Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurang khidmat pembersihan, rumput panjang mungkin sumbang kepada kenaikan kes denggi

Pengurangan khidmat pembersihan dan penyenggaraan kemudahan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dari April hingga Jun serta tapak-tapak binaan yang tidak aktif mungkin menyumbang kepada lonjakan kes denggi baru-baru ini, kata Cik Grace Fu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kurang khidmat pembersihan, rumput panjang mungkin sumbang kepada kenaikan kes denggi

Para pegawai NEA membubuhkan larvisid untuk membunuh larva nyamuk dalam longkang. (Gambar: NEA)

Diterbitkan : 05 Sep 2020 09:13AM Dikemas Kini : 05 Sep 2020 09:14AM

SINGAPURA: Pengurangan khidmat pembersihan dan penyenggaraan kemudahan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dari April hingga Jun serta tapak-tapak binaan yang tidak aktif mungkin menyumbang kepada lonjakan kes denggi baru-baru ini, kata Cik Grace Fu.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran itu memberitahu Parlimen pada Jumaat (4 Sep): "Bagi sesetengah kes, rumput yang tumbuh sangat panjang mungkin menyembunyikan bekas-bekas yang dibuang yang berpotensi menjadi tapak pembiakan" tambah beliau.

“Bagaimanapun, isu ini sedang ditangani kerana khidmat-khidmat pembersihan dan yang berkaitan sudahpun disambung semula."

Cik Fu berkata demikian semasa memberikan jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh Encik Liang Eng Hwa, Anggota Parlimen (AP) Bukit Panjang, tentang mengapa terdapat lonjakan pada jumlah kes denggi tahun ini.

Encik Yip Hon Weng, AP Yio Chu Kang, juga ingin tahu jika pengurangan pada kerja memotong rumput menyebabkan peningkatan kes denggi manakala Encik Leon Perera, AP GRC Aljunied, bertanya tentang kemajuan usaha anti-denggi.

Singapura sedang menyaksikan penularan denggi terbesar dalam masa setahun sejak 2013.

Cik Fu berkata setakat 29 Ogos, terdapat 27,281 kes denggi dilaporkan tahun ini dengan 24,000 daripadanya dilaporkan dari Mac hingga Ogos. Ini lebih tinggi berbanding paras rekod 22,170 kes yang dicatatkan sepanjang tahun 2013.

Beliau mengaitkan peningkatan kes itu sebagai "pertembungan faktor-faktor" termasuk dominasi jenis denggi DenV-3 yang bukan jenis biasa dan peningkatan 30 peratus pada jumlah nyamuk Aedes aegypti dari Mei hingga Jun tahun ini berbanding tempoh dari Februari hingga Mac.

“Bersama dengan cuaca lebih panas dan hujan sedang kita melangkah ke puncak musim tradisional denggi sedari Mei, momentum kes denggi tinggi terus mengekalkan jumlah tinggi kes yang disaksikan pada Jun hingga ke hari ini," kata Cik Fu.

LEBIH BANYAK 'SASARAN MANUSIA'

Kenaikan pada kes denggi juga bersamaan dengan tempoh 'circuit breaker' dari April hingga Jun yang menyekat kegiatan serta pergerakan bagi membendung COVID-19. Dengan lebih ramai orang duduk di rumah, ada lebih banyak "sasaran manusia" bagi nyamuk, tambah menteri itu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudahpun "meningkatkan usaha dari semua sudut" sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan berakhir, kata Cik Fu.

NEA sudah melakukan pemeriksaan intensif, menjalankan 107,000 pemeriksaan di rumah dan mengesan serta menghapuskan 2,600 tapak pembiakan nyamuk pada Mei dan Jun. Ia juga menghapuskan 2,700 tempat pembiakan nyamuk semasa pemeriksaan di kondominium, tapak binaan serta premis lain semasa tempoh berkenaan.

NEA juga memperketat penguatkuasaan di kawasan yang diuruskan oleh majlis bandaran, tapak binaan dan premis kediaman sejak 15 Julai lalu dengan menaikkan denda bagi kesalahan berulang, misalnya.

Sebelum ini, isi rumah dikenakan denda komposisi S$200 bagi tapak pembiakan yang dikesan di rumah mereka, tidak kira berapa jumlah tapak itu. Sejak 15 Julai, pesalah kali pertama akan didenda S$200 jika satu habitat pembiakan nyamuk dikesan. Pesalah kali kedua berdepan denda S$300 dan kesalahan seterusnya pula akan dibawa ke mahkamah.

NEA turut menggesa majlis bandaran, yang menguruskan hartanah umum perumahan awam dan unit komersil, untuk mempertingkatkan usaha penyelenggaraan bagi menghapuskan air bertakung dan menjaga kebersihan longkang, antara lain.

Cik Fu berkata usaha-usaha itu membawa kepada kemerosotan 20 peratus pada jumlah kes denggi sejak beberapa minggu lalu.

Sekitar 84 peratus daripada 2,253 kelompok yang dilaporkan tahun ini sudahpun diisytiharkan bebas nyamuk setakat hujung Ogos. Ini termasuk kelompok-kelompok denggi besar di Bartley Road berdekatan Serangoon Central dan Dakota Crescent berhampiran Mountbatten. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan