Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Koreografer S'pura Mohd Alif Rais reka tari bagi 2 kumpulan K-Pop termasuk TXT

Mohd Alif Rais menjadi koreografer Singapura pertama menyumbang koreografi untuk kumpulan K-pop. Kumpulan yang diajar pula bukan calang-calang, iaitu kumpulan TXT yang berkongsi syarikat pengurusan yang sama dengan kumpulan paling popular K-pop - BTS.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mohd Alif Rais menjadi koreografer Singapura pertama menyumbang koreografi untuk kumpulan K-pop. Kumpulan yang diajar pula bukan calang-calang, iaitu kumpulan TXT yang berkongsi syarikat pengurusan yang sama dengan kumpulan paling popular K-pop - BTS.

Dia yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Alif Aircho, mula bekerjasama dengan TXT sejak kumpulan lima anggota itu ditubuhkan pada 2018.

Anehnya, ketika pertama kali dihubungi syarikat tersebut menerusi emel, Alif menyangka ia suatu 'spam'. Sebenarnya ada satu lagi ironi tentang pelibatannya dengan K-pop.

"Sebelum ini saya sebenarnya tidak minat K-pop. Betul-betul saya tidak minat. Tapi bila saya dapat peluang ini, saya rasa macam ia adalah tugas saya untuk membuat kajian dalam industri K-pop ini, semua kumpulan dan rutin.

"Dari situ kita pun timbul minat sikit. Tapi tidaklah terlalu minat," kata Alif, yang sebetulnya lebih cenderung kepada genre hip hop.

AJAR MELALUI VIDEO, BELUM PERNAH JUMPA TXT

Kini Alif sudahpun mereka tarian bagi empat buah lagu bagi TXT, yang merupakan antara 10 kumpulan teratas K-pop.

(Gambar: Facebook/TXT)

Lagu-lagu itu adalah 'Blue Orangeade', 'Angel Or Devil', 'We Lost The Summer' dan yang terbaru, 'MOA Diary' yang dilancarkan Ogos tahun ini.

"Bila saya buat (rekaan tarian bagi) lagu yang pertama, 'Blue Orangeade', saya mendapat banyak perhatian dari orang-orang Melayu kita - 'Wah, awak tahu Big Hit Music, syarikat yang besar' boleh kenalkan saya sebagai rakyat Singapura, seorang Melayu, seorang Muslim untuk koreograf, adalah peluang yang besar.

"Saya pun macam terperanjat macam wah orang-orang Melayu kita, orang-orang Muslim kita pun sangat macam banggalah untuk saya, jadi saya sangat gembira.

"Bila saya mendapat semua perhatian, jadi saya kena lakukan lebih banyak lagi, kena mewakili lebih banyak lagi. Kemudian dari situ lihat ke mana ia akan pergi," kata Alif, yang juga mempunyai seorang puteri berusia 3 tahun.

MENGAJAR MENERUSI VIDEO

Kesemua gerak tari yang diciptanya diajar menerusi kiriman video.

"Dekat sana (Korea Selatan) ada koreografer sendiri macam koreografer 'in-house'. Jadi koreografer 'in-house' akan belajar koreografi dari saya, dari video saya. Dari situ mereka ajar artis itu sendiri," jelas Alif, yang sehingga ke hari ini, belum pernah bersua muka dengan kumpulan itu.

Dia biasanya berinteraksi dengan koreografer dari Korea dan juga pengurus kumpulan tersebut melalui Zoom yang disifatkannya sebagai suatu yang sudah 'cukup besar'.

Lazimnya selepas memahami visi yang dimahukan syarikat pengurusan, Alif tidak berlengah dan terus mula menghasilkan koreografi. Bergantung kepada projek, biasanya, dia diberikan sekitar dua minggu untuk menyiapkan sesebuah koreografi darian.

Tugasnya lebih mencabar lagi kerana memandangkan lagu-lagunya hampir keseluruhannya dalam Bahasa Korea, Alif perlu menyesuaikan gerak tari yang tertentu.

"Biasanya kalau mereka (syarikat pengurusan) beri lagu, kadang-kadang klip 'demo' ada yang mereka terjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Kadang-kadang saya ada penari yang boleh menterjemahkan Bahasa Korea sikit-sikit. Jadi bila saya koreograf gerakan, kita macam kena sesuaikan lirik tersebut. Kalau nak sesuaikan dalam Bahasa Inggeris senang. Tapi kalau nak buat dalam Bahasa Korea, pergerakkannya kena diterbalikkan," kata Alif, 29 tahun.

KOREOGRAFI BARU BAGI KUMPULAN BARU

Setelah 'menawan' TXT, Alif kini menyumbang koreografinya kepada sebuah lagi kumpulan K-pop.

Ketika artikel ini ditulis, Alif masih perlu merahsiakan nama kumpulan dan lagu baru itu, namun ia akan muncul seawal minggu depan.

Menyusuli kejayaannya itu memecah siling kaca dunia K-pop Korea Selatan, Alif ada juga ditanya rakan-rakannya sama ada dia kepingin untuk mereka tarian untuk BTS pula.

"Saya cakap Insya Allah kalau dapat peluang saya akan buat yang terbaik," kata Alif.

Yang pasti penari berbakat besar itu kini menanam hasrat untuk menari bagi artis seperti Chris Brown, Justin Bieber dan Missy Elliott pula.

GIAT BANTU ASAH BAKAT TEMPATAN

Selain projek-projek K-pop, Alif juga pernah terlibat dalam banyak rancangan tempatan seperti Pesta Perdana dan Muzika Ekstravaganza di saluran Suria. Malah, dia juga pernah mengadili pertandingan menari Dansa Mania dua tahun lalu.

(Gambar: Instagram/@alifaircho)

Di samping itu, penari tersebut juga pernah bekerjasama dengan artis-artis muda seperti Fariz Jabba dan Yung Raja.

Buat masa ini, Alif juga sibuk mengasah bakat anak-anak muda melalui kelas-kelas di studio tarian Danz People di Marina Square yang dimiliki bersama isterinya, Kayte Willis.

(Gambar: Instagram/@alifaircho)

Bagi anak-anak muda yang mempunyai impian untuk cemerlang dalam bidang ini, ini nasihatnya: "Jangan putus asa, amalkan sikap merendah diri dan kejarkan impian anda." 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan