Images
  • spf (2)
    (Gambar: SPF)

Lagi 14 diberkas curi baucar barangan dapur; 24 disoal siasat atau diberkas sepanjang 6 hari lalu

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) melakukan lebih banyak penangkapan berhubung baucar-baucar barangan dapur Belanjawan 2020 yang dicuri daripada peti surat blok-blok perumahan awam merata Singapura.

Dalam kenyataannya pada Sabtu (17 Okt), SPF mendedahkan bahawa lebih 14 orang sudah diberkas kerana disyaki mencuri baucar daripada peti surat di lokasi dan kes berasingan.

Dalam kenyataan medianya itu, pihak polis turut mendedahkan butiran mengenai penangkapan terkini:

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan dua gadis berusia 16 tahun dan 18 tahun diberkas oleh para pegawai daripada Divisyen Polis Pusat berhubung pencurian baucar di blok-blok perumahan di Maude Road dan Kitchener Road. Mereka akan didakwa di mahkamah pada Sabtu.

Dua lelaki berusia 54 tahun dan 61 tahun diberkas kerana dipercayai mencuri baucar barangan dapur di sebuah blok perumahan Lengkok Bahru. Siasatan sedang dijalankan.

Seorang lelaki berusia 24 tahun diberkas kerana mencuri baucar barangan dapur daripada peti surat di Lower Delta Road.

Seorang lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 43 tahun diberkas kerana dipercayai mencuri baucar-baucar tersebut daripada sebuah blok perumahan di Lorong 1 Toa Payoh.

Seorang wanita berusia 53 tahun diberkas kerana didakwa mencuri baucar-baucar daripada blok HDB di Ang Mo Kio Avenue 1. Anak perempuannya yang berusia 28 tahun juga diberkas kerana dipercayai menggunakan baucar tersebut meskipun mengetahui bahawa ia dicuri.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 37 tahun diberkas kerana disyaki mencuri baucar barangan dapur di Aljunied Crescent.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 34 tahun diberkas oleh para pegawai daripada Divisyen Polis Jurong bagi kes-kes pencurian di blok perumahan Jalan Kayu dan Kim Tian Place.

Seorang lelaki berusia 67 tahun diberkas pada Jumaat kerana disyaki mencuri baucar barangan dapur di Marsiling Road.

Dalam dua kes berasingan, seorang lelaki berusia 70 tahun dan seorang wanita 26 tahun sedang disiasat kerana mencuri baucar-baucar barangan dapur di Choa Chu Kang Avenue 7 dan Choa Chu Kang Street 51.

Sepanjang enam hari lalu, 24 orang sudah disoal siasat atau diberkas berhubung pencurian baucar tersebut, menurut polis.

"Kes-kes itu tidak mempunyai kaitan dan bersifat mengambil kesempatan", tambah SPF.

Jika didapati bersalah, mereka yang didakwa boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duannya sekali.

- CNA/NA/na

Top