Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurikulum Drama, Senaman & Sains Sukan disemak supaya lebih relevan

Dua subjek peperiksaan peringkat GCE O sudah disemak semula untuk menjadikan fokusnya lebih tertumpu dan relevan bagi para penuntut Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kurikulum Drama, Senaman & Sains Sukan disemak supaya lebih relevan
Diterbitkan : 10 Feb 2018 05:18PM Dikemas Kini : 10 Feb 2018 05:26PM

SINGAPURA: Dua subjek peperiksaan peringkat GCE O sudah disemak semula untuk menjadikan fokusnya lebih tertumpu dan relevan bagi para penuntut Singapura.

Kurikulum Drama dan Senaman dan Sains Sukan kini lebih tertumpu, selain terdapat lebih banyak peluang untuk para pelajar berfikiran kritikal dan mengamalkan pembelajaran amali.

Bermain kejar-kejar adalah sebahagian daripada kelas drama di sekolah CHIJ Katong Convent. Semua pelajarannya diadakan di sebuah teater, yang sebelum ini merupakan sebuah gimnasium.

Sekolah itu sudah menawarkan Drama sebagai subjek peperiksaan peringkat O sejak 10 tahun lalu.

Namun tahun ini, para penuntut akan mengikuti mata pelajaran baru.

"Beberapa tahun dahulu, ia adalah mata pelajaran yang tidak begitu sesuai bagi para pelajar Singapura dalam bilik darjah tempatan. Kurikulum Drama yang sudah disemak semula ini merangkumi buah fikiran para pengamal teater tempatan dan juga para guru kami dan terdapat lebih banyak penekanan terhadap kemahiran berfikiran kritikal," kata Pengetua CHIJ Katong Convent, Patricia Chan.

Contohnya, teks dan skrip tempatan kini digunakan sebagai sumber mengajar dan juga sebahagian daripada peperiksaan.

Semua pelajar peringkat menengah rendah akan mengikuti pembelajaran asas - di mana mereka belajar tentang pergerakan tubuh menerusi permainan.

Namun hanya 10 daripada 200 pelajar dipilih setiap tahun untuk mengambil mata pelajaran itu sebagai subjek bagi peperiksaan peringkat O, yang meliputi lebih banyak topik teknikal seperti bentuk-bentuk lakonan.

Selain Drama, sukatan pelajaran bagi Senaman dan Sains Sukan juga sudah dikemas kini.

Buat pertama kali, Sekolah Menengah Bowen menawarkan subjek itu kepada para pelajarnya sebagai laluan pendidikan tambahan.

Menurut sekolah itu, sepertiga daripada pelajarnya terlibat dalam sukan dan menunjukkan prestasi yang baik dalam pertandingan antara sekolah.

Sekitar 35 pelajar sudahpun mengikuti mata pelajaran tersebut.

Dari segi pembaharuan pada kurikulum itu, sekolah tersebut menyatakan pelajaran amali kini tertumpu kepada sejumlah kecil sukan.

Ini termasuk yang popular dalam kalangan rakyat Singapura seperti bola keranjang, bola sepak serta atletik dan balapan.

Namun, ia bukanlah untuk berseronok semata-mata.

Selepas setiap sesi bersukan, para pelajar perlu menganalisis prestasi mereka dan berkongsi rancangan tentang bagaimana mereka boleh memperbaiki kepantasan, ketangkasan dan teknik permainan.

Dari segi teori pula, para penuntut mempelajari tentang fisiologi sukan seperti pergerakan otot dan sistem rangka tubuh.

Para guru pula sudah mula menjalani latihan sejak lima tahun lalu.

"Kami juga mengadakan sesi pembelajaran di luar negara di RMIT di Australia. Kami meninjau sekolah-sekolah di sana yang menawarkan PE sebagai subjek yang boleh diadakan peperiksaan - bagaimana mereka mengadakan sesi teori dan amali.

"Kami turut mendapatkan maklumat terkini dari sekolah-sekolah di sekitar kawasan ini yang menawarkannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kami juga mengadakan pertemuan. Kami mendapatkan sumber-sumber daripada mereka supaya kami boleh menyesuaikannya untuk para pelajar kami," kata Guru Kanan PE Sekolah Menengah Bowen, Winston Chua.

Buat masa ini sebanyak tujuh sekolah menawarkan subjek Drama manakala 18 sekolah menawarkan Senaman dan Sains Sukan.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan subjek-subjek tersebut bertujuan untuk memupuk kemahiran yang boleh mempersiap para pelajar pada masa akan datang seperti sikap ihsan dan perspektif global.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan