Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kronologi babak-babak bersejarah Sidang Puncak Singapura Trump-Kim

Hakikatnya, ia suatu sidang puncak yang luar biasa antara Presiden Amerika Syarikat dengan Pemimpin Korea Utara yang penuh dengan pelbagai simbolisme.

Anggaran Waktu Membaca:
Kronologi babak-babak bersejarah Sidang Puncak Singapura Trump-Kim

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa mesyuarat dua hala di Hotel Capella, Singapura. (Gambar: Twitter@Scavino45)

Diterbitkan : 12 Jun 2018 09:37PM Dikemas Kini : 12 Jun 2018 10:04PM

SINGAPURA: Hakikatnya, ia suatu sidang puncak yang luar biasa antara Presiden Amerika Syarikat dengan Pemimpin Korea Utara yang penuh dengan pelbagai simbolisme.

Ramai orang - baik pemimpin, penganalisis mahupun orang Korea dan Amerika Syarikat sendiri - seolah-olah tidak percaya bahawa Encik Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump boleh kelihatan seperti sahabat baik dan begitu mesra dalam pertemuan mereka, walaupun baru kali pertama bertemu setelah berdekad-dekad kedua-dua negara bermusuhan.

Pertemuan yang dipanggil Sidang Puncak Singapura itu menutup tirainya dengan kedua-dua pemimpin memeterai dokumen penting bagi mencapai pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea.

Berikut BERITAMediacorp membawakan kepada anda peristiwa bersejarah itu babak demi babak secara kronologi peristiwa yang turut membanggakan Singapura selaku tuan rumahnya:

9.00 pagi: Presiden Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara bertemu dan berjabat tangan buat kali pertama dalam sejarah di Hotel Capella, Sentosa Singapura.

Jabat tangan bersejarah antara Donald Trump dan Kim Jong Un (Gambar: AFP)

9.10 pagi: Encik Trump dan Encik Kim membuat kenyataan kepada pihak media

9.16 pagi: "Bukan mudah untuk mengadakan rundingan-rundingan...namun kami berjaya menangani semuanya dan kita berada di sini hari ini," kata Encik Kim.

Presiden AS Donald Trump memberi tanda jempol semasa pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. (Gambar: AFP/Saul Loeb)

9.28 pagi: "Kami akan menjalin hubungan amat baik. Saya yakin," kata Encik Trump.

9.48 pagi: Pemimpin Korea Selatan Moon Jae-in menyaksikan jabat tangan bersejarah antara Encik Trump dengan Encik Kim.

9.59 pagi: Encik Trump dan Encik Kim memulakan rundingan dua hala bersama delegasi masing-masing di Hotel Capella.

Encik Kim Jong Un berjabat tangan dengan Encik Trump, 12 Jun 2018. (Gambar: Twitter@Scavino45)

10.47 pagi: Encik Trump dan Encik Kim masih lagi mengadakan rundingan dua hala. Tiada siapa yang tahu berapa lama ia akan berlangsung.

11.12 pagi: Kenyataan rasmi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara Kim Jong dikeluarkan, sebelum rundingan dua hala.

11.20 pagi: Bintang NBA yang sudah bersara dan juga merupakan teman baik Kim Jong Un, iaitu Dennis Rodman, dilihat di Hotel Regent.

11.49 pagi: Antara ungkapan menarik dari kedua-dua pemimpin Encik Trump dan Encik Kim:

“Saya rasa seluruh dunia sedang menyaksikan detik ini. Ramai orang di dunia akan menganggap detik ini seolah-olah sebahagian daripada cerita fantasi...filem cereka sains," Encik Kim didengar berkata demikian kepada penterjemahnya selepas jabat tangan bersejarah antara beliau dengan Encik Trump.

“Saya berbesar hati...Kami akan menjalin hubungan amat baik (dan) saya yakin," kata Encik Trump kepada media.

“Bukan mudah untuk sampai di sini...prejudis-prejudis dan amalan-amalan lama menjadi hadangan, namun kami berjaya menanganinya dan berada di sini hari ini," kata Encik Kim kepada media.

“Amat baik, amat baik sekali," kata Encik Trump tentang pertemuan empat mata dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

“Kami (akan) bekerjasama, kami akan melaksanakannya”: kata Encik Trump kepada Kim Jong Un sebelum rundingan dua hala bermula.

11.55 pagi: Encik Trump dan Encik Kim memulakan jamuan tengah hari selepas rundingan dua hala selesai.

11.56 pagi: "Saya tidak tidur malam. Saya dan semua penduduk Korea Selatan benar-benar berharap sidang puncak itu berjaya dan akan membuka lembaran baru era bebas senjata nuklear, keamanan dan hubungan baru antara Korea Selatan, Korea Utara dengan Amerika Syarikat," kata Encik Moon Jae-in.

12.32 tengah hari: Tiga jabat tangan bersejarah - apabila Encik Trump dan Encik Kim bertemu, semasa mereka duduk dan sebelum rundingan dua hala dimulakan.

12.39 tengah hari: Encik Trump dan Encik Kim dilihat berjalan seiringan di Hotel Capella. Presiden Amerika itu kemudian dilihat menunjukkan kepada Encik Kim bahagian dalam kereta rasmi Presiden yang dipanggil The Beast.

12.49 tengah hari: Encik Trump dan Encik Kim akan menandatangani sebuah dokumen.

"Banyak kemajuan, amat positif, lebih baik daripada apa yang boleh dijangkakan. Terbaik, amat baik," kata Encik Trump.
1.40 petang: Encik Trump dan Encik Kim menandatangani dokumen "penting yang menyeluruh" di sidang puncak bersejarah.

1.44 petang: "Kami amat bangga dengan apa yang dilakukan hari ini...kami sudah menjalin hubungan amat istimewa," kata Encik Trump.

1.46 petang: Encik Donald Trump mengatakan beliau "pasti akan mengundang" Encik Kim Jong Un ke Rumah Putih.

1.46 petang: Jabat tangan bersejarah yang ke-4 antara Encik Trump dengan Encik Kim.

1.47 petang: Encik Trump dan Encik Kim selesai upacara menandatangani perjanjian.

1.49 petang: "Dunia akan melihat perubahan besar," isytihar Kim Jong Un.

"Banyak usaha dan persediaan dibuat untuk ini," kata Presiden Trump.

1.51 petang: "Perunding yang termasyhur dan amat bijak," kata Encik Trump tentang Kim Jong Un.

"Beliau seorang yang berbakat besar. Saya juga tahu bahawa beliau amat cintakan negaranya," kata Encik Trump tentang Kim Jong Un selepas upacara menandatangani dokumen di Hotel Capella di Sentosa, Singapura.

1.52 petang: Encik Trump dan Encik Kim sekali lagi berjabat tangan.

2.05 petang: Konvoi Encik Kim meninggalkan Sentosa selepas sidang puncak.

2.11 petang: China puji sidang puncak Trump-Kim kerana "mencipta sejarah baru".

2.45 petang: Ini beberapa ungkapan penting daripada Presiden Trump dan Encik Kim semasa upacara menandatangani dokumen, yang diadakan di Hotel Capella:

"Kami akan menandatangani sebuah dokumen penting. Dokumen yang agak menyeluruh. Kami sudah melalui satu penggal yang baik bersama-sama, satu hubungan yang baik," kata Encik Trump.

"Kami berdua amat berbesar hati menandatangani dokumen ini," kata Encik Trump.

"Hari ini kami mengadakan mesyuarat yang amat bersejarah. Kami memutuskan untuk meninggalkan perkara lama dan menandatangani sebuah dokumen bersejarah. Dua akan melihat perubahan besar. Saya mahu melahirkan terima kasih saya kepada Presiden Trump kerana memastikan pertemuan ini diadakan," kata Encik Kim.

"Kami akan memulakan prosesnya dengan segera, begitu segera, pasti sekali," kata Encik Trump tentang pelucutan senjata nuklear.

"Surat yang kami tandatangani amat menyeluruh dan saya rasa kedua-dua pihak akan gembira dengan hasilnya. Banyak kerjasama muhibah dilakukan, banyak usaha dan persediaan," kata Encik Trump.

"Kami amat bangga dengan apa yang diadakan hari ini. Saya rasa hubungan kami dengan Korea Utara dan Semenanjung Korea akan berbeza daripada sebelum ini. Kami berdua mahu melakukan sesuatu dan kami akan melakukan sesuatu. Kami juga sudah menjalin hubungan amat istimewa. Dunia akan kagum dan amat gembira dan kami akan menangani satu masalah yang amat berbahaya untuk dunia," kata Encik Trump.

"Saya akan katakan (sidang puncak ini) berjaya bagi kedua-duanya (saya dan Encik Kim) lebih baik daripada apa yang boleh dijangkakan . Ini akan membawa kepada lebih banyak lagi (perkara). Saya berbesar hati dapat bersama anda, amat berbesar hati. Terima kasih kepada semua wakil-wakil anda," kata Encik Trump.

"Tentu sekali," kata Encik Trump apabila ditanya sama ada beliau akan mengundang Encik Kim ke Rumah Putih.

3.37 petang: Empat komitmen tertera pada dokumen yang ditandatangani kedua-dua pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara:

1. Amerika Syarikat dan DPRK komited untuk menjalin hubungan baru AS-DPRK seperti yang diinginkan oleh rakyat kedua-dua negara, iaitu keamanan dan kemakmuran.

2. Amerika Syarikat dan DPRK akan bekerjasama mewujudkan keamanan yang abadi dan stabil di Semenanjung Korea.

3. Mengesahkan lagi Perisytiharan Panmunjom pada 27 April 2018, DPRK komited untuk berusaha ke arah bebas senjata nuklear di Semenanjung Korea.

4. Amerika Syarikat dan DPRK komited memulangkan mayat dan jasad tahanan perang POW/MIA termasuk segera menghantar pulang mereka yang identitinya sudah dikenal pasti.

4.00 petang: Encik Trump memberitahu pihak media, Sidang Puncak Trump Kim hari ini bukan kali pertama beliau bercakap dengan Encik Kim.

4.18 petang: Encik Trump berucap kepada sidang media selepas pertemuan bersejarah dengan Kim Jong Un.

Korea Utara berpotensi menjadi sebuah "tempat yang hebat", Encik Trump memberitahu para wartawan dan menyifatkan pertemuannya dengan Encik Kim sebagai "jujur, terus terang dan produktif".

"Kami sudah bersedia untuk memulakan sejarah baru dan kami bersedia untuk membuka lembaran baru antara kedua-dua negara."

4.24 petang: Menurut Encik Kim, Korea Utara sudahpun memusnahkan tapak uji utama bagi enjin peluru berpandu, kata Encik Trump.

"Sesiapa pun boleh memulakan perang, tetapi hanya orang-orang yang berani boleh mewujudkan keamanan," kata Encik Trump.

Presiden Donald Trump. 

4.33 petang: "Kami akan menghentikan latihan tentera (di Korea Selatan) dan ini akan menjimatkan banyak wang," kata Encik Trump yang memeranjatkan sebahagian pihak di Korea Selatan dan juga penganalisis.

Encik Trump berkata beliau mahu memanggil balik askar-askar Amerika dari Korea Selatan. Terdapat 32,000 askar Amerika di sana. Namun "itu bukan sebahagian daripada faktor penting sekarang".

4.34 petang: Encik Trump berkata beliau akan ke Pyongyang dan akan mengundang Encik Kim ke Rumah Putih "pada waktu yang sesuai".

4.38 petang: Sekatan ke atas Korea Selatan dikekalkan buat masa ini, kata Encik Trump.

"Saya mahu menarik balik sekatan itu, (namun) ia akan ditarik balik pada masa akan datang apabila kami tahu tiada apa yang akan berlaku," kata Encik Trump.

4.41 petang: Encik Trump mengesahkan latihan tentera dengan Korea Selatan akan dihentikan. Beliau menyifatkannya sebagai "terlalu mahal".

4.45 petang: "Orang berkata 'Presiden mengorbankan banyak perkara'.

"Saya tidak mengorbankan apa-apa. Saya di sini. Saya belum tidur selama 25 jam. Kami tidak mengorbankan apa-apa kecuali bersetuju untuk mengadakan pertemuan," kata Encik Trump.

4.49 petang: Encik Trump berkata beliau sudah bersedia untuk mengenakan sebanyak 300 "sekatan besar" ke atas Korea Utara pada minggu lalu.

5.02 petang: PM Lee "mungkin membawa perbezaan", kata Encik Trump tentang sidang puncak dengan Encik Kim.

Gambar: Jeremy Long

5.12 petang: Ditanya sama ada Encik Trump tahu berapa banyak senjata nuklear Korea Utara? Beliau berkata "amat banyak".

5.16 petang: "Saya akan lakukan apa sahaja untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik," kata Encik Trump.

5.18 petang: Apabila ditanya oleh Mediacorp tentang kos pelucutan senjata nuklear bagi Korea Utara, Presiden Trump berkata beliau berpendapat Korea Selatan dan Jepun akan "banyak" membantu mereka. Beliau menambah "kami tidak perlu membantu mereka".

5.20 petang: Saya mungkin akan berdiri di hadapan anda dalam masa enam bulan lagi dan berkata 'Saya silap'," seloroh Encik Trump.

5.24 petang: Encik Trump selesai berucap. Imbas kembali apa yang disampaikannya:

Berucap kepada para wartawan, Encik Trump berkata Korea Utara berpotensi menjadi sebuah "negara yang hebat".

- latihan tentera dengan Korea Selatan akan dihentikan

- Sekatan ke atas Korea Utara dikekalkan

-Encik Trump akan mengunjungi Pyongyang, undang Encik Kim ke Rumah Putih

- Proses pelucutan senjata nuklear Korea Utara akan bermula "segera"

"Kami sudah melakukan sesuatu yang baik, tetapi itu tidak bermakna apa-apa jika anda tidak mencapai matlamat," kata Encik Trump sedang beliau mengakhiri sesi media.
6.05 petang: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Encik Trump dan Encik Kim atas sidang puncak bersejarah yang berjaya.

Sifatkan kenyataan bersama Amerika Syarikat dan Korea Utara sebagai langkah pertama yang penting ke arah keamanan abadi dan kestabilan serta pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea. 

Sumber : CNA/BERITAMediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan