Images
  • sugared drinks
    (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Label pemakanan baru diwajibkan, minuman dengan kadar gula tinggi dilarang diiklan

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada usaha memerangi penyakit kencing manis, satu label baru pemakanan "di bahagian depan paket" akan diwajibkan bagi minuman yang mengandungi kadar gula yang tinggi. Demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan pada Isnin (10 Okt).

Pengiklanan juga dilarang bagi minuman yang dianggap tidak sihat dan diberikan markah terendah pada label pemakanan.
Larangan itu ditetapkan pada semua wadah media awam tempatan, termasuk penyiaran, percetakan, pengiklanan luar dan saluran online seperti laman-laman media sosial.

Di negara-negara lain, peraturan pengiklanan serupa terhad kepada saluran media dan program yang disasarkan terhadap kanak-kanak.

Langkah tersebut akan "mengurangkan dengan banyaknya" pendedahan kepada iklan-iklan sedemikian, menurut Menteri Negara Kanan Kesihatan, Edwin Tong.

Setiap minuman akan diberikan gred berdasarkan mutu pemakanan, di mana kandungan gula adalah utama tetapi bukan satu-satunya faktor termasuk kadar lemak dan lemak trans dalam minuman yang juga diambil kira.

Label tersebut diwajibkan ke atas semua minuman termasuk minuman bergas, minuman tenaga, jus dan susu yang diproses.

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa dengan label pemakanan baru itu, pihaknya berharap dapat membantu para pelanggan mengenal pasti minuman kurang sihat dan membuat pilihan yang lebih tepat. 

- CNA/NA/fz

Top