Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi $3,700 derma diperlukan menerusi inisiatif Pledge a Book ETF MENDAKI

Jawatankuasa ETF MENDAKI sudah menerima lebih $4,200 dalam bentuk sumbangan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi $3,700 derma diperlukan menerusi inisiatif Pledge a Book ETF MENDAKI

Poster inisiatif Pledge a Book oleh jawatankuasa ETF, MENDAKI. (Gambar: Jawatankuasa ETF)

BERITAmediacorp: Semua orang maklum bahawa membaca adalah kunci yang membuka luas pintu-pintu ilmu.

Lantaran itu, jawatankuasa Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI memulakan inisiatif Pledge a Book (Ikrarkan Buku) untuk para penerima bantuannya sebagai usaha memupuk minat mereka untuk membaca dan mendorong mereka supaya ingin terus belajar.

Menerusi inisiatif tersebut, orang ramai boleh memberikan sokongan dengan memilih dan membeli sehingga 10 buku untuk dihadiahkan kepada para penerima bantuan MENDAKI!

Sejauh ini, jawatankuasa ETF MENDAKI sudah menerima lebih $4,200 dalam bentuk sumbangan. Ia menyasarkan untuk meraih sebanyak $8,000. Ini bermakna, lagi sekitar $3,800 sumbangan masih diperlukan.

Inisiatif yang diadakan buat kali kedua itu dimulakan pada 2 Disember 2020 dan berakhir pada 31 Januari 2021. Inisiatif itu pertama kali dilancarkan pada September 2019 semasa pelancaran bulan Raikan Ilmu 2019 dan diberi nama Gift a Book (Hadiahkan Buku).

Pengerusi Jawatankuasa ETF, Abdul Razak Hasan Maricar, berkata, dengan berikrar untuk menghadiahkan buku-buku menerusi inisiatif tersebut, para penderma sebenarnya menyokong dua kumpulan penerima bantuan.

“Jumlah yang didermakan akan disalurkan kepada dana keseluruhan ETF yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan para penerima menerusi pelbagai skim ETF. Kedua, buku-buku yang dipilih akan dihadiahkan kepada anak-anak muda penerima bantuan kami untuk memupuk rasa cinta kepada membaca,” kata Encik Abdul Razak.

Beliau menambah, derma masyarakat menerusi inisiatif itu akan membantu MENDAKI menyokong ramai orang yang memerlukan.

Poster inisiatif Pledge a Book oleh jawatankuasa ETF, MENDAKI. (Gambar: Jawatankuasa ETF)

BAGAIMANA NAK HADIAHKAN BUKU?

Mereka yang ingin memberikan sumbangan, boleh ke laman ETF Pledge a Book. Di laman itu mereka boleh memilih sehingga 10 buku daripada lebih 90 tajuk.

Jenis buku tersebut termasuk fiksyen dan bukan fiksyen, termasuk buku-buku tentang haiwan, biografi, cerita seram, komik dan buku-buku aktiviti - sesuai untuk yang berusia antara enam dengan 16 tahun.

Menurut jawatankuasa ETF MENDAKI, tahun ini sebanyak 422 buku baru sudah disediakan oleh syarikat penerbitan buku Scholastic, yang bekerjasama untuk menjayakan inisiatif itu. Harganya adalah antara $15 dengan $25 setiap satu.

Para penderma juga boleh mencatat mesej-mesej positif dan motivasi yang ingin disampaikan kepada para penerima bantuan supaya ia dapat dijadikan inspirasi dan mencetuskan minat membaca dan belajar.

Buku-buku yang ingin dihadiahkan itu akan diagihkan kepada para penerima bantuan ETF MENDAKI dalam bulan Februari 2021.

“Menerusi inisiatif Ikrarkan Buku ini, kami berharap ia bukan sekadar meningkatkan kesedaran kepada ETF dan dana bagi ETF tetapi juga sebagai sebuah platform untuk menyeru agar lebih banyak rakan-rakan kerjasama tampil untuk berkolaborasi dalam usaha-usaha mengumpul dana pada masa akan datang,” ujar Encik Abdul Razak.

INISIATIF LAIN SOKONG KUMPUL DANA BAGI PENDIDIKAN

Menurut Encik Abdul Razak, satu lagi inisiatif yang turut menyokong ETF adalah perniagaan dari rumah Moonchild’s Munchies.

ETF merupakan badan kebajikan pilihan perniagaan tersebut bagi bulan Disember 2020 hingga Januari 2021, di mana sebahagian hasil penjualannya didermakan kepada ETF.

Encik Abdul Razak menambah, jawatankuasa ETF mengalu-alukan perniagaan makanan, perniagaan dari rumah dan juga yang lain-lain untuk menyumbang kepada dana amanah pendidikan itu.

“Sebagai satu dana yang dijana menerusi masyarakat, ETF terus bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat dan orang ramai untuk mengumpulkan sebanyak $2.4 juta setahun untuk menyokong 20,000 pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi untuk mencapai aspirasi mereka,” ujar Encik Abdul Razak.

Menjangkaui inisiatif Pledge a Book itu, orang ramai juga boleh membuat sumbangan kepada ETF menerusi potongan bulanan GIRO atau secara langsung di laman ETF

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan