Images
  • schools
    Suasana di Sekolah Rendah Farrer Park. (Gambar: Ang Hwee Min)

Kurang 10% murid, kakitangan diarahkan tidak datang sekolah selepas pulang ke S'pura: MOE

SINGAPURA: Sedang sekolah-sekolah dibuka semula pada Isnin (23 Mac) setelah cuti persekolahan selama seminggu, kurang daripada 10 peratus pelajar dan kakitangan tidak akan menghadiri sekolah kerana telah berkunjung ke luar negara, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Ini termasuk para pelajar dan kakitangan dari semua sekolah, termasuk sekolah pendidikan khas (SPED) dan tadika-tadika MOE, kata pengarah sekolah-sekolah MOE Liew Wei Li.

MOE dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan pada Khamis lalu (19 Mac) bahawa semua pelajar dan kakitangan sekolah yang pulang dari luar negara semasa cuti sekolah Mac perlu mengambil cuti ketidakhadiran selama 14 hari.

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung menarik perhatian dalam catatan Facebooknya pada Khamis bahawa "ribuan pelajar dan anggota keluarga mereka melancong ke luar negara".

Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, Cik Liew mengatakan bahawa "jumlah yang terjejas itu masih dapat diurus."

"Berdasarkan pengisytiharan perjalanan oleh para pelajar dan kakitangan sekolah sebelum cuti sekolah Mac bermula, pihak sekolah akan menghubungi ibu bapa kepada para pelajar serta para kakitangan yang terjejas untuk memaklumkan mereka secara langsung mengenai cuti ketidakhadiran itu," tambahnya.

Sedang tenaga kerja akan terjejas dengan sesetengah guru dikenakan cuti ketidakhadiran atau notis duduk di rumah, pihak sekolah akan membuat "penyesuaian yang perlu" bagi memastikan kelas-kelas dapat dijalankan "tanpa gangguan", kata Cik Liew sambil menambah ini termasuk menggajikan lebih ramai guru sandaran dan "menyesuaikan jadual kelas".

"MOE akan menyediakan semua sokongan yang perlu kepada sekolah-sekolah, termasuk mengerahkan guru daripada bahagian lain dalam khidmat pendidikan ke sekolah-sekolah buat tempoh hingga dua minggu mengikut keperluan," katanya.

Para pelajar yang duduk di rumah akan meneruskan dengan pembelajaran mereka menerusi Pembelajaran Di Rumah, yang dipermudahkan oleh sekolah-sekolah menerusi pelbagai kaedah sesuai dengan keperluan pelajar, tambah Cik Liew.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- CNA/HA/ha

Top