Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos jenayah dadah S'pura cecah S$1.23 bilion pada 2015

Jenayah-jenayah yang melibatkan atau berpunca daripada dadah di Singapura bukan saja berat padahnya terhadap para penagih, bahkan kosnya juga tinggi terhadap mereka yang menjadi mangsa kepada gejala tersebut dan masyarakat secara keseluruhannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jan 2020 03:35PM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 11:58PM

SINGAPURA: Jenayah-jenayah yang melibatkan atau berpunca daripada dadah di Singapura bukan saja berat padahnya terhadap para penagih, bahkan kosnya juga tinggi terhadap mereka yang menjadi mangsa kepada gejala tersebut dan masyarakat secara keseluruhannya, menurut hasil tinjauan yang didedahkan pada Isnin (20 Jan).

Kos jenayah melibatkan dadah mencecah S$1.23 bilion pada 2015, iaitu sekitar S$316 bagi setiap penduduk yang tinggal di Singapura, menurut kajian oleh sebuah pasukan dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Perangkaan itu termasuk kos ketara seperti pembelian dadah dan kehilangan daya penghasilan yang disebabkan oleh pengambilan dadah serta kos tidak ketara seperti kematian yang tidak disangka-sangka dan kesakitan dan kesengsaraan yang dialami oleh para mangsa dan keluarga mereka.

Menurut kajian itu, perangkaan tersebut setanding dengan kos Singapura dilanda jerebu selama sebulan, atau 10 peratus daripada jumlah yang dibelanjakan pemerintah bagi pendidikan pada 2015.

Kajian itu, yang dijalankan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 2016, juga mendapati bahawa kos yang berpunca daripada jenayah dadah bernilai S$0.74 bilion pada 2015, iaitu sekitar S$189 bagi setiap penduduk yang tinggal di Singapura.

Jenayah berpunca daripada dadah merujuk kepada kesalahan yang tidak melibatkan penggunaan dadah yang sebahagiannya atau keseluruhannya disebabkan oleh penyalahgunaan dadah. Ini termasuk pencurian, serangan, rogol dan penderaan kanak-kanak.

Pada 2010, kos melibatkan dadah dan yang berpunca daripada dadah masing-masing bernilai S$1 bilion dan S$0.52 bilion.

Kajian itu tertumpu kepada para penyalah guna dadah yang diberkas pada 2010 dan 2015, dan penyalah guna dadah yang terlibat dengan kesalahan mengambil dadah yang ditahan di pusat pemulihan atau meringkuk dalam penjara pada 2010 dan 2015.

Sumber : CNA/NA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan