Images

Kumpulan NUS cipta kit ujian mudah alih untuk kesan penyakit

SINGAPURA: Para penyelidik di Singapura sudah mencipta satu kit ujian mudah alih untuk mengesan penyakit dengan pantas dan tidak begitu mahal.

Kit itu mungkin dijual tidak lama lagi. Ia membolehkan para pengguna melakukan sendiri ujian, sekali gus mengurangkan keperluan untuk ujian makmal.

Tidak lama lagi, anda mungkin boleh melakukan sendiri ujian mengesan penyakit-penyakit seperti Zika dan Hepatitis yang mengambil masa kurang sejam dan harganya pula kurang sedolar.

Bahkan kit ujian baru enVision, ciptaan para penyelidik Universiti Nasional Singapura itu, boleh mengesan beberapa jenis keadaan barah dan genetik.

Sebaliknya, kaedah diagnostik sekarang boleh mengambil masa dua hingga empat kali lebih lama untuk diuji dan berharga sekitar $100.

Pasukan penyelidik itu berharap untuk menjual kit ujian mereka di Singapura dan rantau ini menerusi farmasi dan klinik-klinik dalam masa satu hingga dua tahun lagi.

Para pengguna hanya perlu meletakkan setitis darah atau cecair tubuh ke satu cakera di cip plastik kecil yang disediakan.

Darah atau cecair itu akan mengalir ke cakera lain yang sudah dimuatkan dengan mesin molekul DNA - direka untuk mengenal pasti molekul khusus penyakit. Sekiranya ada penyakit, warna cakera akan berubah menjadi coklat.

"Jumlah warna coklat yang dihasilkan selari dengan bilangan virus bakteria dalam sampel. Jadi, sekarang anda boleh mempunyai pengiraan yang tepat tentang berapa banyak virus dan bakteria yang ada dalam sampel anda," kata Pakar Penyelidik, Insititut Molekul & Sel Biologi, Dr Nicholas Ho.

Hasil ujian boleh dianalisis dengan lebih lanjut menggunakan sebuah aplikasi telefon bijak bagi menilai tahap jangkitannya. Beberapa unit bagi cip ujian yang sama juga boleh dipasang ke rawan umum bagi menguji beberapa penyakit secara serentak.

Pasukan penyelidik itu berkata kit tersebut mempunyai kadar ketepatan 95 peratus dan diusahakan selama satu setengah tahun. 

- CNA/NU/aq

Top