications' bagi pelajar graduannya yang berminat.

Tempoh pertama CiTC akan berlangsung dari 1 Februari hingga 22 Mac ini. Pendaftaran ditutup pada 14 Januari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan