Images
  • Jurong Fishery Sanitization
    (Gambar: Facebook/Grace Fu)

Lagi 10 kelompok baru COVID-19 dikesan di S'pura

SINGAPURA: Singapura melaporkan 131 kes jangkitan baru tempatan COVID-19 setakat tengah hari Jumaat (30 Jul), termasuk 52 jangkitan tanpa hubung kait dengan kes terdahulu.

Sebanyak 64 jangkitan berhubung kait dengan kes-kes terdahulu dan sudah dikuarantin. Lagi 15 jangkitan yang berhubung kait dikesan melalui ujian pengawasan.

Terdapat 28 kes yang ada hubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Penjaja Hong Lim dan satu lagi dengan kelompok KTV, dedah Kementerian Kesihatan (MOH).

Kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong kini meningkat kepada 999 kes dan kekal sebagai kelompok aktif terbesar di negara ini.

Antara kes-kes baru itu, salah seorang merupakan warga emas berusia lebih 70 tahun yang belum selesai divaksinasi dan berisiko mengalami penyakit serius, menurut MOH.

Terdapat juga lapan kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan setibanya mereka di Singapura. Dua jangkitan dikesan sejurus ketibaan sementara enam menghidap penyakit itu semasa tempoh SHN atau pengasingan.

Kesemuanya, Singapura melaporkan 139 kes baru COVID-19 pada Jumaat.

7 KES DALAM KEADAAN KRITIKAL

MOH menyatakan 571 kes kini berada di hospital, dengan kebanyakannya beransur pulih dan di bawah pemantauan.

Pada masa ini terdapat 26 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen, tujuh daripadanya dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU). Dua daripada 33 kes itu sudah lengkap divaksinasi.

Daripada jumlah tersebut, salah seorang memerlukan bantuan oksigen sementara seorang lagi memerlukan rawatan ICU kerana mereka mengalami penyakit-penyakit lain.

Seramai 23 warga emas berusia lebih 60 tahun kini sakit teruk, tambah MOH. Dalam kalangan mereka, 22 belum mendapatkan vaksin langsung atau belum lengkap divaksinasi.

Berdasarkan data yang diberikan MOH dalam kemas kini setiap malam berhubung keadaan koronavirus, tujuh kes di dalam ICU adalah jumlah tertinggi dalam sehari sejak 3 Julai.

Setakat ini dalam bulan ini, bilangan pesakit di ICU adalah antara satu dengan tiga sehari, berdasarkan kemas kini harian MOH.

10 KELOMPOK BARU

Sepuluh kelompok jangkitan baru COVID-19 dikenal pasti. Antaranya adalah kelompok jangkitan Zuellig Pharma yang mempunyai enam kes.

Sembilan kelompok lain masing-masing mempunyai sekitar tiga hingga enam kes. MOH bagaimanapun tidak memberikan maklumat lebih lanjut mengenai kelompok-kelompok itu.

Lapan lagi kes ditambah ke kelompok Restoran Samy Curry, menjadikan jumlah jangkitan menjadi 49.

Dua lagi kes juga dikaitkan dengan kelompok Kasino Marina Bay Sands, yang kini mempunyai 54 kes.

MOH juga menyatakan bahawa kelompok 105 Henderson Crescent diisytihar tamat kerana tiada lagi kes yang berhubung kait dengannya selama dua tempoh pemeraman terakhir.

Kini terdapat 63 kelompok jangkitan aktif di Singapura, setiap satu mempunyai antara tiga dengan 999 jangkitan.

MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat berkurangan daripada 961 kes pada minggu sebelumnya kepada 878 kes pada minggu lalu.

"Kita mungkin akan terus menyaksikan jumlah kes yang tinggi dalam beberapa hari mendatang sedang kami meningkatkan usaha pengesanan kontak untuk membendung penularannya dalam masyarakat," menurut MOH.

Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat melonjak daripada 83 kes pada minggu sebelumnya kepada 257 kes pada minggu yang lalu.

VAKSINASI BANTU CEGAH PENYAKIT SERIUS: MOH

Sebanyak 7,429,918 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan di bawah program vaksinasi nasional setakat 29 Julai. Ini merangkumi 4,290,278 individu, menurut MOH.

MOH menambah 3,261,603 individu sudah selesai divaksinasi sepenuhnya. Mereka terdiri daripada 121,963 pesakit COVID-19 yang sudah pulih yang menerima sekurang-kurangnya satu dos, serta 3,139,640 individu yang sudah menerima dos kedua mereka.

Tambahan lagi, 99,919 dos vaksin Sinovac sudah diberikan setakat 29 Julai, merangkumi 73,053 individu.

"Terdapat bukti yang berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti," menurut MOH.

Sepanjang 28 hari lalu, 43 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Seramai 25 antara mereka belum divaksinasi, 16 belum selesai mendapatkan vaksin dan dua sudah lengkap divaksinasi, tambah Kementerian Kesihatan.

Setakat Jumaat, Singapura melaporkan 64,861 kes COVID-19 kesemuanya.

- CNA/TODAY/TQ/tq

Top