Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan pertama jemaah haji S'pura berangkat 20 Julai ini

Kesemua 900 tempat bagi jemaah haji Singapura, sebagaimana diperuntukkan bagi kuota negara ini, sudah dipenuhi. 90 peratus jemaah haji tahun ini pula merupakan jemaah kali pertama.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan pertama jemaah haji S'pura berangkat 20 Julai ini

Mufti Singapura, Dr Mohamed Fatris Bakaram, menyampaikan ceramah pendek kepada 900 jemaah haji yang menghadiri sesi taklimat pada 6 Jul 2019. (Gambar; MUIS)

SINGAPURA: Kesemua 900 tempat bagi jemaah haji Singapura, sebagaimana diperuntukkan bagi kuota negara ini, sudah dipenuhi. 90 peratus jemaah haji tahun ini pula merupakan jemaah kali pertama.

Demikian dedah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan hari ini. Ia juga menyatakan bahawa kumpulan pertama jemaah haji Singapura akan berangkat ke Arab Saudi pada 20 Julai ini manakala kumpulan terakhir berlepas pula adalah 5 Ogos.

Ketua Delegasi, Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad, menyampaikan ucapan kepada para jemaah haji Singapura semasa sesi taklimat pada 6 Julai 2019. 

Ketua Delegasi, Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad, menyampaikan ucapan kepada para jemaah haji Singapura semasa sesi taklimat pada 6 Julai 2019. (Gambar: MUIS)

Jemaah Singapura kali ini akan dipimpin oleh Dr Albakri Ahmad, selaku Ketua Delegasi Haji tahun ini. Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, juga akan memimpin Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO).

SPAO tahun ini dianggotai oleh 25 orang.

Kesemuanya adalah sukarelawan, terdiri daripada kakitangan perubatan dan pentadbiran, yang akan berkhidmat untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan para jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci nanti.

25 pegawai SPAO dilantik untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan para jemaah haji Singapura 2019 sepanjang di Tanah Suci nanti. 

Barisan pegawai SPAO bagi musim haji 2019. (Gambar: MUIS)

Bagi memberi penerangan mengenai urusan haji tahun ini, satu sesi taklimat prakeberangkatan haji berlangsung di Pusat Konvensyen Singapura siang tadi (6 Jul). MUIS menyatakan kesemua 900 jemaah haji Singapura menghadiri sesi tersebut, yang turut disokong Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS).

Turut hadir ialah Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Encik Amrin Amin, Mufti Negara, Dr Mohamad Fatris Bakaram, dan Duta Kerajaan Arab Saudi, Encik Saad Saleh Ibrahim Al Saleh.

Encik Amrin turut merasmikan pelantikan para pegawai SPAO.

JEMAAH DIGESA PATUH NASIHAT, PERATURAN KESELAMATAN

Dalam ucapan kepada para jemaah haji, Dr Albakri menasihati mereka supaya mematuhi nasihat keselamatan dan peraturan-peraturan keselamatan yang diberikan. Para jemaah juga hendaklah mengelakkan kawasan-kawasan larangan berhampiran tapak-tapak binaan di Tanah Suci demi keselamatan mereka.

"Jemaah haji hendaklah sentiasa berwaspada, menjaga kesihatan mereka, mengamalkan kebersihan yang baik dan berjumpa dengan pasukan perubatan kami dengan segera sekiranya mereka tidak sihat," tambah beliau.

Encik Amrin Amin, Ketua Delegasi Dr Albakri Ahmad (tiga dari kiri) dan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menemui beberapa jemaah haji semasa sesi taklimat pada 6 Jul 2019. (Gambar: MUIS)

Encik Amrin Amin, Ketua Delegasi Dr Albakri Ahmad (tiga dari kiri) dan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menemui beberapa jemaah haji semasa sesi taklimat pada 6 Jul 2019. (Gambar: MUIS)

Dr Albakri juga menyampaikan penghargaan kepada Encik Saad Saleh atas bantuan yang dihulurkan dalam memproses visa-visa Haji para jemaah Singapura. 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Haji Arab Saudi atas segala pengaturan yang dilakukan berhubung tempat penginapan para jemaah Singapura sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Para anggota keluarga jemaah Singapura boleh mengikuti perkembangan harian saudara mara mereka di Tanah Suci menerusi laman web facebook.com/Haj.SG dan instagram.com/Haj.SG. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan