Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kucing 'pendiam, pengecut' gigit budak hingga luka gara-gara kucing lain ekori tuannya

Malang tidak berbau. Niat baik Azzurri Aiman memberi makan kepada seekor kucing terbiar seolah-olah tidak dapat diterima oleh kucing peliharaannya yang bertindak mencederakan budak itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kucing 'pendiam, pengecut' gigit budak hingga luka gara-gara kucing lain ekori tuannya

Azzurri Aiman diterkam dan digigit oleh kucing peliharaannya sehingga luka dan memerlukan jahitan. (Gambar: Azzurri Azmi/Facebook)

SINGAPURA: Malang tidak berbau. Niat baik Azzurri Aiman memberi makan kepada seekor kucing terbiar seolah-olah tidak dapat diterima oleh kucing peliharaannya yang bertindak mencederakan budak itu.

Setelah memberi makan kepada kucing betina itu di kolong bloknya, kongsi pengguna Facebook Azzurri Azmi yang juga bapa kepada Aiman, Aiman membuat perjalanan pulang tanpa menyedari dia diekori kucing berkenaan. Kucing jantan peliharaan keluarga Aiman, yang diberi nama Apet, juga berada di koridor apabila dia pulang dan tiba-tiba ia menerkam ke muka budak itu lalu menggigitnya.

Aiman berlari ke dalam bilik sambil meneriak dalam kesakitan sedang Apet terus menggigit wajahnya. Bapa Aiman terpaksa menggenggam leher kucing mereka agar ia melepaskan muka anaknya itu. Ketika menyelamatkan anaknya, beliau mengalami beberapa luka pada sebelah kiri lengannya akibat dicekau.

(Gambar: Azzurri Azmi/Facebook)

(Gambar: Azzurri Azmi/Facebook)

Encik Azmi kemudian mengambil tuala lembap dan menekap perlahan-lahan muka anaknya yang sedang berdarah. Sekali pandang sahaja, kata Encik Azmi, beliau tahu wajah Aiman perlu segera dirawat. Lantas, beliau segara membawa anaknya ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di Hospital Besar Sengkang (SKH).

Menurut Encik Azmi, perilaku kucing peliharaannya itu sungguh aneh kerana ia adalah seekor haiwan yang pendiam dan pengecut. Masih buntu akan apa yang mencetuskan ia untuk bertindak sedemikian, Encik Azmi memutuskan untuk mengurung Apet dalam kandang dan akan membawa haiwan itu ke doktor haiwan untuk dikembiri.

Ini memandangkan sejak insiden itu, kedua-dua anak lelaki dan perempuan Encik Azmi trauma serta fobia dengan Apet.

(Gambar: Azzurri Azmi/Facebook)

(Gambar: Azzurri Azmi/Facebook)

Dalam satu catatan kemas kini di Facebook, Encik Azmi berkata keluarganya sedang memantau rapi keadaan Aiman yang kian beransur pulih.

Menurut Encik Azmi, Aiman adalah satu-satunya dalam keluarganya yang sentiasa meluangkan masa dengan Apet, menjaganya dan memberinya makan sejak ia kecil lagi. Meskipun terkejut dengan apa yang menimpa dirinya, Aiman memahami keadaan.

Kelibat kucing terbiar itu biasa dilihat di sekitar kawasan perumahan Encik Azmi. Seorang penduduk daripada kawasan kejiranan itu memberitahu Encik Azmi bahawa ia sebenarnya adalah kucing jantan dan bukan betina. Mungkin hal itu menjelaskan naluri perilaku kedua-dua haiwan tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan