Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan kerja baru dibentuk, perbaiki kesihatan orang Melayu, India - MOH

Sebuah kumpulan kerja yang dibentuk bulan lalu bertujuan untuk membaiki kesihatan kumpulan etnik minoriti di sini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) sedang pihaknya berusaha untuk merapatkan "jurang yang ketara" dalam tingkah laku dan hasil kesihatan antara kaum di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan kerja baru dibentuk, perbaiki kesihatan orang Melayu, India - MOH

Pusat Penjaja Pasar Geylang Serai. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Diterbitkan : 05 Mar 2021 08:44PM Dikemas Kini : 05 Mar 2021 08:47PM

SINGAPURA: Sebuah kumpulan kerja yang dibentuk bulan lalu bertujuan untuk membaiki kesihatan kumpulan etnik minoriti di sini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) sedang pihaknya berusaha untuk merapatkan "jurang yang ketara" dalam tingkah laku dan hasil kesihatan antara kaum di Singapura.

Mengumumkan usaha ini semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MOH di Parlimen pada Jumaat (5 Mac), kementerian itu menyatakan dalam satu kenyataan bahawa usaha pertamanya tertumpu kepada masyarakat Melayu sebelum ia diperluaskan ke masyarakat lain, seperti orang India.

Kumpulan kerja itu akan dipimpin Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam, dan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Wan Rizal dari serta Mariam Jaafar dari GRC Sembawang.

Langkah itu dibuat setelah satu semakan terhadap data kesihatan kebangsaan mendapati bahawa jumlah orang Melayu yang menghidap barah berbanding masyarakat lain, secara beransur-ansur meningkat selama beberapa dekad.

Masyarakat Melayu juga mempunyai kadar obesiti tertinggi dan kadar penggunaan tembakau yang tinggi berbanding dengan masyarakat Cina dan India. Selain itu, masyarakat Melayu juga mempunyai kadar pemeriksaan bagi penyakit kronik dan barah yang paling rendah.

"Data itu membayangkan bahawa mungkin ada perbezaan budaya yang mempengaruhi gaya hidup dan tingkah laku mereka terhadap kesihatan," kata MOH.

Memetik perangkaan tahun lalu, Cik Rahayu memberitahu Parlimen bahawa 14.4 peratus orang Melayu dan 14.2 peratus orang India menderita penyakit kencing manis, berbanding dengan 8.2 peratus orang Cina.

Di samping itu, 37.5 peratus orang Melayu mempunyai tekanan darah tinggi, berbanding dengan 29.5 peratus orang India dan 36.1 peratus orang Cina.

Tinjauan kesihatan nasional terkini, yang dijalankan pada 2019, mendapati orang Melayu mempunyai kadar merokok harian tertinggi (23 peratus), berbanding orang India (10.9 peratus) dan orang Cina (8.6 peratus).

Jumlah wanita India dan Cina yang diperiksa bagi barah payudara berbanding orang Melayu juga lebih tinggi (kedua-duanya lebih 40 peratus) berbanding 28.9 peratus bagi wanita Melayu.

Dalam pada itu, 34.8 peratus wanita Melayu diperiksa bagi barah pangkal rahim, lebih rendah daripada kadar wanita Cina (49.9 peratus) dan wanita India (46.1 peratus).

Kadar pemeriksaan bagi barah kolorektal adalah yang terendah dalam kalangan orang Melayu juga, sebanyak 31.9 peratus, berbanding dengan 43.6 peratus dalam kalangan orang Cina dan 37.5 peratus dalam kalangan orang India.

PROGRAM BERASASKAN BUDAYA

Kumpulan kerja itu akan merancang program yang berkaitan dengan budaya dan membantu menggembleng masyarakat Melayu melawan tabiat kesihatan yang buruk, kata MOH.

Sebagai permulaan, kumpulan kerja tersebut akan disokong oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan pertubuhan seperti Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), kumpulan bantu diri Yayasan MENDAKI dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).

Rakan masyarakat lain seperti badan kebajikan sukarela boleh menyertai kumpulan kerja itu pada satu tempoh masa kemudian untuk memperluas usaha dan jangkauannya.

'BUKAN MENYASARKAN SATU-SATU KUMPULAN'

Semasa menjelaskan sebab ia memulakan kumpulan kerja bagi kumpulan etnik minoriti, MOH menyatakan bahawa usaha itu bukan untuk membezakan sesiapa atau mana-mana kumpulan tertentu.

"Tujuan kami ialah kesihatan untuk semua, jadi kami mahukan pendekatan terbaik ... Dalam melakukan ini, kita perlu iktiraf bahawa ada perbezaan budaya, dan ini adalah usaha untuk melakukannya," katanya.

Mengenai sebab tidak ada inisiatif khusus untuk masyarakat Cina, MOH menjelaskan: "Sebagai sebuah masyarakat majoriti, apa pun inisiatif akan memenuhi keperluan mereka."

Pendekatan isu kesihatan mengikut garis kaum telah mencetuskan reaksi negatif masyarakat pada masa lalu.

Sebagai contoh, pada 2015, pelajar undang-undang ketika itu, Fadli Fawzi menulis kepada Yahoo News Singapore dengan berhujah bahawa menyalahkan amalan budaya atau tabiat orang Melayu berhubung isu kesihatan mereka akan menimbulkan masalah.

"Pendekatan ini bukan hanya tidak sensitif, tetapi juga terlalu mempermudah isu itu untuk benar-benar menyelesaikan masalah ini," tulisnya.

HPB menyatakan bahawa pihaknya telah memberikan tumpuan kepada etnik minoriti sejak 2017, setelah menyedari bahawa pendekatan lebih umum yang diambil selama bertahun-tahun mempunyai batasannya.

Pendekatan khusus membolehkan pihak berkuasa menangani isu-isu tertentu, seperti alternatif makanan halal yang sihat untuk penduduk Muslim, kata HPB.

Pihaknya menambah: "Kami mendapati bahawa bagi masyarakat Melayu khususnya, hanya dengan mempunyai saluran khusus yang tertumpu untuk mendampingi mereka, mempunyai pesanan-pesanan yang disesuaikan dengan konteks budaya tertentu masyarakat, sangat berkesan."

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada 2017, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan penyakit kencing manis sebagai krisis kesihatan bagi orang Melayu dan India. Pemerintah melancarkan perang melawan kencing manis pada 2016.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan