Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kutipan wang zakat melonjak 120% sepanjang 10 tahun lalu, hasil sumbangan kukuh masyarakat

Dalam tempoh 10 tahun lalu sahaja, kutipan wang zakat yang dilakukan MUIS melonjak 120% - iaitu daripada $20 juta pada tahun 2008, kepada lebih $44 juta tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam tempoh 10 tahun lalu sahaja, kutipan wang zakat yang dilakukan MUIS melonjak 120% - iaitu daripada $20 juta pada tahun 2008, kepada lebih $44 juta tahun lalu.

Ini mampu dilakukan, bukan sahaja hasil sokongan padu oleh masyarakat selaku penyumbang, tetapi juga hasil kecekapan pentadbiran
yang sekali gus membolehkan lebih ramai asnaf mendapat habuannya.

Sempena sambutan ulangtahun ke-50 MUIS, BERITAmediacorp susur kemajuan dalam pentadbiran zakat dari kaca mata seorang amil.

PERUBAHAN CARA KUTIPAN PERCEKAPKAN TUGAS AMIL

Sepanjang lebih 40 tahun menjadi amil di Masjid Muhajirin, Encik Hamri Hunar sudah melalui tiga fasa berbeza dalam tugasnya mengumpul zakat.

Daripada penggunaan buku resit ke kupon, kini semua urusan wang boleh disemak menggunakan hujung jari sahaja menerusi komputer.

"Waktu dulu lagi mula-mula pakai resit itu, kadang-kadang tersilap juga kerana ramai sangat orang. Waktu itu macam belum banyak masjid. Sekarang sudah banyak saluran terutama sekali telefon, mesin AXS dan lain-lain," ujar Encik Hamri, 80 tahun.

Sememangnya, teknologi bukan sahaja memudahkan orang ramai membayar zakat malah juga meningkatkan kecekapan amil-amil yang perlu mencatat dengan teliti setiap wang diterima.

"Sekarang ini sudah berkomputer jadi kita tahu satu hari - bila, berapa banyak. Lagipun tidak macam dulu, kita terpaksa tunggu sampai malam-malam pukul 1.00-2.00 pagi. Sekarang, pukul 10.00-11.00 malam sudah boleh berehat," kongsi Encik Hamri.

JUMLAH KUTIPAN ZAKAT TERUS NAIK DENGAN WADAH-WADAH PEMBAYARAN ELEKTRONIK

Kini, masjid-masjid malah menerima pembayaran zakat menggunakan kaedah NETS atau menerusi iBanking terus kepada MUIS.

Hakikatnya, begitulah evolusi pembayaran zakat kepada MUIS yang antara lain menyumbang kepada jumlah kutipan lebih tinggi tahun demi tahun.

Misalnya, jika pada tahun 2008, $20 juta dikutip dalam bentuk zakat, pada tahun 2012 pula ia naik kepada $25.5 juta.

Lebih menarik lagi dalam tempoh lima tahun sahaja selepas itu, wang zakat yang dikutip melonjak jauh lebih tinggi kepada sekitar $44.2 juta tahun lalu.

"Saya rasa setelah MUIS keluarkan banyak pengumuman jadi ramai orang Islam kita sudah faham mana zakat itu pergi, dibahagikan kepada berapa asnaf. Jadi mereka tahu yang zakat ini dibahagikan oleh MUIS dengan seberapa yang baik," kata Encik Hamri.

Dengan dana zakat yang lebih kukuh itu, MUIS juga dapat menghulurkan bantuan kewangan lebih meluas serta melakar pelbagai program sokongan bagi golongan memerlukan, serta juga untuk pembangunan masjid dan madrasah tempatan.

PERUNTUKAN ZAKAT BERKEMBANG, TAMPUNG LEBIH RAMAI ASNAF

Misalnya, pada 2016, lebih $17 juta diagihkan kepada golongan fakir miskin dan lebih $14.4 juta pula dibahagikan bagi asnaf Fisabilillah.

Dan tahun ini, $2.3 juta wang zakat diketepikan dalam bentuk bonus Ramadan untuk diberikan kepada 4,300 keluarga serta lebih 2,000 individu.

Dengan kutipan bertambah juga, lebih ramai orang boleh menjadi penerima habuan zakat setelah Pendapatan Keluarga Per Kapita (PCI) dinaikkan dari $350 kepada $400.

Biarpun aspek pembangunan sosial dan kumpulan fakir miskin membentuk nisbah agihan zakat yang tertinggi, iaitu sebanyak $21 juta tahun lepas, MUIS tetap komited dalam memastikan peruntukan zakat bagi madrasah, program pendidikan Islam serta inisiatif-inisiatif sosioagama lain setaraf dengan keperluan masa sekarang.

Demi memberi sokongan lebih menyeluruh kepada para keluarga penerima, MUIS merujuk mereka kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi skim-skim bantuan lain seperti yang ditawarkan ComCare dan Pusat Khidmat Keluarga.

Keperluan dan keadaan sosioemosi para penerima juga terus dipantau dengan adanya jaringan sokongan oleh sekumpulan relawan di bawah Skim Pendamping.

Ia adalah satu inisiatif anjuran Kelompok Masjid Dipertingkat (EMC) di mana para relawan itu bertindak sebagai pengantara yang menghubungkan keperluan penerima-penerima zakat kepada MUIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan