Images
  • ikan
    Gambar: istock

Koryo Trading didenda S$30,000; import secara haram daging, makanan laut dari Korea Selatan

SINGAPURA: Syarikat pengimport makanan Koryo Trading didenda S$30,000 pada Jumaat (8 Okt) kerana membawa masuk secara haram pelbagai jenis daging dan makanan laut dari Korea Selatan.

Syarikat tersebut juga mengendalikan kemudahan bilik sejuk tanpa lesen, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan media.

Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas Koryo Trading pada Februari tahun lalu, pegawai SFA menemui sekitar 4,656 kilogram produk daging dan makanan laut di sebuah bilik sejuk tanpa lesen.

Produk makanan yang ditemui termasuk daging lembu beku dan sotong yang diproses, menurut agensi itu.

"Siasatan lanjut menunjukkan bahawa syarikat itu mengimport secara haram produk daging dari Korea," lapor SFA.

Siasatan juga menunjukkan bahawa dalam satu kejadian berasingan, syarikat Koryo Trading secara haram mengimport sekitar 72 kilogram ikan buntal dan produk ikan buntal dari Korea Selatan, tambah SFA.

Kesemua bekalan produk tersebut telah dirampas.

Pesalah yang mengimport secara haram produk daging dan makanan laut boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda hingga S$50,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan daging dan makanan laut di premis tidak berlesen boleh dipenjara sehingga 12 bulan, denda hingga S$10,000 atau kedua-duanya.

SFA menekankan makanan hanya boleh diimport oleh pengimport yang berlesen dan setiap bekalan harus diisytiharkan dan disokong dengan permit import yang sah.

Tambahnya daging dan makanan laut yang diimport dan disimpan secara haram menimbulkan risiko keselamatan.

- CNA/RB/sm

Top