Images

Kumpulan silang sektor dilancar bantu perkukuh perkahwinan dan ikatan keluarga

SINGAPURA: Sebuah kumpulan silang sektor yang baru akan melakar dan melaksanakan huraian bagi mengukuhkan perkahwinan dan ikatan keluarga dilancarkan pada Rabu (4 Ogos), menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Perikatan untuk Bertindak (AfA) bagi Mengukuhkan Perkahwinan dan Hubungan Keluarga ditubuhkan kerana keluarga kekal sebagai asas penting dalam masyarakat Singapura, kata Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling di pelancarannya secara online.

"Kami ingin mempelawa seramai mungkin rakan kongsi, seramai mungkin pihak berkepentingan untuk bekerjasama dengan kami dan menyertai kami... supaya kita dapat mengenal pasti masalah secara bersama, di samping mewujudkan huraian bersama dan melaksanakan huraian itu secara bersama," kata Cik Sun.

Beliau turut menggariskan enam bidang yang menjadi tumpuan utama di bawah perikatan itu: Pertama, usaha mendampingi keluarga menerusi dan bersama dengan rakan kongsi masyarakat; kedua, sokongan bagi pasangan muda; ketiga, membesarkan anak-anak bersama; keempat, sokongan bagi ibu bapa tunggal; kelima, sokongan bagi keluarga dengan risiko awal; dan keenam, mengukuhkan perkahwinan dan keluarga dalam masyarakat beragama.

Perikatan itu akan bekerjasama dengan Majlis Keluarga untuk Seumur Hidup, pertubuhan bukan pemerintah, rakan-rakan kongsi masyarakat dan pertubuhan agama dalam usaha ini.

TEKANAN RUMAHTANGGA DAN MEMBESARKAN ANAK

Walaupun jumlah perkahwinan merosot 10.9 peratus dari 2019 hingga 2020, Cik Sun menarik perhatian bahawa sejumlah besar daripada perceraian berlaku dalam kalangan kohort perkahwinan baru-baru ini.

"Pandemik COVID-19 memburukkan lagi beberapa tekanan ini.

"Membesarkan anak-anak kini lebih mencabar dengan anak-anak berdepan dengan tekanan akademik dan perlu memenuhi jangkaan masyarakat, dibebankan lagi dengan kehadiran media sosial," menurut MSF dalam kenyataan medianya.

Dalam ucapannya, Cik Sun turut menggariskan khidmat kaunseling online oleh Hab Psikologi Masyarakat.

Dalam kalangan sekitar 2,000 individu yang dibantu khidmat itu antara 1 April 2020 dengan 30 Jun 2021, lebih 80 peratus mendapatkan bantuan bagi isu-isu perkahwinan, perceraian, membesarkan anak-anak dan keluarga.

Selain itu, Cik Sun berkata bahawa perikatan itu akur bahawa terdapat keluarga-keluarga yang mudah terjejas dalam kalangan individu itu.

"Ini mungkin keluarga yang terbentuk daripada pasangan yang mendirikan rumahtangga pada usia sangat muda, apabila mereka masih bawah umur dan justeru mungkin berdepan ketidakstabilan berhubung pekerjaan," katanya.

"Mereka mungkin menghadapi isu-isu kewangan; mereka mungkin mempunyai ramai anak, dan mereka tidak begitu pasti bagaimana menjadi ibu bapa terbaik untuk anak-anak mereka kerana mereka sendiri masih muda dan mempunyai tekanan lain," katanya.

Cik Sun, yang juga adalah pengerusi bersama pasukan bertindak bagi mencegah keganasan keluarga, menarik perhatian bahawa sesetengah daripada mereka juga mengalami keganasan dalam keluarga dan menambah bahawa perikatan itu akan meneliti beberapa saranan daripada pasukan bertindak itu bagi membantu keluarga sedemikian.

Sekitar 3,700 panggilan dibuat pada talian antikeganasan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menurut MSF.

PERKAHWINAN SATU 'KEPUTUSAN PERIBADI'

Apabila ditanya bagaimana perikatan itu merancang untuk meningkatkan jumlah perkahwinan, Cik Sun berkongsi bahawa menjangkaui skim pemerintah dan bonus bayi, "perkahwinan dan membesarkan anak-anak adalah pilihan peribadi".

"Apa yang boleh kita lakukan adalah untuk mengurangkan tekanan yang mungkin dihadapi oleh para pasangan. Kita cuba memberi mereka keyakinan bahawa masyarakat dan pemerintah akan memberi sokongan dan membantu mereka sebaik mungkin," katanya.

"Namun akhirnya, ia adalah keputusan peribadi dan terutama sekali di tengah-tengah COVID-19. Kami sedia maklum bahawa para pasangan menangguhkan rancangan untuk berkahwin kerana pandemik."

Lynn Er, seorang anggota perikatan dari Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) menambah bahawa ketakutan pada komitmen adalah nyata.

"Mereka mempunyai keraguan dalam fikiran masing-masing (namun) ia bukan kerana mereka tidak saling menyayangi satu sama lain," katanya semasa pelancaran itu.

"Saya tidak rasa geran kewangan akan menjejas (keputusan itu)... Ia boleh membantu, dan ia sesuatu yang sering ditumpukan oleh pemerintah, namun saya fikir aspek-aspek perkara lebih lembut dan halus akan membawa perbezaan."

- CNA/HA/ha

Top