Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kutipan dana TAA cecah $1.3 juta secara online, agihan kedua menerusi Dana Darurat

Meskipun terpaksa mengutip derma tanpa wadah-wadah tradisional yang digunakannya sejak sekian lama, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) tahun ini berjaya meraih kutipan derma S$1.3 juta, TAA turut mengumumkan pada Jumaat (22 Mei) satu lagi pusingan agihan dana kepada para penerima bantuan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun terpaksa mengutip derma tanpa wadah-wadah tradisional yang digunakannya sejak sekian lama, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) tahun ini berjaya meraih kutipan derma S$1.3 juta, menurut badan itu pada Jumaat (22 Mei).

TAA dalam kenyataan medianya hari ini turut mengumumkan rancangan untuk mengadakan satu lagi pusingan agihan dana kepada para penerima bantuan.

Diberi nama Dana Darurat TAA, ia bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik di tengah-tengah pandemik COVID-19. Bantuan tersebut adalah tambahan kepada lebih S$1.14 juta yang telah diagihkan pada pertengahan bulan ini - satu jumlah rekod agihan dalam tempoh 10 tahun.

"DALAM HATI HANYA HARAPKAN S$300,000"

Kempen kutipan derma TAA tahun ini sangat berbeza kerana ia dilakukan hanya secara online.
TAA kali ini tidak mempunyai talian derma Telepoll 1900 mahupun tabung-tabung fizikal yang lazimnya diletakkan di bazar-bazar Ramadan.

Lantaran itu TAA sebelum ini menyatakan pihaknya tidak akan meletakkan sebarang sasaran bagi kutipan derma.

"Kami tidak menetapkan sebarang sasaran bagi kempen kali ini kerana kami sedar ramai penderma kami juga terjejas semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini," menurut kenyataan TAA hari ini.

Meskipun begitu, badan itu menambah: "Dalam hati kami, kami berharap untuk kumpulkan sekitar S$300,000, jauh lebih rendah berbanding sasaran S$850,000 semasa Ramadan 2018 dan 2019."

Lantas, dengan pungutan S$1.3 juta setakat ini, TAA menyifatkan jumlah kutipan itu sebagai "melebihi sebarang jangkaan".

AGIHAN BANTUAN KEDUA

Hasil sokongan padu yang diterima dari masyarakat, badan itu juga mengumumkan rancangan untuk melakukan agihan kedua.

"Secara tradisi, TAA mengumpulkan dana pada tahun sedia ada menerusi Kempen Ramadan dan Kempen Sinaran Hati untuk diagihkan sebagai bantuan kewangan pada Ramadan tahun seterusnya," jelas TAA.

"Namun para penerima bantuan sedang menghadapi cabaran yang tidak pernah dilihat tahun ini akibat COVID-19. Hasil sokongan teguh yang kami terima semasa Kempen Ramadan ini, TAA kini sedang merancang untuk mengagihkan sebahagian derma yang dikutip Ramadan ini menerusi agihan kedua tahun ini yang dipanggil 'Dana Darurat TAA'," tambah badan itu.

Dana Darurat TAA itu akan dihulurkan kepada 3,280 penerima bantuan yang menerima Dana Aidilfitri TAA tahun ini.

Menurut TAA, tarikh tepat pengagihan belum ditetapkan, namun ia dijangkakan pada bulan Julai menjelang Hari Raya Aidiladha.

"Kami sangat terharu atas kemurahan hati, budi baik dan keihsanan masyarakat kita untuk membantu para penerima bantuan kami, meskipun di tengah-tengah cabaran tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19," kata badan itu.

"Kami ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada masyarakat, penderma dan rakan-rakan media kerana sokongan padu Ramadan ini serta mengikuti usaha Dana Amanah TAA selama ini." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan