Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos jagaan kesihatan, perubahan sistem aliran sekolah dapat tumpuan sesi dialog pasca Belanjawan

Kos jagaan kesihatan dan perubahan pada sistem aliran sekolah mendapat perhatian dalam satu lagi sesi dialog pasca Belanjawan anjuran daya usaha M³ hari ini (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2019 06:54PM Dikemas Kini : 24 Mar 2019 09:24PM

SINGAPURA: Kos jagaan kesihatan dan perubahan pada sistem aliran sekolah mendapat perhatian dalam satu lagi sesi dialog pasca Belanjawan anjuran daya usaha M³ hari ini (24 Mac).

Luar daripada agenda Belanjawan, para peserta juga membangkitkan pelbagai persoalan yang dianggap mustahak untuk pemahaman masyarakat Melayu/Islam termasuk isu-isu yang tular di media sosial.

Sesi dialog pasca Belanjawan kedua ini dipimpin Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan diiringi oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Dr Faishal Ibrahim.

Sekitar 100 belia, relawan akar umbi, pemimpin masyarakat dan wakil pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam serta India Muslim hangat membincangkan isu-isu kesihatan yang membelenggu masyarakat kian menua Singapura.

Khususnya, mereka cuba mendapatkan pencerahan tentang penggunaan tokokan akaun Medisave sebanyak $100 atau $200 bagi golongan warga emas.

"Kita punya Medisave ada had nak keluarkan. Jadi walaupun dengan tokokan $200 itu, kalau kita sudah lepas had Medisave itu, $200 itu macam tak berguna. Banyak yang 'sandwich class' (kelas pertengahan) ada sikit bimbang sebab walaupun kita kebanyakannya kaya CPF tapi tak boleh gunakan," kata Naib Pengerusi, MAEC Kolam Ayer, Cik Farhana Zainal.

Berkaitan pendidikan pula, para peserta prihatin tentang peluang saksama bagi setiap anak Melayu/Islam untuk menyokong perjalanan dan kemajuan pembelajaran mereka.

Tambahan pula dengan sistem aliran Pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) secara penuh yang baharu bakal dilaksanakan menjelang 2024.

Mereka setuju bahawa adalah penting untuk memastikan tiada pelajar Melayu/Islam yang tercicir bahkan, mereka harus dibekalkan dengan kelayakan minimum supaya dapat terus meningkatkan lagi diri mereka.

"Sebab itu MENDAKI memberikan tumpuan kepada para penuntut di ITE dengan memperkasakan diri mereka dan memperkuatkan motivasi mereka untuk meneruskan dan menghabiskan kursus-kursus mereka di ITE. Ini adalah asas untuk memastikan mereka mempunyai kelayakan yang memberikan mereka peluang untuk meningkatkan lagi diri pada masa hadapan ke peringkat politeknik atau universiti," menurut CEO mendaki, Cik Rahayu Buang.

Bahan media sosial dan isu-isu tular daripada wadah tersebut juga diketengahkan para peserta sebagai saluran untuk mereka lebih mengetahui peranan yang dapat dimainkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Sebagai orang muda, saya dapat banyak berita ataupun informasi daripada media sosial. Saya rasa kita seharusnya mengetahui apakah niat di sebalik sesuatu idea ataupun berita yang dipaparkan dalam media sosial," kata Encik Mohamad Saddiq Mohamad Sa’id, Pengerusi MAEC Gambas.

Sesi seterusnya, yang juga merupakan sesi terakhir, akan diadakan Selasa ini. 

Sumber : CNA/FZ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan